Wednesday, October 7, 2015

Tanda Bergantung Kepada Amal

Hikmah pertama daripada Hikmah-Hikmah Ibn ‘Atoillah al-Sakandari



#TANDA BERGANTUNG KEPADA AMAL#

(Tanda bergantung kepada amal adalah rasa kurangnya pengharapan kepada Allah ketika kegelinciran dosa)


Apabila beramal, timbul rasa tenang di dalam hati kerana telah melaksanakan perintah Allah. Sebaliknya apabila tidak beramal atau tertinggal amalan itu, terasa jauh daripada rahmat Allah.

Sebagai contoh, apabila kita telah melakukan solat, kita rasa ketenangan setelah melaksanakannya, tetapi apabila tertinggal sahaja solat itu, di hati kita penuh rasa duka dan merasakan Allah tidak lagi memberikan rahmatNya disebabkan solat yang tertinggal itu.

Maka, apabila timbulnya perasaan itu pada hati kita, ketahuilah bahawa kita tergolong dalam kalangan mereka yang bergantung kepada amalan.

Sedangkan Allah SWT lah yang telah memberikan kepada kita izinNya untuk kita beramal. Sedangkan dengan rahmat Allah lah kita mampu untuk beramal. Tiada kekuatan dan tiada kuasa kecuali Allah.

Allah berfirman dalam surah as-Soffat ayat 96:

ª!$#ur ö/ä3s)n=s{ $tBur tbqè=yJ÷ès? ÇÒÏÈ  

Maksudnya: "Padahal Allah lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu".

Kebergantungan kepada amalan akan menjadikan seseorang merasa sombong dengan amalannya. Apabila dia beramal, dia berasa bahawa Allah melihatnya dengan pandangan rahmat, dan apabila tidak beramal, rahmat Allah menjauhinya. Bukankah rahmat Allah itu maha luas? Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmatNya buat hamba-hambaNya.

Jika kita mengharapkan redha Allah dengan amalan yang kita lakukan, takkan mampu kita bayar segala yang telah Allah kurniakan untuk kita termasuklah bernafas dan mengelipkan mata. Maka mohonlah rahmat Allah kerana dengan belas kasihan Allah lah yang menyebabkan kita mampu untuk beramal.

Allah SWT maha pengampun. Lafaz Muslim daripada Abu Hurairah ra secara marfu’, daripada Abu Ayyub:

((لولا أنكم تذنبون لخلق الله خلقاً يذنبون يغفر لهم)) 

Maksudnya: Jika kamu tidak melakukan dosa, Allah akan cipta makhluk lain yang akan melakukan dosa dan Allah akan mengampuninya.

Sesungguhnya manusia memang diciptakan Allah dengan pilihan untuk melakukan pahala ataupun dosa. Maka, bergantunglah dengan Allah untuk mendapatkan rahmatNya agar memberikan kekuatan kepada kita untuk beramal dan menjauhi dosa.

Rasulullah SAW bersabda:

((لَا يَدْخُلُ أَحَدُكُمُ الْجَنَّةَ بِعَمَلِهِ)) قَالُوا: وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: (( وَلَا أَنَا، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي اللهُ بِرَحْمته))

Maksudnya: "Kamu tidak akan masuk ke syurga dengan amalannya". Mereka berkata: Walaupun engkau wahai Rasulullah?. Baginda bersabda: "Walaupun aku, kecuali Allah memasukkan aku dengan rahmatNya".

Syeikh Ahmad Zarruq membahagikan manusia kepada tiga kumpulan; mereka yang bergantung kepada amalan, mereka yang bergantung kepada penerimaan Allah, dan mereka yang bergantung kepada qada’ dan qadar (merasa bahawa setiap perkara telah ditentukn Allah dan tidak perlu kepada amalan dan pilihan manusia). Kumpulan pertama dan ketiga bergantung kepada selain Allah, manakala beruntunglah kumpulan kedua yang mengharapkan penerimaan dan pandangan Allah terhadapnya.

Pahala yang diperoleh adalah rahmat daripada Allah. Dosa yang ditimpakan adalah tanda adilnya Allah SWT.

70 orang wali Allah takkan dapat menyamai kewalian Rabiatul Adawiyah apabila Rabiatul Adawiyah mengucapkan:

(اللهم إني لا أعبدك خوفاً من نارك، ولا طمعاً في جنتك، ولكني أعبدك لأنك أهلٌ للعبادة)

Maksudnya: Ya Allah, seseungguhnya aku tidak menyembahMu kerana takutkan neraka atau kerana mehukan syurgaMu, tetapi aku menyembahMu kerana Engkau yang selayaknya untuk disembah.

Jika Allah tidak menciptakan syurga mahupun neraka pun, Allah tetap satu-satunya yang mesti dan selayaknya untuk disembah.

Wallahu a’lam.


(Perkongsian daripada kuliah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Rashidy bin Jamil di Surau al-Manar Presint 14 Putrajaya pada 7 Oktober 2015)