Saturday, January 11, 2014

Dunia...

Bismillah wal hamdulillah...


Hari ni saya nak kongsikan pesanan Rasulullah SAW melalui sunnah quliyah (sunnah yang Rasulullah sampaikan dengan kata-kata)...Antaranya berkaitan dunia. Dunia ni satu alam yang sangat indah secara zohirnya, kerana di dunia ini ada segala-galanya yang kita nak. Sahabat2 cuba fikir, apa yang sahabat nak, pasti dunia ada. Tapi ia akan nampak sangat menyesakkan di mata para auliya dan solihin, kerana ia penuh dengan ujian dan dosa. Pernah tak dengar, dunia syurga kafir, neraka/penjara mukmin? Inilah yang dimaksudkan dengan kesenangan dunia.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah bersabda: "Hati seorang lelaki yang sudah tua hidup dengan dua perkara: Suka kehidupan (umur panjang) dan harta"...

Syeikh Yusri Jabr -hafizahullah- menghuraikan hadis ini dengan dua sudut pandang yang berbeza. Pertama: Jika kita huraikan hadis dengan pandangan yang baik, ia akan bermaksud orang tua sukakan umur yang panjang untuk dimanfaatkan dengan ketaatan kepada Allah SWT dan harta yang banyak untuk dibelanjakan di jalan Allah, manakala yang kedua, dari pandangan yang buruk, orang tua ini sukakan umur panjang dan harta yang melimpah-ruah untuk dihabiskan dengan nikmat dunia yang hanya sementara.

Manusia juga takkan pernah puas dengan apa yang ada, jika ada dua wadi (tasik) yang penuh dengan harta pun, dia akan mencari yang ketiga, begitulah seterusnya, sehinggalah rongganya dipenuhi dengan tanah, apabila ditimbus dan ditanam nanti.

Tetapi hanya orang yang Allah tunjukkan jalan yang benar yang dapat lari daripada ujian dunia ini. Al-Imam As-Syafie pernah menyebut: "الغنى عن شيء لا به"  maksudnya: "Kekayaan itu adalah dengan tidak memerlukannya"

Jika kita orang yang sangat kaya dengan wang, sudah tentu jika ada orang mahu berikan duit syiling, kita akan menolak kerana kita kaya. Sebaliknya, orang yang tidak punya harta, pasti dia amat memerlukan walaupun dengan nilai yang sangat sedikit. Jika ada orang kaya yang masih mengumpulkan duit sedangkan keperluannya sudah mencukupi, itu bermakna dia adalah seorang yang miskin, kerana dia masih perlukan duit tersebut. Sebab itu, Islam melarang hambaNya untuk meminta-minta, tapi mintalah daripada Allah, kerana Allah takkan pernah menolak permintaan orang yang meminta daripadaNya. Redhalah dengan apa yang Allah tetapkan untuk kita melalui usaha, bukanlah semata-mata menunggu hujan emas dari langit!

Sempena bulan yang mulia ini, Rabiul Anwar, bulan kelahiran kekasih agung Rasulullah SAW, marilah kita sama-sama mencontohi akhlak Baginda SAW yang tak pernah menolak permintaan sesiapa yang meminta daripadanya walaupun seperti mana seorang A'rabi meminta daripada Rasulullah secara kasar, dengan memanggil nabi SAW Muhammad, dan mencekik Rasulullah dengan kain di leher Baginda hingga diceritakan kain tersebut terputus dua, betapa kuatnya sentapan pada leher baginda yang mulia dan terlihat kesan padanya. Rasulullah bukan sahaja tidak marah, malah ketawa dan memberikan apa yang diminta.

Ya Allah, kurniakan kami mutabaah (mencontohi) Nabi SAW pada permulaan, pengakhiran, zahir, batin,  kata-kata, tingkah laku, ketaatan, ibadah, dan amal soleh. Kami rindu pada mu ya Rasulullah!!!

Sollu 'alan Nabi SAW!
 

Tuesday, January 7, 2014

Sedekah:Berkurang Tapi Bertambah




((كل معروف صدقة))

Tiga perkataan yang Rasulullah ajarkan kepada kita yang bermaksud : “Setiap perkara yang baik adalah sedekah”.

Hanya dengan tiga perkataan sahaja Rasulullah telah membawa satu mesej yang sangat besar maknanya. Segala perkara yang baik yang dilakukan oleh seorang muslim akan dikira sebagai sedekah. Sedekah pula akan dibalas dengan pelbagai ganjaran di dunia, iaitu beroleh keberkatan dalam hartanya, dan juga di akhirat, iaitu pahala yang menggunung di sisi Allah.

Pernahkah kita terfikir bagaimana harta yang diinfakkan di jalan Allah yang sepatutnya menjadi semakin sedikit, tetapi dengan berkat sedekah tersebut, Allah berikan tambahan? Cuba bayangkan, ada seorang lelaki yang hidupnya sederhana, dia suka memberi sedekah kepada fakir miskin, suatu hari anaknya diserang demam, kebetulan dia mempunyai ubat demam di rumahnya sebagai simpanan. Beberapa hari selepas mengambil ubat tersebut, anaknya kembali pulih seperti biasa. Ada pula seorang lagi lelaki yang kaya raya, dia tidak suka bersedekah dan memandang rendah kepada orang miskin, suatu hari bapanya rebah secara tiba-tiba, apabila dibawa berjumpa doktor, tahulah dia bahawa bapanya menderita barah otak. Untuk menyelamatkan bapanya, dia harus membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk membiayai kos perubatan yang memakan masa bertahun-tahun untuk pulih.

Adakah perbezaan di antara kedua-dua kisah di atas? Walaupun cerita di atas hanya rekaan semata-mata, tetapi Allah tidak akan sesekali meninggalkan hambaNya yang Dia sayangi, lelaki yang suka bersedekah tersebut tidak perlu mengeluarkan sesen pun daripada wangnya untuk merawat anaknya yang sakit, sebaliknya lelaki yang tidak pernah bersedekah itu dalam sekelip mata wangnya habis untuk merawat bapanya yang sakit.

Keberkatan yang Allah janjikan bagi setiap sedekah itu akan diberikan dalam keadaan kita sedar mahupun tidak sedar, tetapi yakinlah janji Allah melalui lisan kekasihNya SAW:

   ((ما تصدق أحد بصدقة من طيب ولا يقبل الله إلا الطيب إلا أخذها الرحمن بيمينه وإن كانت تمرة فتربو في كف الرحمن حتى تكون أعظم من الجبل كما يربي أحدكم فلوه أو فصيله))

“Tidaklah seorang daripada kamu bersedekah dengan harta yang halal –Allah tidak menerima kecuali yang halal- kecuali arRahman akan mengambilnya dengan kanannya (Allah akan menerima, menambahkannya dan memberkatinya), walaupun (bersedekah) dengan sebiji kurma, dan (pahala bagi) harta itu bertambah di sisi Allah sehingga menjadi lebih besar daripada bukit, seperti mana kamu membesarkan anak kuda atau anak unta kamu”.

Bersedekahlah dengan apa yang kita ada, kerana Allah Maha Kaya, Dia tidak melihat berapa yang kita sedekahkan, tetapi Dia melihat hati sesiapa yang bersedekah.

Tetapi jangan pula menjadi ‘robinhood’ yang membantu orang lain dengan cara mencuri, kerana di dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara!

Wallahu a'lam...

(Sedikit perkongsian daripada Syeikh Yusri Jabr Al-Hasani kitab Sohih Muslim "Bab 17:Nama sedekah terletak pada semua jenis kebaikan" dan "Bab 20:Diterima sedekah daripada harta halal dan dipelihara" )