Tuesday, December 11, 2012

Monday, December 3, 2012

Jauhi PhD...



فإن الحسد مرض من أمراض القلوب التي لا يسلم منها إلا من سلَّمه الله تعالى ووفقه، والقلب الذي يكون فيه داء الحسد هو قلب مريض، وإذا كان القلب سالمًا من الحسد ومن سائر الأمراض القلبية الأخرى كالكبر والغرور وحب الشهوات المحرمة ونحو ذلك، كان هذا القلب هو القلب السليم الذي مدحه الله تعالى بقوله: {يوم لا ينفع مال ولا بنون * إلا من أتى الله بقلب سليم}[الشعراء:88، 89]

 Bismillah walhamdulillah…

Saya sangat seronok pada hari ini kerana dapat bersama dengan adik-adik saya di rumah mereka dengan tujuan berkumpul dan mengadakan perkongsian ilmu dengan mereka.

Semasa perkongsian ilmu ini, salah seorang adik bertanya: “Kak, ada tak Nabi SAW mengajar kita macamana nak hilangkan dengki dalam hati?”

Saya yang masih kurang ilmu ini pun mengaku ketiadaan ilmu saya untuk menjawab soalan tersebut. Tetapi sepertimana yang diketahui, Nabi SAW selalu mengajar sahabat-sahabat Baginda untuk mentarbiyah hati masing-masing, kerana daripada hatilah punca penyakit seperti ini. Sedangkan sahabat-sahabat Baginda punya perasaan ini, apatahlagi kita yang tidak pernah bertentang mata dengan Baginda SAW. Mereka mendapat didikan terus daripada Rasulullah SAW.

Saya pun mula mencari dan meneliti dengan lebih mendalam tentang penyakit ini. Apa yang saya dapati daripada sumber yang pelbagai, sebab utama penyakit hasad dengki (phd) ialah kurangnya taqwa dalam jiwa. Sesungguhnya hamba yang bertaqwa sentiasa mengajar dirinya untuk redha dan qanaah dengan segala yang telah dikurniakan oleh Allah untuk dirinya. Allah membahagikan rezeki-rezeki sebagaimana yang Dia kehendaki, dan member sesiapa yang Dia kehendaki daripada kalangan hambaNya dengan rahmatNya dan kebijaksanaanNya. Hati yang mengetahui haramnya hasad ini akan segera menahan dirinya daripada hasad dan menghalang ia daripada menyakitinya.

Berikut ialah ubat-ubat yang boleh digunakan untuk mengubati phd, in shaa Allah:

1-      Meminta pertolongan daripada Allah SWT dan bertawakal kepadaNya.
كما قال تعالى: {وعلى الله فتوكلوا إن كنتم مؤمنين}[المائدة:23]
Marilah kita mencontohi Baginda SAW, apabila sesuatu yang tidak baik menimpanya, Baginda segera meminta daripada Rabbnya.

2-      Mengenali hakikat phd, ia merupakan perbuatan hati yang membawa kepada dosa yang besar dan orang yang dengki adalah orang yang berpaling daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah, yang mana Allah telah tetapkan pemberiannya untuk hambaNya yang Ia kehendaki.

 كما قال تعالى: {أم يحسدون الناس على ما آتاهم الله من فضله}[النساء:54[
3
- - Mengetahui phd adalah sejenis kezaliman kepada diri sendiri dan orang yang didengkikan dengan menyebabkan kemudharatan kepada orang tersebut, ia juga tanda tak sempurna iman.
  كما قال صلى الله عليه وسلم: (لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه(
كما ثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: (اتقوا الظلم فإن الظلم ظلمات يوم القيامة(

Ketahuilah, hasad hanya merosakkan diri sendiri, kerana hatinya sendiri yang akan sakit apabila melihat orang lain lebih daripadanya, ditambah dengan murka Allah ke atasnya. Nauzubillah min zalik..

4-        (إذا رأى أحدكم من أخيه ما يعجبه فليبرِّك عليه)
Mendoakan kebaikan den keberkatan bagi orang yang didengkikan.

5-      Menjauhkan hati daripada memikirkan kelebihan yang dilihat pada orang lain, sebaliknya melihat nikmat yang Allah kurniakan bagi dirinya sendiri dan bersyukur ke atsnya.
{ولا تمدنَّ عينيك إلى ما متعنا به أزواجًا منهم زهرة الحياة الدنيا لنفتنهم فيه ورزق ربك خيرٌ وأبقى}[طه: 131[
6
--     Membantu orang lain mendapatkan kebaikan. Perkara ini sangat bertentangan dengan phd, sekali gus menghilangkan perasaan tersebut daripada hati. Allah menyukai orang yang berbuat kebaikan sepertimana yang tercatat dalam Surah Ali Imran ayat 134 dan An-Nahl ayat 128.
Rasulullah SAW bersabda,

)ثَلاَثٌ لاَ يَخْلُوْ مِنْهُنَّ أَحَدٌ : اَلْحَسَدُ , وَ الظَّنُّ , وَ الطِّيَرَةُ . أَفَلاَ اُنَبِّئُكُم بِالْمَخْرَجِ مِنْ ذَللِكَ : إذَا حَسَدْتَ فَلاَ تَبْغِ وَ إذَا ظَنَنْتَ فَلاَ تُحَقِّقِ , وَ إذَا تَطَيَّرْتَ فَامْضِ(

“Tiga perkara yang tidak akan terlepas seseorang daripadanya, sifat dengki, prasangka buruk dan memandang sial terhadap sesuatu. Maukah engkau kutunjukkan jalan keluarnya. Jika engkau mendengki, jangan melampaui batas. Jika engkau berprasangka buruk, jangan engkau benarkan. Dan jika anda merasa sial, maka teruskanlah.”

Wallahu a'lam...

Sunday, November 11, 2012

Hari Penuh Ujian

Bismillah walhamdulillah...

Tinggal di negara orang ni bukan semudah yang disangka. Tak seseronok yang difikir, tapi tak juga sesusah yang dibayang.

Tapi yang penting, ia sangat perlukan kesabaran, ketabahan, dan kesungguhan yang tinggi.

Hari ini saya dan sahabat2 memulakan perjalanan ke Buuth Islamiyah seawal jam 7 pagi. Di situlah kami akan mendapatkan iqamah (visa) untuk terus tinggal di Bumi Mesir ini dengan sah, Tanpa iqamah ini, macam-macam perkara boleh berlaku dan bersangkut-paut dengannya. Seperti di Malaysia, warganegaranya  mesti mempunyai kad pengenalan (IC), begitu juga kami di sini sebagai orang asing (foreigner), perlukan passport dan iqamah.

Perjalanan yang pada awalnya diisi dengan sembang ilmiah (insyaAllah. =) )dan gelak tawa, lama-kelamaan menjadi hambar dan hiba.

Hanya iman yang dapat menyuntik sabar di hati ini agar terus menunggu dan menunggu sehinggalah jam menunjukkan pukul 11.15 pagi. Giliran masih belum tiba.

Macam-macam berlaku. Ada yang nak taslim (ambil) passport yang telah dicop iqamah, tapi diminta pergi kerana ifadah (surat pengesahan kuliah) ditulis di atasnya sesuatu yang tidak sepatutnya. Tertulis kalimah 'manqul' (di'naik tahun'kan), yang diminta kalimah 'muqayyad' (di'ikat') sepertimana yang tertulis pada tahun-tahun sebelum ini.

Tapi yang hairannya, ada juga yang menyerahkan ifadah yang berformat sama seperti tadi, tetapi dia menerima passportnya yang sudah bercop semula. Beliau sangat bernasib baik. Perancangan Allah yang terbaik.

Ada pula yang mahu taqdim (membuat permohonan) iqamah yang baru, ifadahnya pula yang tidak bercop rasmi kuliah Universiti Al-Azhar. Sedangkan kami menguruskan ifadah ini secara 'pukal'. Tidak sepatutnya ada yang keciciran. Perancangan Allah yang terbaik.

Ada juga yang mahu taqdim iqamah untuk passport baru, tapi iqamah lama yang di dalam passport lama pula  yang dimintanya. Sayalah tu. Sedangkan di Malaysia passport lama digunting dan tidak sah lagi. Terpaksalah kita mencuba minggu depan ye, insyaAllah. Perancangan Allah yang terbaik.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah....

Allah yang tentukan segala yang berlaku ni. Walau bagaimana sengsara pun kita dengan ujian yang Allah timpakan ni, Dia tetap beri yang terbaik. Dan kita mesti yakin bahawa memang inilah yang terbaik.

Kadang-kadang kita selalu nampak ujian dan cabaran yang Allah berikan, tapi kita jarang nampak nikmat dan kesenangan yang Allah kurniakan selama ini. Nisbah ujian dan nikmat:

25:75

Tapi apabila berasa susah dengan kesakitan yang Allah beri, kita pandang sebaliknya. Nikmat selama ini tidak terasa dan dilupakan, dan di mata hanya ada besarnya ujian yang melanda.



Syukuri segala nikmatNya, syukuri segala ujianNya.

Kerana mungkin ujian tersebut adalah kafarah (penghapus) dosa-dosa kita yang kian menggunung, sama ada pada masa lampau mahupun yang akan datang. Dengan adanya ujian, Allah hancurkan gunung itu.

Kerana Allah tahu bila ada sahaja musibah, pasti kita akan kembali kepadaNya dan lebih dekat denganNya. Allah mahu hambaNya lebih rapat, dan antara caranya adalah dengan ujian. Ganjarannya bukan untuk Dia langsung (mahu pun tak langsung), tapi untuk kita sendiri.

ليس كمثله شيء من المخلوقات فإنه هو الخالق والرزّاق.

Sebutlah Inna lillahi wa inna ilahi raaji'un...semoga kita menjadi orang yang sabar di sisi ALLAH SWT.

Rujuk Al-Baqarah: 155-156

Wallahu a'lam.

Tuesday, October 16, 2012

Alhamdulillah...

Bismillah walhamdulillah....

Sahabat-sahabat tahu tak, semasa kita bersin, bermacam-macam nikmat yang Allah kurniakan. Hanya dengan sesaat bersin itu. 



Pertama- Beribu-ribu bakteria jahat yang berada dalam badan kita akan keluar dan dilepaskan semasa kita bersin. Tidakkah kita bersyukur kepada Allah kerana menjauhkan kita daripada penyakit??

Kedua- Seluruh otot di muka kita akan memberi reaksi apabila kita bersin. Ia akan memberi kesan yang sihat untuk muka. Tidakkan kita bersyukur kepada Allah kerana menggerakkan otot-otot itu??

Ketiga- Segala pergerakan yang berada di dalam badan akan berhenti untuk sesaat semasa kita bersin. Kemudian ia akan berfungsi semula selepas itu. Tidakkah kita bersyukur kepada Allah kerana membenarkan tubuh badan berfungsi semula??




Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis:

 حَدَّثَنَا مَالِكُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ أَبِي سَلَمَةَ ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللهِ بْنُ دِينَارٍ ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ ، أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ.

"Jika bersin seseorang daripada kamu, maka berkatalah ALHAMDULILLAH (Segala pujian bagi Allah), dan berkata saudaranya atau sahabatnya kepadanya: YARHAMUKAMULLAH (Allah merahmati kamu), jika dikatakan kepadanya YARHAMUKALLAH, maka berkatalah: YAHDIKUMULLAH WA YUSLIHU BALAKUM (Allah memberi petunjuk kepada kamu dan membaikkan pemikiranmu)".

Begitulah indahnya Islam! Hanya dengan bersin, yang baik datang dan yang buruk pergi.

Tidak salah jika dikatakan, bersin juga pengikat tali persahabatan. Contohnya: jika anda sedang berada di sebuah tempat yang asing. Anda sedang berhadapan dengan seseoranng yang anda tidak kenali. Sama ada muslim ataupun tidak. Ketika dia bersin, anda mendengar dia mengucapkan 'alhamdulillah' dan anda juga membalasnya. Masing-masing tersenyum kepada satu sama lain. Maka sedarlah anda bahawa dia adalah seorang muslim. Maka bermulalah taaruf apabila dia mengatakan: Eh, awak juga muslim di sini? Awak dari mana? Saya dari Filipina...

Indahnya Islam!


Wallahu a'lam. 

Saturday, October 13, 2012

Hanya Dia: Pagi dan Petang

بسم الله والحمد لله...
االيوم سأختبر لغتي العربية, هل أستطيع أن أكتب بهذه اللغة الجميلة؟ فاقرأ...

(إن الدين عند الله الإسلام) 
فالإسلام دين الحق والرحمة.
يحث الإسلام إلى ذكر الله في الصباح والمساء, منذ استيقاظنا من النوم حتى اضطجاعنا على السرير للنوم كل يوم.
وهذه الأذكار لا تكون منفعتها لله بل لنا.

عن أبي هريرة -رضي الله عنه- قال: جاء رجل إلي النبي -صلى الله عليه وسلم-, فقال: يا رسول الله, ما لقيت من عقرب لدغتني البارحة! قال: "أما لو قلت حين أمسيت: أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق لم تضرك" رواه مسلم.

وتستحب الاستعاذة بالله من سائر المؤذيات, وحفظ الله لمن استعاذ به.

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم- : "من قال حين يصبح وحين يمسي: سبحان الله وبحمده مائة مرة, لم يأت أحد يوم القيامة بأفضل مما جاء به, إلا أحد قال مثل ما قال أو زاد" رواه مسلم.

قال مؤلف كتاب نزهة المتقين شرح رياض الصالحين من كلام سيد المرسلين للإمام النووي: 
أفاد الحديث: الاستكثار من هذا الذكر محبوب إلى الله تعالى, ليس له حد لا يتجاوز عنه, وحكمة تخصيص الصباح والمساء بالذكر؛ ليكون البدء والختم بعمل ديني وطاعة فيكون كفارة لما يكون في باقي النهار.



Bismillah wal hamdulillah...

"Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam".
Islam agama yang benar dan agama rahmat.
Islam mengajak manusia untuk berzikir kepada Allah SWT pada waktu pagi dan petang, bermula dari bangun tidur sehingga baring semula untuk tidur pada setiap hari.
Dan zikir-zikir ini bukanlah bermanfaat untuk Allah tetapi untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mengingatiNya.

Daripada Abu Hurairah ra berkata: Datang seorang pemuda kepada nabi SAW dan berkata: Ya Rasululllah, semalam aku disengat oleh kala jengking! Rasulullah berkata: "Jika kau berkata pada waktu petang itu: Aku berlindung dengan kalimat Allah yang suci daripada segala kekurangan daripada kejahatan makhluk, nescaya  tidak memudaratkanmu". (Hadis riwayat Muslim)

Disunatkan isti'azah (meminta perlindungan) daripada Allah daripada segala perkara yang menyakitkan, dan Allah akan menjaga orang yang meminta perlindungan daripadaNYa.

Daripada Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berkata semasa pagi dan petang: Subhanallahi wa bihamdih 100 kali, tidak datang sesorang pada hari kiamat yang lebih baik daripadanya, kecuali yang berkata sepertimana yang dikatakannya atau lebih banyak lagi".

Penulis kitab Nuzhatul Muttaqin Syarah Riyadus Solihin lil Imam Annawawi -rahimahullah- menyebut:

"Hadis di atas menunjukkan faedah memperbanyakkan berzikir kepada Allah kerana ia disukai oleh Allah SWT, dan tiada had dalam berzikir, dan hikmah mengkhususkan pagi dan petang dengan berzikir adalah supaya permulaan dan pengakhiran hari kita disertakan dengan amalan agama dan ketaatan kepada Sang Pencipta, malah menjadi kafarah kepada dosa (yang nampak mahupun tak nampak) yang dilakukan sepanjang hari tersebut.

Lihatlah betapa sayangnya Allah pada kita, begitu juga kita zahirkan balasan cinta kita kepadaNya dengan mentaatinya, sepanjang hidup di dunia dan seterusnya di Akhirat, insyaAllah.   

Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah pun menyusun zikir-zikir daripada hadis Nabi SAW yang dinamakan 'Al-Ma'thurat'. Semoga Allah merahmati beliau dan kita semua. Amin.



Wallahu a'lam.




Saturday, October 6, 2012

Kecerdikan Seorang Nabi

Bismillah walhamdulillah...

Hari ini saya nak ceritakan kepada sahabat-sahabat saya sebuah kisah pada zaman Rasulullah SAW, yang telah disampaikan oleh guru Usul Fiqh kami di kuliah.

Pada satu hari, Rasulullah SAW makan bersama sahabat-sahabat baginda -ridhwanullah ke atas mereka-. Antara sahabat yang berada di situ ialah Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Alkisahnya, setiap kali beliau memakan tamar, beliau meletakkan biji tamar yang dimakannya di bahagian Nabi SAW. Setelah habis makan, Saidina Abu Bakar menyatakan: "Orang yang paling banyak makan adalah orang yang di hadapannya paling banyak biji tamar." Orang yang dimaksudkan oleh Saidina Abu Bakar ialah baginda Nabi SAW. Rasulullah SAW dengan kecerdikan Baginda membalas: "Orang yang paling banyak makan ialah orang yang makan tamar dengan biji-bijinya sekali".

Rasulullah SAW juga bergurau senda dengan sahabat-sahabat Baginda yang dikasihi kerana Allah, tetapi Baginda tidak pernah menggunakan gurauan yang kasar mahupun berdusta.

Marilah kita muhasabah diri kita yang sememangnya telah melakukan khilaf yang amat banyak sepanjang hari ini. Kadang kala, kita bergurau dengan sahabat kita, mungkin gurauan itu disenangi, mungkin juga ada yang terasa, dan lebih-lebih lagi jika dia akan berburuk sangka dengan kita. HANYA dengan gurauan kita yang menyeronokkan bagi kita, tapi tidak bagi yang lain.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Celaka bagi sesiapa yang yang berkata-kata kemudian dia berdusta untuk membuatkan kaumnya ketawa, celakalah baginya, celakalah baginya".

Semoga kita dijauhi dan terhindar daripada menjadi orang yang disebutkan dalam hadis di atas. Dan semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa bercakap benar dan diredhai Allah Taala. Amin ya Rabbal 'Alamin.

Wallhu a'lam.

Friday, September 28, 2012

Nak Nampak Cantik!

Bismillah walhamdulillah....

Hari ni saya suka nak kongsi dengan sahabat2 semua tentang tips kecantikan, tapi biasanya pakar kecantikan yang selalu bagi tips2 ni, tapi ni lain sikit, saya nak kongsi tips daripada orang yang paling cantik hensem sekali dalam dunia ni..siapa dia? Kekasih Allah, Rasulullah SAW...yang mana ke'hensem'annya melebihi ke'hensem'an nabi Yusuf. Sahabat tahu kan betapa 'hensem'nya nabi Yusuf, sehingga disebut dalam Al-Quran:


Terpotong jari pemilik mata yang memandangnya...tapi Allah tidak memperlihatkan ke'hensem'an yang sebenar pada mata yang melihat Rasulullah, sebab kalaulah mereka melihat ke'hensem'an sebenar Rasulullah, dah pastilah bukan jari saja yang terpotong malah boleh berlaku perkara lain yang lebih dahsyat, mereka takkan dapat memberi perhatian kepada apa yang disampaikan Rasulullah. Sebab terpesona dengan wajah tampan Rasulullah. Kalau nak tau sifat2 luaran Rasulullah, bolehlah buka buku As-Syamail Al-Muhammadiah karangan Al-Imam Al-Hafidz At-Tirmizi.

Ini dia punya tips2...bagi sesiapa yang nak nampak cantik pada mata manusia, malah pada pandangan penciptanya juga, Allah yang juga Maha Cantik...

Daripada Aisyah radiyallahu anha, daripada Rasulullah SAW bersabda:

"10 perkara daripada fitrah:

1- memotong misai
2- memotong kuku
3- membasuh ruas jari
4- memelihara janggut
5- bersugi (siwak)
6- mamasukkan air ke dalam hidung kemudian mengeluarkan semula
7- mencabut bulu ketiak
8- memcukur bulu ari-ari
9- beristinjak dengan air

Berkata Mus'ab: Aku lupa yang kesepuluh, melainkan ia adalah berkumur-kumur."

Haa, sapa yang ikut tips yang diberi, komfem cantik punya. Kalau ikut Rasulullah, Allah mesti suka kita dan ampunkan dosa kita. Kan Allah dah beritahu dalam Surah ali Imran ayat 31:

"Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilak aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Peangampun, Maha Penyayang".

Wallahu a'lam.



Usrah = Daulah

Bismillahirrahmanirrahim...



Betul ke apa yang saya tulis di atas ni? Apa kena-mengena keluarga dengan negara? Mungkin ada yang tertanya-tanya dalam akal fikiran masing-masing. Ke saya seorang saja yang bertanya...

Kuliah bagi semester pertama tahun ini baru sahaja bermula. Kami diperkenalkan dengan madah (baca:subjek) yang akan diambil pada sem kali ini. Ada yang saya suka dan ada juga yang menggerunkan. Mana tidaknya, madah semakin berat dan perlukan fokus yang mantap. Masa mesti dibahagi se'profesional' yang mungkin supaya tak menyesal kemudian hari.

Dalam madah fiqh sem ini, kami belajar fiqh munakahat...seronok tak dengar?? =) Biasanya bila sebut nikah ke kahwin ke, mesti semua tersenyum. =D Kan, kan, kan...

Dr. 'Atiyyah Fayyadh adalah guru kami bagi kelas ini. Sebagai muqaddimah, Dr mulakan dengan pengenalan umum. Jauh pula saya melencong daripada tajuk asal, tak mula-mula lagi. Sabar ye.

Dr kata: Kebanyakan ulama fiqah meletakkan fiqh munakahat ataupun ahkamul usrah (hukum-hukum kekeluargaan) ini di bawah cabang ilmu fiqh ibadah dan bukannya di bawah fiqh muamalat. Kenapa? Bukankah pembentukan keluarga ini melibatkan hubungan (muamalat) antara manusia?

Jawapannya: Dalam Al-Quranul Kareem, terdapat banyak kalamuLLAH yang menerangkan tentang ahkamul usrah. Apa yang tercatat dalam Al-Quran merupakan hukum-hukum yang qat'iyyah (tetap) yang tiada percanggahan (khilaf) yang berlaku sesama ulama. Itu jugalah yang terdapat dalam fiqh ibadah. Sedangkan Al-Quran tidak menyebut fiqh muamalat sebanyak ia menyebut tentang fiqh ibadah. Oleh sebab itu, berlaku khilaf ulama dalam muamalat.

Betapa pentingnya kefahaman tentang keluarga sehingga banyaknya hukum yang Allah rekodkan dalam kalamNya yang agung sebagai pedoman buat hamba-hamba yang Dia kasihi.

Perkataan 'usrah' secara asasnya bermakna 'addir'u alhasinah' (baca dengan sad bukan sin) yang bermaksud perisai yang melindungi.

Lihatlah kalimah Arab yang 'simple' tapi punya maksud yang padat. Keluarga disamakan dengan perisai, yang akan melindungi dan memelihara si pejuang daripada ditetak, dilibas mahupun ditikam.

Dalam ahkamul usrah ini, kita akan mempelajari tentang cara mengatasi masalah kekeluargaan dan kaedah membentuk sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang, rahmat, mawaddah dan taqarub. Bagaimana membina sebuah keluarga yang teguh dan kukuh walaupun dilanda musibah dan masalah yang pelbagai, baik dari segi kewangan, pendidikan, mahupun akhlak serta disiplin.



Keluarga ibarat satu kelompok asasi dalam sesebuah negara. Ia ibarat sebuah bata yang digunakan untuk membina sebuah bangunan 'negara'. Jika elok bata tersebut, maka bangunan yang akan didirikan nanti juga elok dan kukuh.

Dr ada menyebutkan tentang statistik penceraian yang berlaku di Mesir. Sebanyak 45% pasangan yang berkahwin telah bercerai dan yang lebih membimbangkan lagi, 50% daripada jumlah tersebut adalah pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dalam masa setahun. Itulah realiti yang berlaku. Kebanyakan masalah yang timbul adalah disebabkan tiada persefahaman dan kedua-dua pasangan tidak mampu menyelesaikan konflik yang berlaku sesama mereka.

Oleh sebab itu, kefahaman yang jelas tentang kekeluargaan sama pentingnya dengan kefahaman dalam solat, puasa, haji dan zakat. Allah telah menetapkan kaedah yang terbaik dalam memimpin keluarga. Cuba bayangkan suami yang soleh akan memimpin isteri yang solehah. Isteri yang solehah akan melahirkan zuriat yang soleh. Boleh jadi mereka adalah pekerja yang akan mengendalikan kerja dengan jayanya. Syarikat akan mendapat pulangan yang baik hasil kerja tersebut. Seterusnya memberi sumbangan kepada ekonomi negara. Seterusnya negara akan berkembang pesat dan akhirnya usrah yang kecil tadi akan membina sebuah daulah yang hebat rakyatnya dari pelbagai aspek dengan berlandaskan syariat Allah.

Itu baru satu keluarga. Jika semua keluarga memahami betapa pentingnya penekanan agama dalam rumah tangga mereka, sudah pastilah penceraian dapat dielakkan dan sebuah negara Islam yang dihuni oleh keluarga sakinah mampu terbentuk.

Wallahu a'lam.
       

Sunday, May 20, 2012

Sanah Helwah Untuk Yana

Bismillah walhamdulillah...

Hari ini, saya cuma nak bagitahu kepada adik saya yang sangat saya sayang (Yana)...

SELAMAT HARI LAHIR, YANA!!!



Ni je kek yang kita mampu tunjuk, nak buat tu, hehe...lepas beberapa tahun nanti kot.

Minta maaf ye, patutnya kelmarin kita buat post ni, tapi terlambat sikit, maklumlah demam periksa skrg...

Saje nak bagitahu Yana  yang dah tua dalam gembira sambut birthday, jangan lupa untuk berterima kasih kepada:

Yang pertama, mestilah ALLAH sebab Allah yang panjangkan umur, dan dengan umur yang bertambah ni, semoga amal ibadah pun makin bertambah juga. Nikmat bagi sesiapa yang Allah masih panjangkan umur ni, sebab dia masih ada ruang masa untuk tambah berat mizan hasanah (kebaikan) untuk hari penghitungan nanti...

Yang kedua untuk MAK dan ABAH, sebab tanpa mereka sebagai wasilah hidupnya Yana, Yana takkan dapat kenal dunia ni, dan Yana berjaya sehingga sekarang pun, sebahagian besar sebabnya, mak ngan abah yang besarkan Yana dalam didikan agama dan ilmu...

Yang ketiga, sesiapalah yang Yana nak terima kasih, mungkin pada semua yang wish Yana ke, tak kira secara lisan ke tulisan ke yang penuh wall Facebook tu...=)

Bersyukurlah kerana sebaik-baik manusia adalah yang panjang umurnya...

Tapi manusia juga dalam senang lupa dua nikmat yang Allah selalu bagi ni, iaitu kesihatan dan masa lapang...

Wallahu a'lam...

Friday, May 4, 2012

Setiap Manusia Pasti Menghadapi Maut


Bismillah walhamdulillah…

Tadi kawan saya ceritakan situasi bagaimana dia berhadapan dengan berita kematian adiknya yang baru meninggal lebih kurang hampir sebulan yang lepas. Setelah sebulan (seminggu selepas kematian adiknya) dia balik ke bumi Mesir, baru kali ini kami berani bertanya tentang kisah adiknya yang terkena renjatan elektrik yang kuat dan dia dan keluarga yang menghadapi situasi itu.

Dia pula tak keberatan menceritakan dan nampak dia sangat tabah hadapinya.
Saya pula mendengar dari dapur ceritanya. Antara dengar tak dengar. Tapi saya takut dengar cerita kematian. Takut…

Dia kata adik dia seorang yang baik, jenis yang lembut sopan. Pernah mak dia tanya nak duit tak untuk belanja, adik dia cuma jawab “takpelah mak”, memang Allah sayangkan adik dia. Ramai orang kata orang baik-baik ni Allah ambil dia cepat. Wallahu a’lam.

Saya pula entah kenapa terbayang muka saudara mara (tokki, datuk dan nenek belah mak, makcik, pakcik dan lain-lain) yang dah pergi selama-lamanya dari dunia ni, sekarang mereka di alam kubur.
Saya tak tahu kenapa, tapi saya rasa sayu sangat bila mengenangkan mereka, lagi-lagi yang meninggal semasa saya sudah faham erti kematian dan saya pernah bercakap dengan mereka semasa hidupnya.

Memang tak dapat bayangkan bagaimana kehidupan di alam kubur sana, tapi saya sentiasa doakan kubur mereka diluaskan seluas-luasnya dan mereka berasa aman bahagia mendapat nikmat di dalam sana.

Malam ni, air mata laju je mengalir, walaupun saya tak tahu kenapa. Adik orang lain yang meninggal tapi kenangan dengan saudara yang saya sebutkan tadi macam kembali terbayang di kepala.

Saya takut bagaimana keadaan saya bila saya pun macam mereka. 

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami nikmat kebahagiaan di alam kubur, alam barzakh, dan syurgaMu di sana. Temukan kami dengan kekasihMu Rasulullah SAW dan para sahabat, para auliya’ assolihin dan orang yang Engkau kasihi dan Engkau cucuri rahmat ke atas mereka.

Ya Allah, ampunilah dosa kami, dosa kedua  ibu bapa kami, dosa ahli keluarga kami, dosa sanak saudara kami, dosa para masyaikh kami, dosa guru-guru kami, dosa sahabat-sahabat kami, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah pergi menghadapMu ya Rabb, dengan rahmatMu Ya Allah Yang Maha Memberi Rahmat…

Matikan kami dalam husnulkhotimah (pengakhiran yang baik), dengan kalimah “Lailahaillallah, Muhammadur Rasulullah”, jangan Engkau matikan kami dalam suulkhatimah (pengakhiran yang buruk).

Amin, Ya Mujibas Sailin (Yang Mengkabulkan Permintaan)

Tuesday, May 1, 2012

Solat Sunat Muakkad



Bismillah, alhamdulillah…

Hari ini saya nak kongsi dengan sahabat2 semua tentang satu hadis kekasih Allah Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasallam yang baru saya belajar daripada Syeikh Ahmad Hajain pada minggu lepas. 

Hadisnya berkisar tentang solat2 sunat yang Rasulullah lazimi dan tak pernah tinggal sekalipun dalam hidup Baginda SAW.

Hadis di atas bermaksud:

Daripada Ummul Mukminin Ummu Habibah Ramlah Binti Abu Sufian –Allah meredhai mereka berdua- berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang pun hamba muslim yang menunaikan solat kerana Allah pada setiap hari 12 rakaat tambahan (bukan fardhu) kecuali Allah dirikan untuknya sebuah rumah di syurga -atau- kecuali didirikan sebuah rumah untuknya di syurga” (Riwayat Muslim)

WAH!!!

Tawaran hebat!!! SYURGA bagi sesiapa yang solat sunat!!

Siapa taknak kalau dah dijanjikan syurga di sana…ia sebesar-besar nikmat di Akhirat nanti, apatah lagi kenikmatan bagi penduduk syurga itu ditambah kelazatannya apabila dapat melihat sendiri Pencipta kita Allah SWT. ALLAH!! Besar sungguh nikmat itu, semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang dibenarkan melihat Allah dan berjumpa dengan kekasihNya di syurga kelak, amin…

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah mengajar kita untuk melazimi solat sunat yang mana Rasulullah tak pernah tinggalkan dalam hidupnya, sehinggakan jika tertinggal disebabkan sesuatu yang menyibukkan baginda, baginda SAW akan mengqada’kannya di waktu lain, ia dipanggil solat sunat muakkad.

Manakala solat sunat yang pernah Rasulullah tinggalkan dan tidak menunjukkan bahawa baginda melaziminya seperti mana sunat muakkad, malah baginda memberi pilihan kepada sahabat baginda untuk menunaikannya atau meninggalkannya, ia dipanggil solat sunat tidak muakkad.

Solat sunat muakkad ialah:



Tetapi tidaklah bermaksud solat rawatib ini sahaja yang dipanggil sunat muakkad, ada lagi solat-solat lain seperti sunat dhuha, isyraq, dan lain-lain.

Kalau tak dapat semua jangan tinggalkan semua. Marilah kita berusaha untuk mencontohi kekasih Allah SAW supaya kita pun dapat mencapai tahap yang mana Allah redha akan kita dan kehidupan kita, insya-Allah..

Lepas ni, bolehlah ajak mak, abah, abang2, kakak2, adik2 dan sahabat2 buat solat sunat, tak susah kan? =)

Friday, April 27, 2012

Cakna Masalah Kawan...


Assalamualaikum sahabat2 semua. Apa khabar?

Hari ini saya nak cerita satu cerita, macam cerita kanak-kanak, tapi insyaAllah bawa makna yang besar dalam hidup sebagai seorang manusia.

Ceritanya adalah cerita antara tikus, ayam, kambing dan lembu. Bayangkan haiwan-haiwan ini boleh berkata-kata…

Ceritanya bermula di sebuah rumah kecil yang terletak di hujung kampung. Tinggallah sepasang suami isteri yang tidaklah terlalu muda juga tidaklah terlalu tua. Mereka sedang mengemaskan barang-barang dapur yang baru dibeli oleh mereka sebentar tadi. Tanpa mereka sedari, perbuatan mereka sedang diperhatikan oleh seekor tikus di celah lubang kayu rumah mereka. Tikus juga tidak menyangka dia sedang memerhatikan sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat oleh tikus itu. Tuan rumah sedang memasang perangkap tikus yang baru sahaja dibeli, kerana mereka merasakan kehadiran haiwan perosak itu di rumah mereka.

Lalu, hebohlah sang tikus dengan berkata; “Tuan rumah pasang perangkap tikus! Tuan rumah pasang perangkap tikus!” Sang tikus terus-menerus menghebohkan cerita tersebut kepada haiwan-haiwan di sekitarnya.

Dia berjumpa dengan sang ayam, “Tuan rumah memasang perangkap tikus! Tuan rumah memasang perangkap tikus! ”  Sang ayam pun membalas, “Encik T, perangkap itu untuk awak, tak mudaratkan saya apa-apa pun”. Sang tikus terus berlalu dengan rasa hampa.

Sang tikus tak berasa putus asa, maka dia berjumpa pula dengan sang kambing, “Cik B, tau tak ada perangkap tikus di rumah tuan kita, tau tak?!” Sang kambing menjawab; “Yelah Encik T, kalau saya tau pun, bukan ada kena-mengena dengan saya”. Maka berlalu sang tikus setelah mendengar jawapan yang tidak memuaskan dari si kambing.

Kali ini, dia bertekad untuk berjumpa dengan sang lembu pula; “Uncle L, ada berita terkini ni! Uncle tau tak tuan rumah kita ada pasang perangkap tikus, tadi baru saya nampak! Perangkap tikus!” Jawapan sang lembu juga seperti haiwan lain, tidak mengendahkan kata-kata sang tikus yang memberi amaran.

Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Pada malam hari, si suami mendengar satu bunyi pelik di dapur mereka.

Si isteri berkata: “Bang, dengar tak bunyi sesuatu kat dapur tu?”

Si suami menjawab: “Aahlah, abang pun dengar. Pencuri ke? Tak pun perangkap kita mengena…”

Maka, mereka dengan berhati-hati ke arah bunyi yang kedengaran. Setibanya mereka di sana, sangkaan mereka meleset, malah mereka sedang berdepan dengan seekor ular yang sangat besar. Ular tersebut sedang menggelupur kesakitan apabila ekornya terkena perangkap tikus yang dipasang suami isteri itu.

Apabila ular itu melihat kehadiran suami isteri tersebut, maka dengan serta-merta ular itu cuba menerkam kedua-dua mangsanya. Dengan pantas, si suami menarik tangan si isteri untuk melarikan diri, malangnya kaki si isteri sempat dipatuk oleh ular tersebut sebelum dipukul bertalu-talu oleh si suami. Akhirnya ular itu pun mati.

Akibat patukan ular, si isteri mengalami demam yang teruk. Si suami mendapat petua untuk memulihkan demam dengan cara memberi makan bubur sup ayam. Maka disembelih ayam ternakannya untuk dibuat bubur sup ayam. Tetapi demam tidak kebah juga.

Kelihatan si isteri semakin tenat, ramailah sahabat-sahabat menziarahi isterinya yang sedang sakit. Si suami terpaksa meninggalkan kerjanya untuk menjaga si isteri. Si suami berasa segan jika dibiarkan tetamu datang tak dihidangkan dengan apa-apa makanan. Dengan rela hatinya, si suami menyembelih kambing ternakannya. Dihidangkan kambing yang dimasak tersebut kepada tetamu-tetamu yang hadir.

Racun yang berada di dalam tubuh si isteri merebak sehinggalah terpisahlah roh dari jasad si isteri. Maka, diadakan upacara pengkebumian si isteri. Si suami pun menyembelih satu-satunya lembu ternakannya untuk dihidangkan kepada tetamu yang menghadiri upacara tersebut.

Si tikus hanya melihat keadaan yang berlaku ke atas haiwan lain melalui lubang kayu di rumah tersebut dengan linangan air mata.

Jadi, apa kesimpulan yang kita boleh ambil ye sahabat-sahabat??

Antaranya, kalau kawan-kawan kita ada masalah, jangan jadi macam sang ayam, Cik B dan juga Uncle L. 

Sebenarnya kalau salah seorang daripada kita diancam, maka kita juga sedang menghadapi risiko yang 
sama.

Pernah dengar tak, Allah akan timpakan bencana di sesuatu tempat yang berlaku kemungkaran, walaupun di tempat tersebut ada orang soleh. Bukannya bala hanya untuk yang melakukan maksiat, malah juga kesemua yang berada di situ. Jika Allah kehendaki.

Kenapa rasanya yang soleh pun kena? Bukan dia buat baik je ke? Hukuman kan untuk orang jahat je… Sebabnya, orang soleh lah yang berperanan meng’islah’ atau memperbaiki semula keadaan di tempat itu...

Allah Maha Mengetahui segala perbuatan hamba-hambaNya, sama ada  yang membantu agama Allah atau pun yang meruntuhkannya…

Kita dalam satu KEHIDUPAN perlulah saling membantu antara satu sama lain. Mungkin hari ini orang perlukan bantuan kita, mana tau satu hari nanti kita pula yang perlukan bantuan orang lain, betul tak?

Pepatah Melayu ada menyebut: 

Bagai aur dengan tebing.

Yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

 Hidup sepakat membawa berkat.

Berjemaah menegakkan ummah dan daulah islamiyah.

(Cerita ini tiada kena-mengena dengan yang hidup mahu pun yang telah meninggal dunia)

Allahu a’lam.

Friday, April 20, 2012

Jiran Terdekat



Bismillah wassolatu ala rosulillah SAW…

Alhamdulillah Allah pertemukan kita lagi dalam ruangan di alam maya ini pada hari ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:

حَدَّثَنَا عَاصِمُ بْنُ عَلِيٍّ ، حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ ، عَنْ سَعِيدٍ ، عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ قِيلَ ، وَمَنْ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ الَّذِي لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَايِقَهُ.

Mafhumnya: "Demi Allah, tidak beriman (3 kali), ditanya: Siapa wahai Rasulullah?, Baginda bersabda: "Orang yang tidak menjauhkan kejahatannya daripada jirannya"

Saya yakin, setiap daripada kita pasti faham dan mengerti bahawa berbuat baik kepada sesama manusia adalah suatu amalan dan akhlak yang amat dituntut dalam Islam mahupun agama lain. Fitrah manusia telah diciptakan oleh Allah untuk menyukai perkara yang baik dan membenci perkara yang tidak baik. Malangnya individu itu sendiri yang tidak meletakkan haknya pada tempat yang betul sehingga menzalimi dirinya sendiri,dengan cara menganiaya orang lain mahupun diri sendiri.

Tarbiyah yang telah diajar dalam diri setiap manusia sejak kecil lagi agar berlaku ihsan terhadap manusia, haiwan dan tumbuhan bukanlah hanya sekadar didikan kosong, yang boleh ditinggalkan begitu sahaja, malah sifat ini harus dipupuk sehingga tahap ihsan itu naik ke tingkat tertinggi. Apa tingkat tertinggi ihsan? Tahap di mana manusia berasa tidak lari dari pandangan Allah walaupun sesaat sehingga dia berusaha untuk tidak melakukan satu dosa kesalahan pun walau sekecil zarah, kerana keyakinannya bahawa Allah melihatnya di mana sahaja dia berada.

Kadang-kadang kita lupa bahawa kita sebenarnya dikelilingi manusia yang bernama jiran, tak kira dari depan, belakang, kanan mahupun kiri. Islam mensyariatkan umatnya untuk berbuat baik terhadap jiran. Tapi sedar tak sahabat-sahabat, bahawa sahabat mempunyai jiran yang sangat rapat, yang tak mampu terpisah walau kemana jua pergi?

Jiran ini bernama PANCAINDERA. Siapa pancaindera ini? Beliau ialah mata, mulut, telinga, hidung dan tangan kita. Kita cakap kita buat baik pada jiran sebelah rumah, tapi kita buat baik tak pada jiran terdekat kita, iaitu pancaindera ini?


Bagaimana ihsan pada pancaindera?

Mata - > Melihat yang halal dan menundukkan pandangan dari haram
Mulut - > berkata yang halal dan memelihara dari maksiat (mengumpat, mengata dll)
Telinga - > mendengar yang halal dan menjauhi kata-kata maksiat
Hidung - > mencium yang halal dan menjauhi bau maksiat
Tangan - > menyentuh yang halal dan menjauhi yang haram

Halal? Haram? Kenapa umum sangat? Sebab saya tahu sahabat-sahabat semua dah tahu beza antara dua kalimah ini…

Pastikan jiran terdekat, terapat, terbaik sahabat adalah yang pertama sahabat muliakan berbanding yang lain. Selamat memuliakan jiran!

Saturday, April 14, 2012

ana anti wa anti ana...


Apa itu ukhwah?

Ukhwah bermaksud interaksi atau hubungan yang mesra sesama manusia. manakala yang dimaksudkan dengan bukan ukhwah ialah taasub dengan kumpulan atau kelompok masing-masing. Allah SWT berfirman dalam KitabNya yang agung:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara”

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai
berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu…” (Surah Ali Imran:103)

Sesiapa yang berukhwah kerana Allah, maka baginya kelebihan yang banyak. Antaranya:

1- Mukanya bercahaya
2- Terampun dosa-dosanya
3- Akan berada di bawah naungan Arasy Allah
4- Akan berada di bawah naungan Ilahi

Untuk mencapai tahap ukhwah yang disebutkan sebagai ‘kerana Allah’, perlulah mencapai syarat-syarat berikut:

1- Ikhlas bersahabat dengannya kerana Allah, bukan kerana harta atau kelebihannya yang boleh diambil manfaat apabila berkawan dengannya
2- Disertai iman dan taqwa (Al-Hujurat:10) (Az-Zukhruf:67)
3- Iltizam dengan manhaj Islam

)عن أبي هريرة أنه قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم :سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ورجل قلبه معلق بالمسجد إذا خرج منه حتى يعود إليه ورجلان تحابا في الله اجتمعا على ذلك وتفرقا عليه)الحديث

Mafhumnya: “Daripada Abu Hurairah ra berkata; Rasulullah SAW bersabda: Tujuh golongan Allah menaungi mereka dalam naunganNya pada hari tiada naungan selain naunganNya; Imam yang adil, pemuda yang hidupnya beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya melekat dengan masjid jika keluar darinya sehinggalah dia kembali semula kepada masjid itu, dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerananya… ”

4- Tertegak berasaskan nasihat-menasihati (Al-Mujadilah:22) (At-Taubah:23/114) (Al-Hujurat:13)
5- Setia dalam senang dan susah (Al-Maidah:2)

(الدين نصيحة)
“Agama itu nasihat”

“Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”

“Sebaik-baik manusia adalah apabila kamu melihatnya kamu mengingati Allah”

Bagaimana nak eratkan ukhwah?

1- Beritahu kecintaan kita kepada yang dicintainya
2- Doakan sahabat tanpa dia mengetahuinya
3- Gembira dan senyum apabila bertemu
4- Berjabat tangan
5- Saling mengunjungi sahabat
6- Ucapkan selamat (tahniah) apabila gembira
7- Memberinya hadiah pada waktu tertentu
8- Memberi perhatian dan membantu keperluan sahabat
9- Memenuhi hak ukhwah saudara



Virus di hati:

1- Tamak akan kenikmatan dunia
2- Tidak santun dalam berbicara
3- Tidak mendengar kata orang yang sedang berbicara dengan kita malah tidak memalingkan
muka untuk berhadapan dengannya
4- Bergurau secara berlebihan
5- Sering berdebat dan membantah
6- Kritikan keras yang melukai perasaan

“Malapetaka yang PALING BESAR dalam umat adalah PERPECAHAN”

_________________________________________________________________________________________
Sumber: ‘Ukhwah Islamiyah’ karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan

Friday, April 13, 2012

Membina Peradaban Islam: Mencontohi @ Menolak Negara Bukan Islam

Peradaban Islam sebenarnya dalam keadaan semakin runtuh bermula pada tahun 1453M yang mana merupakan tarikh jatuhnya Granada dan Andalus serta jatuhnya Khilafah pada zaman itu iaitu khalifah Turki Uthmaniyah. Maka ia telah menyebabkan pembaharuan yang berlaku dalam ilmu-ilmu Islam seperti sains Islam mulai terhad dan berakhir pada tahun 1500M.

Sejak itu, Islam tidak lagi berkarya selama hampir 500 tahun, juga tiada usaha dalm mencipta ilmu sains baru serta pemikiran atau idea baru dalam ekonomi, pendidikan dan sebagainya tidak bercambah.

Sejarah mencatatkan bahawa pada zaman dahulu, Islam telah menyerap pemikiran tamadun-tamdun lain seperti Tamadun Rom, Parsi dan Yunani. Tetapi Islam tidak mengambil atau meminjamnya secara bulat-bulat, sebaliknya ditapis dengan pemahaman Islam yang telah dibawa dalam Al-Quran dan As-sunnah. Sebagai contoh, Islam mengambil pemikiran mereka (Yunani) dalam ilmu-ilmu sains terutamanya, tetapi Islam menolak ideologi ahli falsafah terkenal Aristotle, yang mana bertentangan dengan Islam.

Dalam erti kata lain, Islam meminjam kepakaran tamadun lain secara selektif, dan kemudiannya akan cuba disesuaikan dengan pandangan alam yang dinamakan proses islamisasi.

Pada tahun 1910 hingga 1920, Islam mula bangkit dari lena mereka dan menyedari ketinggalan mereka dalam bidang ilmu khususnya berbanding tamadun lain. Maka para cendekiawan Islam mula mengorak langkah dengan mengusulkan untuk megambil contoh negara bukan Islam dalam menyelesaikan hal ini.

Timbullah dua reaksi utama yang berbeza antara cendekiawan-cendekiawan ini:

Yang pertama; cendekiawan yang bersifat tradisionalis; mereka ini adalah golongan yang bersikap negatif terhadap negara Barat sehingga menegakkan dasar tutup pintu. Dasar ini disematkan dalam jiwa mereka sehingga merelakan adalah lebih baik masyarakat buta huruf berbanding merosakkan keislaman mereka.

Yang kedua; cendekiawan yang bersifat modenis; iaitu mereka yang mahukan kemajuan dalam masyarakat dengan cara meminjam dan mengimport pemikiran sains dari Barat.

Pada zaman ini, orang melihat sesuatu itu secara materialistik. Islam pada zaman dahulu hebat dengan pemikiran yang lahir daripada tamadun Islam sendiri. Malangnya kebanggaan manusia kini pada ilmu-ilmu atau pemikiran yang dibawakan oleh Islam hanyalah pinjaman dari Barat yang bertopengkan nama Islam. Buktinya, produk-produk ini masih disisipkan dengan ciri kebaratan.

Terdapat beberapa ciri peradaban

Pertama; pandangan hidup. Negara Barat meletakkan pandangan mereka pada ideologi yang telah tersebar ke seluruh dunia pada masa kini, seperti materialisme, sekularisme dan sebagainya. Contohnya; Isaac Newton mengatakan Tuhan itu cuma penggerak dengan mengemukakan teorinya. Hal ini amat bertentangan dengan Islam kerana Islam membezakan af’alullah dan manusia tidak berhak menentukan apa yang wajib dilakukan oleh Allah, tuhan pencipta alam.

Kedua; syariah. Ia bertindak sebagai pemantau dan pembuat sempadan. Ciri ini sangat penting kerana falsafah Barat tidak berlandaskan agama, malah bergantung kepada akal manusia yang terbatas ini semata-mata serta memberi kuasa sepenuhnya dalam menimbang semua perkara. Maka, mereka dilihat sebagai genius kerana menggunakan sepenuhnya logik akal dalam mengembangkan sesuatu ilmu.

Untuk membina sebuah peradaban, gunakanlah alam semahu-mahunya untuk tujuan kapitalisme tanpa mengabaikan maslahat orang lain, di samping mengambilnya dengan selektif menggunakan pandangan alam Islam.

Negara kita sudah merdeka 60 tahun yang lalu. Malangnya, kita masih gagal membina sebuah peradaban yang gemilang amnya, dan peradaban Islam khususnya. Adakah dengan hanya menghadiahkan komputer riba kepada setiap pelajar sekolah rendah mampu mencipta sebuah peradaban Islam yang hebat? Tidak mudah, tetapi bukan mustahil. Malaysia masih memerlukan kepakaran yang pelbagai daripada pihak luar tetapi perlu ditapis dengan pemahaman Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-sunnah untuk membina sebuah peradaban.

Oleh itu, untuk memulakan proses adaptasi dalam bidang teknologi, ekonomi, budaya, alam sekitar
dan sebagainya daripada negara bukan Islam, perlu ada asas-asasnya yang mantap. Malaysia memerlukan pakar dalam bidang ilmu tauhid (sifat ma’ani), syariah, dan ilmu pembinaan negara (ilmu umran). Dengan asas yang teguh, maka ilmu dari Barat ini seperti ilmu sains dan ilmu kemanusiaan mampu diterokai tetapi masih melalui pengubahsuaian yang disesuaikan dengan zaman tersebut.

Saturday, January 28, 2012

Cinta Kekasih Allah

Bismillahirrahmanirrahim...

Teringat zaman sekolah rendah dulu, Sekolah Rendah Islam Indera Mahkota, saya bersama sahabat2 lain menyertai pertandingan nasyid antara sekolah2, saya tak ingat kami dapat tempat ke berapa, tapi itulah kenangan manis kami bersama. Alhamdulillah, hasil didikan muallim dan muallimah kami membesar menjadi manusia...Jazakumullahu khairan.

Nasyid 'Rasulullah' adalah salah satu nasyid yang didendangkan dulu...

Hayatilah...

Rasulullah
Dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Rasulullah
Kami umatmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan Rasul sebagai pembela

Tidak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Hu....Hu...Hu...

Rasulullah
Dalam menegenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran...

Marilah memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW, menghidupkan sunnah baginda, dan menghayati sirah2 baginda SAW...

Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 31:

Terjemahannya:"Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Semoga Allah menempatkan kita bersama Baginda SAW, ahli bait Baginda, para sahabat Baginda, para syuhada Allah beserta para salafussoleh...amin.