Saturday, March 30, 2013

Dakwah Hanya Untuk Ustaz Ustazah??

Bismillah wal hamdulillah

"Kebanyakan muslim pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai
daripada beribadat kepada Allah s.w.t dan mentaati perintah-Nya.

Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur.
Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak
tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan
manusia yang nyenyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing
dan menjauhkan diri daripada api. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka
yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka
terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana
mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu
barulah diberikan peringatan.

Dalam banyak kes, ketika usaha membangunkan orang yang sedang nyenyak
tidur dilakukan, mereka tidak mahu bangun kerana sedang enak tidur dan tidak mahu
diganggu. Ini kerana dia masih tidur dan belum lagi sedar. Jika dia benar-benar sedari
dari tidurnya dan melihat api yang sedang membakar, nescaya dia bersegera
menyelamatkan diri. Kata-katanya bahawa dia telah sedar tidak boleh dipercayai
sepenuhnya kecuali apabila diikuti dengan tindakan menjauhkan diri dari api itu."

Ini adalah petikan daripada terjemahan tulisan Ustaz Mustafa Masyhur dalam kitabnya Dakwah Fardiah.

Benarlah, dakwah itu bukan senang. Perlukan pengorbanan kerana para mad'u (orang yang diseru) bukan serupa sifat dan perangainya. Seperti orang yang sedang tidur itu. Ada manusia yang mudah terjaga hanya dengan bunyi yang halus. Ada yang hanya mungkin terjaga dengan loceng yang sangat kuat. Ada juga yang hanya akan terjaga apabila keenakan tidur itu sudah dipenuhi dalam dirinya.

Maka apabila jenis mad'u ini pelbagai, maka perlukan da'ie (orang yang menyeru) yang juga pelbagai, tidak kira sama ada dari segi bilangan atau pun dari segi cara.

Allah menyebut dalam Al-Quran yang mulia dalam Surah An-Nahl:

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين  125  

 "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. "

Seruan ini bukan hanya tertumpu kepada para ustaz, ustazah dan alim ulama sahaja, tetapi ia adalah untuk semua yang bergelar hamba Allah. Kerana kita telah ditaklifkan (diamanahkan) untuk menjadi khalifahnya, maka tugas khalifah adalah menyeru manusia kepada Allah dan meng'imarah'kan (memajukan) bumi Allah ini.

Tidak benarlah jika ada yang mengatakan:

"Aku bukan ustaz nak ajak orang buat baik"

"Aku ni bukan baik sangat pun, tak mampu dakwah pun"

"wah, dakwah? ustaz-ustaz kan dah ramai"

"Ala, ilmu tak banyak lagilah"

Fahamilah bahawa dakwah bukan hanya memberi ceramah di surau-surau, bukan hanya daripada orang yang memakai jubah dan kopiah, dan bukan hanya daripada orang yang menghafal Al-Quran dan membaca kitab berbahasa Arab, tetapi skop dakwah sangat luas. Mulakan daripada diri sendiri. Amalkan sifat yang dipuji, jauhi sifat yang dikeji. Tidak mustahil, kita yang baru berjinak dengan amal soleh, baru mula untuk menjadi baik, adalah orang yang menjadi sebab untuk seseorang muslim yang lain menjadi baik atau bukan muslim untuk tertarik dengan Islam.

Inilah yang dinamakan dakwah dengan hal (keadaan). Ada banyak jalan dakwah, tapi yang penting semuanya bermula dengan niat di hati. Dan InsyaAllah Allah akan permudahkan jalan seterusnya. InsyaAllah...

Wallahu a'lam.

Tuesday, March 5, 2013

Bermulanya Sebuah Tamadun



Bismillah walhamdulillah…

Rasa sangat lama tidak melakar sesuatu di blog ini, perasaan membuak2 untuk menulis, tapi apakan daya masa telah berjaya memotong saya. Saya terpaksa merelakannya dan cuba untuk memotongnya semula.

الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك
“Masa ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya ia akan memotong kamu”

Teringat belajar alhikam wal amsal semasa menengah rendah dengan Ustaz Amir (sila klik ke blog ustaz), sungguh saya sangat rindu saat itu. Jadualnya terancang, tarbiyahnya terpelihara, ukhwahnya sangat manis. Indahnya zaman persekolahanku. Hidup di kampus kadang2 menyesakkan, dan perlukan keazaman yang tinggi untuk berjaya.

Sekarang sahabat2 saya semuanya telah merantau jauh ke seluruh pelosok dunia. Ada yang ke Mesir, ada ke Jordan, ada ke Indonesia, ada ke UK, ada ke Jepun dan tempat-tempat lain. Tak lupa juga yang bertebaran di bumi Malaysia tercinta, dari Selangor ke Kedah, Perak ke Sabah, Sarawak dan lain2.

Bukankah Allah pernah berfirman:     

 ياأيها الذين آمنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون ( 9 ) فإذا قضيت الصلاة فانتشروا في الأرض وابتغوا من فضل الله واذكروا الله كثيرا لعلكم تفلحون

9. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat Yang sebenarnya),
10. kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat). (Surah Jumuah)

Allah tidak memerintahkan kita bertebaran di atas bumiNya semata-mata untuk melihat2, meninjau2 mahupun melancong, tetapi Dia memerintahkan hambaNya untuk mencari segala isi yang tersurat mahupun tersirat di atas Bumi ini yang telah Allah kurniakan untuk kita. Kerana Allah telahpun menundukkan segala isi bumi dan langit untuk kita gunakan dalam kehidupan seharian dalam mencapai tahap ubudiyyah kepadaNya. Allah jadikan matahari bagi menerangi siang untuk manusia bekerja, Allah juga jadikan bulan (yang tidak bercahaya) pada waktu malam untuk manusia berehat. Allah jadikan binatang sebagai ternakan, pengangkutan, makanan. dan pakaian untuk manusia. Allah jadikan  tumbuhan sebagai makanan, teduhan dan sebagainya untuk manusia. Tidakkah kita mahu menjadi orang yang berfikir?

Sebab itu, Allah tidak menciptakan dunia ini sia-sia. Kita hidup ini adalah untuk beribadah kepada Allah dan mengimarahkan bumi.

   وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون ( 56 ) ما أريد منهم من رزق وما أريد أن يطعمون(57)

56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
57. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. (Surah Az-Dzariyat)

﴿هُوَ أَنشَأَكُمْ مِنَ الأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا 

61. Dia lah Yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya". (Surah Hud)

Untuk mengimarahkan bumi, manusia perlu sedar kepentingan mereka untuk bekerja, tidak kira dalam sektor apa pun, sama ada dalam bidang teori seperti ilmu agama dan ilmu falsafah, mahupun bidang praktikal seperti ilmu perubatan, fizik, kimia dan kejuruteraan. Melalui fahaman yang jelas tentang Islam dan pekerjaan (amal), akan terbentuk suatu suasana yang dipanggil ‘tamadun’ atau dikira sebuah pembangunan, kemajuan dan ketinggian sesuatu kelompok manusia.

Entri kali ini sekadar muqaddimah (pendahuluan) kepada tajuk tamadun Islam yang akan saya bawakan pada masa akan datang.Inshaa Allah.

Walahu a’lam.