Friday, April 27, 2012

Cakna Masalah Kawan...


Assalamualaikum sahabat2 semua. Apa khabar?

Hari ini saya nak cerita satu cerita, macam cerita kanak-kanak, tapi insyaAllah bawa makna yang besar dalam hidup sebagai seorang manusia.

Ceritanya adalah cerita antara tikus, ayam, kambing dan lembu. Bayangkan haiwan-haiwan ini boleh berkata-kata…

Ceritanya bermula di sebuah rumah kecil yang terletak di hujung kampung. Tinggallah sepasang suami isteri yang tidaklah terlalu muda juga tidaklah terlalu tua. Mereka sedang mengemaskan barang-barang dapur yang baru dibeli oleh mereka sebentar tadi. Tanpa mereka sedari, perbuatan mereka sedang diperhatikan oleh seekor tikus di celah lubang kayu rumah mereka. Tikus juga tidak menyangka dia sedang memerhatikan sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat oleh tikus itu. Tuan rumah sedang memasang perangkap tikus yang baru sahaja dibeli, kerana mereka merasakan kehadiran haiwan perosak itu di rumah mereka.

Lalu, hebohlah sang tikus dengan berkata; “Tuan rumah pasang perangkap tikus! Tuan rumah pasang perangkap tikus!” Sang tikus terus-menerus menghebohkan cerita tersebut kepada haiwan-haiwan di sekitarnya.

Dia berjumpa dengan sang ayam, “Tuan rumah memasang perangkap tikus! Tuan rumah memasang perangkap tikus! ”  Sang ayam pun membalas, “Encik T, perangkap itu untuk awak, tak mudaratkan saya apa-apa pun”. Sang tikus terus berlalu dengan rasa hampa.

Sang tikus tak berasa putus asa, maka dia berjumpa pula dengan sang kambing, “Cik B, tau tak ada perangkap tikus di rumah tuan kita, tau tak?!” Sang kambing menjawab; “Yelah Encik T, kalau saya tau pun, bukan ada kena-mengena dengan saya”. Maka berlalu sang tikus setelah mendengar jawapan yang tidak memuaskan dari si kambing.

Kali ini, dia bertekad untuk berjumpa dengan sang lembu pula; “Uncle L, ada berita terkini ni! Uncle tau tak tuan rumah kita ada pasang perangkap tikus, tadi baru saya nampak! Perangkap tikus!” Jawapan sang lembu juga seperti haiwan lain, tidak mengendahkan kata-kata sang tikus yang memberi amaran.

Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Pada malam hari, si suami mendengar satu bunyi pelik di dapur mereka.

Si isteri berkata: “Bang, dengar tak bunyi sesuatu kat dapur tu?”

Si suami menjawab: “Aahlah, abang pun dengar. Pencuri ke? Tak pun perangkap kita mengena…”

Maka, mereka dengan berhati-hati ke arah bunyi yang kedengaran. Setibanya mereka di sana, sangkaan mereka meleset, malah mereka sedang berdepan dengan seekor ular yang sangat besar. Ular tersebut sedang menggelupur kesakitan apabila ekornya terkena perangkap tikus yang dipasang suami isteri itu.

Apabila ular itu melihat kehadiran suami isteri tersebut, maka dengan serta-merta ular itu cuba menerkam kedua-dua mangsanya. Dengan pantas, si suami menarik tangan si isteri untuk melarikan diri, malangnya kaki si isteri sempat dipatuk oleh ular tersebut sebelum dipukul bertalu-talu oleh si suami. Akhirnya ular itu pun mati.

Akibat patukan ular, si isteri mengalami demam yang teruk. Si suami mendapat petua untuk memulihkan demam dengan cara memberi makan bubur sup ayam. Maka disembelih ayam ternakannya untuk dibuat bubur sup ayam. Tetapi demam tidak kebah juga.

Kelihatan si isteri semakin tenat, ramailah sahabat-sahabat menziarahi isterinya yang sedang sakit. Si suami terpaksa meninggalkan kerjanya untuk menjaga si isteri. Si suami berasa segan jika dibiarkan tetamu datang tak dihidangkan dengan apa-apa makanan. Dengan rela hatinya, si suami menyembelih kambing ternakannya. Dihidangkan kambing yang dimasak tersebut kepada tetamu-tetamu yang hadir.

Racun yang berada di dalam tubuh si isteri merebak sehinggalah terpisahlah roh dari jasad si isteri. Maka, diadakan upacara pengkebumian si isteri. Si suami pun menyembelih satu-satunya lembu ternakannya untuk dihidangkan kepada tetamu yang menghadiri upacara tersebut.

Si tikus hanya melihat keadaan yang berlaku ke atas haiwan lain melalui lubang kayu di rumah tersebut dengan linangan air mata.

Jadi, apa kesimpulan yang kita boleh ambil ye sahabat-sahabat??

Antaranya, kalau kawan-kawan kita ada masalah, jangan jadi macam sang ayam, Cik B dan juga Uncle L. 

Sebenarnya kalau salah seorang daripada kita diancam, maka kita juga sedang menghadapi risiko yang 
sama.

Pernah dengar tak, Allah akan timpakan bencana di sesuatu tempat yang berlaku kemungkaran, walaupun di tempat tersebut ada orang soleh. Bukannya bala hanya untuk yang melakukan maksiat, malah juga kesemua yang berada di situ. Jika Allah kehendaki.

Kenapa rasanya yang soleh pun kena? Bukan dia buat baik je ke? Hukuman kan untuk orang jahat je… Sebabnya, orang soleh lah yang berperanan meng’islah’ atau memperbaiki semula keadaan di tempat itu...

Allah Maha Mengetahui segala perbuatan hamba-hambaNya, sama ada  yang membantu agama Allah atau pun yang meruntuhkannya…

Kita dalam satu KEHIDUPAN perlulah saling membantu antara satu sama lain. Mungkin hari ini orang perlukan bantuan kita, mana tau satu hari nanti kita pula yang perlukan bantuan orang lain, betul tak?

Pepatah Melayu ada menyebut: 

Bagai aur dengan tebing.

Yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

 Hidup sepakat membawa berkat.

Berjemaah menegakkan ummah dan daulah islamiyah.

(Cerita ini tiada kena-mengena dengan yang hidup mahu pun yang telah meninggal dunia)

Allahu a’lam.

Friday, April 20, 2012

Jiran Terdekat



Bismillah wassolatu ala rosulillah SAW…

Alhamdulillah Allah pertemukan kita lagi dalam ruangan di alam maya ini pada hari ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:

حَدَّثَنَا عَاصِمُ بْنُ عَلِيٍّ ، حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ ، عَنْ سَعِيدٍ ، عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ قِيلَ ، وَمَنْ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ الَّذِي لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَايِقَهُ.

Mafhumnya: "Demi Allah, tidak beriman (3 kali), ditanya: Siapa wahai Rasulullah?, Baginda bersabda: "Orang yang tidak menjauhkan kejahatannya daripada jirannya"

Saya yakin, setiap daripada kita pasti faham dan mengerti bahawa berbuat baik kepada sesama manusia adalah suatu amalan dan akhlak yang amat dituntut dalam Islam mahupun agama lain. Fitrah manusia telah diciptakan oleh Allah untuk menyukai perkara yang baik dan membenci perkara yang tidak baik. Malangnya individu itu sendiri yang tidak meletakkan haknya pada tempat yang betul sehingga menzalimi dirinya sendiri,dengan cara menganiaya orang lain mahupun diri sendiri.

Tarbiyah yang telah diajar dalam diri setiap manusia sejak kecil lagi agar berlaku ihsan terhadap manusia, haiwan dan tumbuhan bukanlah hanya sekadar didikan kosong, yang boleh ditinggalkan begitu sahaja, malah sifat ini harus dipupuk sehingga tahap ihsan itu naik ke tingkat tertinggi. Apa tingkat tertinggi ihsan? Tahap di mana manusia berasa tidak lari dari pandangan Allah walaupun sesaat sehingga dia berusaha untuk tidak melakukan satu dosa kesalahan pun walau sekecil zarah, kerana keyakinannya bahawa Allah melihatnya di mana sahaja dia berada.

Kadang-kadang kita lupa bahawa kita sebenarnya dikelilingi manusia yang bernama jiran, tak kira dari depan, belakang, kanan mahupun kiri. Islam mensyariatkan umatnya untuk berbuat baik terhadap jiran. Tapi sedar tak sahabat-sahabat, bahawa sahabat mempunyai jiran yang sangat rapat, yang tak mampu terpisah walau kemana jua pergi?

Jiran ini bernama PANCAINDERA. Siapa pancaindera ini? Beliau ialah mata, mulut, telinga, hidung dan tangan kita. Kita cakap kita buat baik pada jiran sebelah rumah, tapi kita buat baik tak pada jiran terdekat kita, iaitu pancaindera ini?


Bagaimana ihsan pada pancaindera?

Mata - > Melihat yang halal dan menundukkan pandangan dari haram
Mulut - > berkata yang halal dan memelihara dari maksiat (mengumpat, mengata dll)
Telinga - > mendengar yang halal dan menjauhi kata-kata maksiat
Hidung - > mencium yang halal dan menjauhi bau maksiat
Tangan - > menyentuh yang halal dan menjauhi yang haram

Halal? Haram? Kenapa umum sangat? Sebab saya tahu sahabat-sahabat semua dah tahu beza antara dua kalimah ini…

Pastikan jiran terdekat, terapat, terbaik sahabat adalah yang pertama sahabat muliakan berbanding yang lain. Selamat memuliakan jiran!

Saturday, April 14, 2012

ana anti wa anti ana...


Apa itu ukhwah?

Ukhwah bermaksud interaksi atau hubungan yang mesra sesama manusia. manakala yang dimaksudkan dengan bukan ukhwah ialah taasub dengan kumpulan atau kelompok masing-masing. Allah SWT berfirman dalam KitabNya yang agung:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara”

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai
berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu…” (Surah Ali Imran:103)

Sesiapa yang berukhwah kerana Allah, maka baginya kelebihan yang banyak. Antaranya:

1- Mukanya bercahaya
2- Terampun dosa-dosanya
3- Akan berada di bawah naungan Arasy Allah
4- Akan berada di bawah naungan Ilahi

Untuk mencapai tahap ukhwah yang disebutkan sebagai ‘kerana Allah’, perlulah mencapai syarat-syarat berikut:

1- Ikhlas bersahabat dengannya kerana Allah, bukan kerana harta atau kelebihannya yang boleh diambil manfaat apabila berkawan dengannya
2- Disertai iman dan taqwa (Al-Hujurat:10) (Az-Zukhruf:67)
3- Iltizam dengan manhaj Islam

)عن أبي هريرة أنه قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم :سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ورجل قلبه معلق بالمسجد إذا خرج منه حتى يعود إليه ورجلان تحابا في الله اجتمعا على ذلك وتفرقا عليه)الحديث

Mafhumnya: “Daripada Abu Hurairah ra berkata; Rasulullah SAW bersabda: Tujuh golongan Allah menaungi mereka dalam naunganNya pada hari tiada naungan selain naunganNya; Imam yang adil, pemuda yang hidupnya beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya melekat dengan masjid jika keluar darinya sehinggalah dia kembali semula kepada masjid itu, dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerananya… ”

4- Tertegak berasaskan nasihat-menasihati (Al-Mujadilah:22) (At-Taubah:23/114) (Al-Hujurat:13)
5- Setia dalam senang dan susah (Al-Maidah:2)

(الدين نصيحة)
“Agama itu nasihat”

“Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”

“Sebaik-baik manusia adalah apabila kamu melihatnya kamu mengingati Allah”

Bagaimana nak eratkan ukhwah?

1- Beritahu kecintaan kita kepada yang dicintainya
2- Doakan sahabat tanpa dia mengetahuinya
3- Gembira dan senyum apabila bertemu
4- Berjabat tangan
5- Saling mengunjungi sahabat
6- Ucapkan selamat (tahniah) apabila gembira
7- Memberinya hadiah pada waktu tertentu
8- Memberi perhatian dan membantu keperluan sahabat
9- Memenuhi hak ukhwah saudara



Virus di hati:

1- Tamak akan kenikmatan dunia
2- Tidak santun dalam berbicara
3- Tidak mendengar kata orang yang sedang berbicara dengan kita malah tidak memalingkan
muka untuk berhadapan dengannya
4- Bergurau secara berlebihan
5- Sering berdebat dan membantah
6- Kritikan keras yang melukai perasaan

“Malapetaka yang PALING BESAR dalam umat adalah PERPECAHAN”

_________________________________________________________________________________________
Sumber: ‘Ukhwah Islamiyah’ karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan

Friday, April 13, 2012

Membina Peradaban Islam: Mencontohi @ Menolak Negara Bukan Islam

Peradaban Islam sebenarnya dalam keadaan semakin runtuh bermula pada tahun 1453M yang mana merupakan tarikh jatuhnya Granada dan Andalus serta jatuhnya Khilafah pada zaman itu iaitu khalifah Turki Uthmaniyah. Maka ia telah menyebabkan pembaharuan yang berlaku dalam ilmu-ilmu Islam seperti sains Islam mulai terhad dan berakhir pada tahun 1500M.

Sejak itu, Islam tidak lagi berkarya selama hampir 500 tahun, juga tiada usaha dalm mencipta ilmu sains baru serta pemikiran atau idea baru dalam ekonomi, pendidikan dan sebagainya tidak bercambah.

Sejarah mencatatkan bahawa pada zaman dahulu, Islam telah menyerap pemikiran tamadun-tamdun lain seperti Tamadun Rom, Parsi dan Yunani. Tetapi Islam tidak mengambil atau meminjamnya secara bulat-bulat, sebaliknya ditapis dengan pemahaman Islam yang telah dibawa dalam Al-Quran dan As-sunnah. Sebagai contoh, Islam mengambil pemikiran mereka (Yunani) dalam ilmu-ilmu sains terutamanya, tetapi Islam menolak ideologi ahli falsafah terkenal Aristotle, yang mana bertentangan dengan Islam.

Dalam erti kata lain, Islam meminjam kepakaran tamadun lain secara selektif, dan kemudiannya akan cuba disesuaikan dengan pandangan alam yang dinamakan proses islamisasi.

Pada tahun 1910 hingga 1920, Islam mula bangkit dari lena mereka dan menyedari ketinggalan mereka dalam bidang ilmu khususnya berbanding tamadun lain. Maka para cendekiawan Islam mula mengorak langkah dengan mengusulkan untuk megambil contoh negara bukan Islam dalam menyelesaikan hal ini.

Timbullah dua reaksi utama yang berbeza antara cendekiawan-cendekiawan ini:

Yang pertama; cendekiawan yang bersifat tradisionalis; mereka ini adalah golongan yang bersikap negatif terhadap negara Barat sehingga menegakkan dasar tutup pintu. Dasar ini disematkan dalam jiwa mereka sehingga merelakan adalah lebih baik masyarakat buta huruf berbanding merosakkan keislaman mereka.

Yang kedua; cendekiawan yang bersifat modenis; iaitu mereka yang mahukan kemajuan dalam masyarakat dengan cara meminjam dan mengimport pemikiran sains dari Barat.

Pada zaman ini, orang melihat sesuatu itu secara materialistik. Islam pada zaman dahulu hebat dengan pemikiran yang lahir daripada tamadun Islam sendiri. Malangnya kebanggaan manusia kini pada ilmu-ilmu atau pemikiran yang dibawakan oleh Islam hanyalah pinjaman dari Barat yang bertopengkan nama Islam. Buktinya, produk-produk ini masih disisipkan dengan ciri kebaratan.

Terdapat beberapa ciri peradaban

Pertama; pandangan hidup. Negara Barat meletakkan pandangan mereka pada ideologi yang telah tersebar ke seluruh dunia pada masa kini, seperti materialisme, sekularisme dan sebagainya. Contohnya; Isaac Newton mengatakan Tuhan itu cuma penggerak dengan mengemukakan teorinya. Hal ini amat bertentangan dengan Islam kerana Islam membezakan af’alullah dan manusia tidak berhak menentukan apa yang wajib dilakukan oleh Allah, tuhan pencipta alam.

Kedua; syariah. Ia bertindak sebagai pemantau dan pembuat sempadan. Ciri ini sangat penting kerana falsafah Barat tidak berlandaskan agama, malah bergantung kepada akal manusia yang terbatas ini semata-mata serta memberi kuasa sepenuhnya dalam menimbang semua perkara. Maka, mereka dilihat sebagai genius kerana menggunakan sepenuhnya logik akal dalam mengembangkan sesuatu ilmu.

Untuk membina sebuah peradaban, gunakanlah alam semahu-mahunya untuk tujuan kapitalisme tanpa mengabaikan maslahat orang lain, di samping mengambilnya dengan selektif menggunakan pandangan alam Islam.

Negara kita sudah merdeka 60 tahun yang lalu. Malangnya, kita masih gagal membina sebuah peradaban yang gemilang amnya, dan peradaban Islam khususnya. Adakah dengan hanya menghadiahkan komputer riba kepada setiap pelajar sekolah rendah mampu mencipta sebuah peradaban Islam yang hebat? Tidak mudah, tetapi bukan mustahil. Malaysia masih memerlukan kepakaran yang pelbagai daripada pihak luar tetapi perlu ditapis dengan pemahaman Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-sunnah untuk membina sebuah peradaban.

Oleh itu, untuk memulakan proses adaptasi dalam bidang teknologi, ekonomi, budaya, alam sekitar
dan sebagainya daripada negara bukan Islam, perlu ada asas-asasnya yang mantap. Malaysia memerlukan pakar dalam bidang ilmu tauhid (sifat ma’ani), syariah, dan ilmu pembinaan negara (ilmu umran). Dengan asas yang teguh, maka ilmu dari Barat ini seperti ilmu sains dan ilmu kemanusiaan mampu diterokai tetapi masih melalui pengubahsuaian yang disesuaikan dengan zaman tersebut.