Showing posts with label Rasulullah. Show all posts
Showing posts with label Rasulullah. Show all posts

Monday, May 15, 2017

Kitalah Da'i!

Kita Da'i

Dari mata turun ke hati,
Dari niat menjadi bakti,
Walau sekecil mana,
Walau sebesar mana,
Terus berbudi keranaNya.

Kehidupan mengajar kita erti memberi,
Mewakafkan diri apa yang dimiliki,
Sebagai ciptaan Allah yang terindah,
Kita terdidik dengan amanah.

Kita Da'i penyebar inspirasi,
Dengan akhlak terpuji,
Dengan fikrah yang suci,
Kita Da'i bukan ntuk dihargai,
Dengan ikhlas di hati,
Semaraklah kalam Ilahi..

Selagi mana di garis yang benar,
Dakwah akan terus bersinar,
Perjuangan takkan tercalar pudar,
Jasad dan kalbu sentiasa berkobar.

(Rap)
Setiap nafas ia ibadah,
Takkan mudah tak mungkin menyerah,
Perjuangan takkan tercalar pudar,
Jasad dan kalbu sentiasa berkobar,
Kita khalifah pembela 
agama,
Tak kira siapa walau di mana,
Kitalah Da'i, kitalah da'i,
Ayuh semua kitalah da'i..
Jom hayati lagu ini di sini. :)

Thursday, May 7, 2015

Jumaat Datang Lagi


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:((خير يوم طلعت فيه الشمس يوم الجمعة، فيه خلق آدم، وفيه أدخل الجنة وفيه أخرج منه)) [رواه مسلم]

Daripada Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari pada hari tersebut ialah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam, dimasukkan ke dalam syurga dan dikeluarkan darinya” (Riwayat Muslim)

عن أوس بن أوس رضي الله عنه قال قـال النبي صلى الله عليه وسلم: ((إن من أفضل أيامكم يوم الجمعة فأكثروا علي من الصلاة فيه فإن صلاتكم معروضة)) حديث [رواه أبو داود].

Daripada Aus bin Aus ra berkata: Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya daripada sebaik-baik hari kamu ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah berselawat ke atasku, sesungguhnya selawat kamu dibentangkan” (Riwayat Abu Daud)

Senarai semak (‘checklist’) Hari Jumaat

1-  Membaca Surah As-Sajadah pada rakaat pertama dan Surah Al-Insan pada rakaat kedua solat subuh.

حدثنا أبو نعيم قال حدثنا سفيان عن سعد بن إبراهيم عن عبد الرحمن هو ابن هرمز الأعرج عن أبي هريرة رضي الله عنه قال كان النبي صلى الله عليه وسلم يقرأ في الجمعة في صلاة الفجر الم تنزيل السجدة وهل أتى على الإنسان حين من الدهر

Daripada Abu Hurairah ra berkata: “Nabi SAW membaca pada Hari Jumaat dam solat subuh الم تنزيل As-Sajadah dan هل أتى على الإنسان حين من الدهر “.

2- Duduk sebentar selepas solat subuh untuk berzikir dan membaca Al-Quran

3-   Berehat sebentar, makan, mandi sunat Jumaat, berwangi-wangian, bersiwak, cukur misai, dan memakai pakaian yang paling kemas.


 حدثنا آدم قال: حدثنا ابن أبي ذئب، عن سعيد المقبري قال: أخبرني أبي، عن ابن وديعة، عن سلمان الفارسي قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: (لا يغتسل رجل يوم الجمعة، ويتطهر ما استطاع من طهر، ويدهن من دهنه، أو يمس من طيب بيته، ثم يخرج فلا يفرق بين اثنين، ثم يصلي ما كتب له، ثم ينصت إذا تكلم الإمام، إلا غفر له ما بينه وبين الجمعة الأخرى).

Daripada Salman Al-Farisi berkata: Nabi SAW bersabda: “Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat, dia bersuci mengikut kemampuannya dalam bersuci, memakai minyak atau berwangi-wangian, kemudian dia keluar dan tidak memisahkan dua orang daripada tempat duduk mereka, kemudian dia solat mengikut yang dianjurkan, kemudian dia mendengar (dengan penuh perhatian) jika imam berkata-kata (dalam khutbah), kecuali diampunkan baginya antara Jumaat dan Jumaat selainnya.”

4- Bersegera untuk solat Jumaat dengan berjalan tidak menaiki kenderaan (jika sesuai dengan keadaan).

حدثنا آدم قال: حدثنا ابن أبي ذئب، عن الزهري، عن أبي عبد الله الأغر، عن أبي هريرة قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم:
(إذا كان يوم الجمعة، وقفت الملائكة على باب المسجد، يكتبون الأول فالأول، ومثل المهجر كمثل الذي يهدي بدنة، ثم كالذي يهدي بقرة، ثم كبشا، ثم دجاجة، ثم بيضة، فإذا خرج الإمام طووا صحفهم، ويستمعون الذكر)


Daripada Abu Hurairah ra berkata: Nabi SAW bersabda: "Jika tiba hari Jumaat, maka para malaikat berdiri di pintu-pintu masjid, lalu mereka mencatat orang yang datang lebih awal sebagai yang awal. Perumpamaan orang yang datang paling awal untuk melaksanakan solat Jumaat adalah seperti orang yang berkorban unta, kemudian yang berikutnya seperti orang yang berkorban sapi, dan yang berikutnya seperti orang yang berkorban kambing, yang berikutnya lagi seperti orang yang berkorban ayam, kemudian yang berikutnya seperti orang yang berkorban telur. Maka apabila imam sudah muncul dan duduk di atas mimbar, mereka menutup buku catatan mereka dan duduk mendengarkan zikir (khutbah)."

5-   Mengisi masa sebelum khutbah dengan solat dan membaca Al-Quran terutama Surah Al-Kahf.

6-   Solat 2 rakaat sebelum Jumaat.

   حدثنا علي بن عبد الله قال: حدثنا سفيان، عن عمرو:سمع جابرا قال: دخل رجل يوم الجمعة، والنبي صلى الله عليه وسلم يخطب، فقال: (أصليت). قال: لا، قال: (قم فصل ركعتين).

Daripada Amru, beliau mendengar Jabir berkata: Seorang lelaki masuk pada hari jumaat, dan Nabi SAW sedang berkhutbah, maka Baginda bertanya: "Adakah kamu sudah solat?" Dia menjawab: Tidak, Baginda bersabda: "Bangun, dan solat 2 rakaat".
 
7- Memberi perhatian kepada apa yang disampaikan Imam dalam khutbah.


- حدثنا يحيى بن بكير قال: حدثنا الليث، عن عقيل، عن ابن شهاب قال: أخبرني سعيد بن المسيب: أن أبا هريرة أخبره: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:(إذا قلت لصاحبك يوم الجمعة أنصت، والإمام يخطب، فقد لغوت).


Mafhumnya: Rasulullah SAW bersabda: "Jika kamu berkata kepada sahabat kamu pada waktu Jumaat, 'Senyap dan dengarlah', dan imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha'".

8- Waktu mustajab pada hari Jumaat.

 حدثنا عبد الله بن مسلمة، عن مالك، عن أبي الزناد، عن الأعرج، عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم ذكر يوم الجمعة، فقال:
(فيه ساعة، لا يوافقها عبد مسلم، وهو قائم يصلي، يسأل الله تعالى شيئا، إلا أعطاه إياه). وأشار بيده يقللها.


Mafhumnya: "Ada satu masa, tidak mendapatkannya seorang hamba muslim, dia bangun dan solat, dan meminta daripada Allah sesuatu, kecuali Allah memberikan ia kepadanya"

9-   Memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda SAW

قال الرسول صلى الله عليه وسلم: " أكثروا من الصلاة علي في يوم الجمعة وليلة الجمعة، فمن فعل ذلك كنت له شهيداً وشافعاً يوم القيامة" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان عن أنس. وحسنه السيوطي.

وعن ابي امامة رضي الله عنه  قال سمعت رسول االله  صلى الله عليه و سلم  يقول " اكثروا عليَ من الصلاة في كل  يوم جمعة فان صلاة امتي  تعرض علي في كل  يوم جمعة  فمن كان اكثرهم علي  صلاة كان أقربهم مني  منزلة "

Mafhumnya: "Perbanyakkan berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat, sesungguhnya selawat umatku terbentang ke atasku pada setiap hari jumaat, barangsiapa paling banyak berselawat ke atasku, dia adalah yang paling dekat kedudukannya denganku"   


Sumber:

IBU BAPA DAN ANAK-ANAK


وعن أبي هريرة رضي الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: " كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه" (متفق عليه).

Maksudnya: “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu-bapanyalah yang akan menjadikannya seorang Yahudi atau seorang Nasrani atau seorang Majusi”.

Rasulullah SAW telah memberitahu kita melalui hadis di atas bahawa setiap bayi yang baru lahir itu telah pun bersaksi bahawa Allah itu adalah Tuhannya berdasarkan perkataan ‘fitrah’ dalam hadis tersebut. Bayi kecil ini tidak tahu apa-apa selain kata saksi ini kerana Allah telah menciptakannya begitu. Yang menjadi masalah utama ialah ibu bapanya yang mencorakkannya menurut selera mereka sendiri.

Anak-anak pada zaman ini sangat merunsingkan kita. Generasi mereka sangat terdedah dengan gajet dan teknologi pada tahap yang membimbangkan. Mereka sangat taksub dengan telefon, laptop, internet dan sebagainya. Tanpa alat-alat ini, kemungkinan mereka akan terasa kekosongan dan hilang punca.

Cuba bayangkan, apabila ditanya kepada sekumpulan pelajar di sebuah sekolah rendah, kesemua mereka memiliki telefon bimbit sendiri. Sedangkan, generasi kita pada suatu masa dulu, tidak pandai pun menggunakan telefon malah tidak mempunyai telefon bimbit pun. Telefon berwayar di rumahlah menjadi alat komunikasi untuk berhubung.

Pada pandangan penulis, sebenarnya bukan telefon yang menjadi punca masalah, tetapi internet yang menyajikan pelbagai saluran hiburan yang merupakan punca utama. Lihatlah, ada youtube, ada online games, ada online novel, dan macam-macam lagi. Jika telefon yang digunakan tidak boleh mendapat capaian internet, sudah tentu telefon tersebut tidak ada gunanya pada kanak-kanak ini. Tetapi untuk menyalahkan internet jauh sekali, ada pelbagai kemudahan yang diberikan internet jika digunakan pada jalan yang betul, seperti berhubung dengan saudara atau sahabat yang jauh, mencari bahan ilmiah, menyebarkan dakwah dan lain-lain. Seperti juga api, baik untuk memasak, dan dalam masa yang sama buruk jika dibuat membakar yang tidak sepatutnya.

Anak-anak pada zaman ini semakin jauh dengan agama. Bayangkan, di Tanah Arab dulu, kanak-kanak berlumba-lumba siapa yang dapat menghafaz paling banyak ayat Al-Quran. Penulis pernah mendengar satu kisah yang berlaku dahulu (sama ada kisah benar atau tidak, wallahu a’lam), dua beradik sedang bergurau, si abang berkata: “Saya dah hafaz surah al-Naml (bermaksud semut)”, si adik pula tidak mahu kalah dan membalas: “Saya lagi hebat, saya dah hafaz surah al-Fiil (bermaksud gajah)”. Subhanallah, gurauan mereka berkisar tentang al-Quran.

Bezanya, kanak-kanak kita (Melayu Islam) tetapi bukan semua, sibuk berlumba siapakah juara Bintang Kecil dan Idola Kecil, si kakak dan abang pula tetapi bukan semua dengan Akademi Fantasia, ibu dan ayah tetapi bukan semua tak melepaskan peluang mengundi untuk Kilauan Emas. Mana nilai agama yang diterapkan dalam rancangan-rancangan ini?  Sila jawab sendiri.

Kembali kepada hadis di atas, ibu bapalah yang menjadi contoh dan role model untuk anak-anak. Siapa yang paling dekat dengan mereka dari darjah satu hingga tingkatan lima? Ibu bapa dan guru. Daripada siapa mereka mendapat pendidikan jika bukan daripada dua golongan ini? Malangnya, ada segelintir ibu bapa menyerahkan pendidikan (tarbiyah) anak-anak mereka sepenuhnya kepada guru. Guru pula beralasan ‘kami punya masalah sendiri juga’ tidak mahu mendidik, tetapi hanya mengajar untuk menyelesaikan silibus mata pelajaran masing-masing. Nampak anak murid merokok di luar sekolah, biarkan, saya dah mengajar, biar ibu bapa mereka yang menegur. 

Akhirnya, jiwa anak-anak ini terisi dengan ‘guru’ lain di luar sana. Dadah, pusat hiburan, cybercafé dan lain-lain menanti mereka dengan tangan terbuka.

Oleh itu, para ulama tarbiyah meletakkan beberapa panduan kepada ibu bapa, guru dan orang dewasa sebagai pencorak generasi ini kembali kepada fitrah Islam, iaitu:

1-    Menjadi teladan kepada anak-anak.
-perkara ini telah disebut di atas

2-    Memberi nasihat dan teguran yang baik.
-Rasulullah SAW mengajarkan kepada ibu bapa untuk mengalunkan azan di telinga bayi yang baru dilahirkan, bukankah hikmah di sebaliknya, perkataan pertama yang didengari oleh anak kecil yang baru mengenal dunia ini adalah perkataan ‘Allah’.  Mereka dididik untuk solat dan beribadah dengan tegas apabila tiba masanya. Baginda SAW pernah bersabda: “Agama itu adalah nasihat”.

3-    Pembiasaan
-“Ayah nak pergi mana?”, tanya Ahmad yang baru berusia 4 tahun. Si ayah menjawab: “Ayah nak ke surau. Jom Ahmad ikut …”
Jika dialog di atas berlaku setiap kali waktu solat, adakah si anak akan memberikan alasan ketika usianya sudah mencecah 13 tahun untuk solat di surau? Maka, pembiasaan anak-anak dengan amalan sebegini dan persekitaran yang soleh akan membentuk pembesarannya menjadi anak yang berjiwa Islam. InsyaAllah.

4-    Pemantauan

-Anak-anak kini tidak boleh dibiarkan sendiri. Mereka harus dipantau secara berkala, kerana perkara maksiat bukan sahaja boleh berlaku di luar rumah, tetapi di dalam bilik pun boleh berlaku. Ada kes di mana anak perempuan seronok berchatting dengan kekasih hatinya di laman sosial sehingga berani membuka aurat untuk lelaki itu. Ibu bapa pula menganggap anaknya selamat di rumah. Moga kita dijauhkan daripadanya. 

Saturday, January 11, 2014

Dunia...

Bismillah wal hamdulillah...


Hari ni saya nak kongsikan pesanan Rasulullah SAW melalui sunnah quliyah (sunnah yang Rasulullah sampaikan dengan kata-kata)...Antaranya berkaitan dunia. Dunia ni satu alam yang sangat indah secara zohirnya, kerana di dunia ini ada segala-galanya yang kita nak. Sahabat2 cuba fikir, apa yang sahabat nak, pasti dunia ada. Tapi ia akan nampak sangat menyesakkan di mata para auliya dan solihin, kerana ia penuh dengan ujian dan dosa. Pernah tak dengar, dunia syurga kafir, neraka/penjara mukmin? Inilah yang dimaksudkan dengan kesenangan dunia.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah bersabda: "Hati seorang lelaki yang sudah tua hidup dengan dua perkara: Suka kehidupan (umur panjang) dan harta"...

Syeikh Yusri Jabr -hafizahullah- menghuraikan hadis ini dengan dua sudut pandang yang berbeza. Pertama: Jika kita huraikan hadis dengan pandangan yang baik, ia akan bermaksud orang tua sukakan umur yang panjang untuk dimanfaatkan dengan ketaatan kepada Allah SWT dan harta yang banyak untuk dibelanjakan di jalan Allah, manakala yang kedua, dari pandangan yang buruk, orang tua ini sukakan umur panjang dan harta yang melimpah-ruah untuk dihabiskan dengan nikmat dunia yang hanya sementara.

Manusia juga takkan pernah puas dengan apa yang ada, jika ada dua wadi (tasik) yang penuh dengan harta pun, dia akan mencari yang ketiga, begitulah seterusnya, sehinggalah rongganya dipenuhi dengan tanah, apabila ditimbus dan ditanam nanti.

Tetapi hanya orang yang Allah tunjukkan jalan yang benar yang dapat lari daripada ujian dunia ini. Al-Imam As-Syafie pernah menyebut: "الغنى عن شيء لا به"  maksudnya: "Kekayaan itu adalah dengan tidak memerlukannya"

Jika kita orang yang sangat kaya dengan wang, sudah tentu jika ada orang mahu berikan duit syiling, kita akan menolak kerana kita kaya. Sebaliknya, orang yang tidak punya harta, pasti dia amat memerlukan walaupun dengan nilai yang sangat sedikit. Jika ada orang kaya yang masih mengumpulkan duit sedangkan keperluannya sudah mencukupi, itu bermakna dia adalah seorang yang miskin, kerana dia masih perlukan duit tersebut. Sebab itu, Islam melarang hambaNya untuk meminta-minta, tapi mintalah daripada Allah, kerana Allah takkan pernah menolak permintaan orang yang meminta daripadaNya. Redhalah dengan apa yang Allah tetapkan untuk kita melalui usaha, bukanlah semata-mata menunggu hujan emas dari langit!

Sempena bulan yang mulia ini, Rabiul Anwar, bulan kelahiran kekasih agung Rasulullah SAW, marilah kita sama-sama mencontohi akhlak Baginda SAW yang tak pernah menolak permintaan sesiapa yang meminta daripadanya walaupun seperti mana seorang A'rabi meminta daripada Rasulullah secara kasar, dengan memanggil nabi SAW Muhammad, dan mencekik Rasulullah dengan kain di leher Baginda hingga diceritakan kain tersebut terputus dua, betapa kuatnya sentapan pada leher baginda yang mulia dan terlihat kesan padanya. Rasulullah bukan sahaja tidak marah, malah ketawa dan memberikan apa yang diminta.

Ya Allah, kurniakan kami mutabaah (mencontohi) Nabi SAW pada permulaan, pengakhiran, zahir, batin,  kata-kata, tingkah laku, ketaatan, ibadah, dan amal soleh. Kami rindu pada mu ya Rasulullah!!!

Sollu 'alan Nabi SAW!
 

Tuesday, January 7, 2014

Sedekah:Berkurang Tapi Bertambah




((كل معروف صدقة))

Tiga perkataan yang Rasulullah ajarkan kepada kita yang bermaksud : “Setiap perkara yang baik adalah sedekah”.

Hanya dengan tiga perkataan sahaja Rasulullah telah membawa satu mesej yang sangat besar maknanya. Segala perkara yang baik yang dilakukan oleh seorang muslim akan dikira sebagai sedekah. Sedekah pula akan dibalas dengan pelbagai ganjaran di dunia, iaitu beroleh keberkatan dalam hartanya, dan juga di akhirat, iaitu pahala yang menggunung di sisi Allah.

Pernahkah kita terfikir bagaimana harta yang diinfakkan di jalan Allah yang sepatutnya menjadi semakin sedikit, tetapi dengan berkat sedekah tersebut, Allah berikan tambahan? Cuba bayangkan, ada seorang lelaki yang hidupnya sederhana, dia suka memberi sedekah kepada fakir miskin, suatu hari anaknya diserang demam, kebetulan dia mempunyai ubat demam di rumahnya sebagai simpanan. Beberapa hari selepas mengambil ubat tersebut, anaknya kembali pulih seperti biasa. Ada pula seorang lagi lelaki yang kaya raya, dia tidak suka bersedekah dan memandang rendah kepada orang miskin, suatu hari bapanya rebah secara tiba-tiba, apabila dibawa berjumpa doktor, tahulah dia bahawa bapanya menderita barah otak. Untuk menyelamatkan bapanya, dia harus membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk membiayai kos perubatan yang memakan masa bertahun-tahun untuk pulih.

Adakah perbezaan di antara kedua-dua kisah di atas? Walaupun cerita di atas hanya rekaan semata-mata, tetapi Allah tidak akan sesekali meninggalkan hambaNya yang Dia sayangi, lelaki yang suka bersedekah tersebut tidak perlu mengeluarkan sesen pun daripada wangnya untuk merawat anaknya yang sakit, sebaliknya lelaki yang tidak pernah bersedekah itu dalam sekelip mata wangnya habis untuk merawat bapanya yang sakit.

Keberkatan yang Allah janjikan bagi setiap sedekah itu akan diberikan dalam keadaan kita sedar mahupun tidak sedar, tetapi yakinlah janji Allah melalui lisan kekasihNya SAW:

   ((ما تصدق أحد بصدقة من طيب ولا يقبل الله إلا الطيب إلا أخذها الرحمن بيمينه وإن كانت تمرة فتربو في كف الرحمن حتى تكون أعظم من الجبل كما يربي أحدكم فلوه أو فصيله))

“Tidaklah seorang daripada kamu bersedekah dengan harta yang halal –Allah tidak menerima kecuali yang halal- kecuali arRahman akan mengambilnya dengan kanannya (Allah akan menerima, menambahkannya dan memberkatinya), walaupun (bersedekah) dengan sebiji kurma, dan (pahala bagi) harta itu bertambah di sisi Allah sehingga menjadi lebih besar daripada bukit, seperti mana kamu membesarkan anak kuda atau anak unta kamu”.

Bersedekahlah dengan apa yang kita ada, kerana Allah Maha Kaya, Dia tidak melihat berapa yang kita sedekahkan, tetapi Dia melihat hati sesiapa yang bersedekah.

Tetapi jangan pula menjadi ‘robinhood’ yang membantu orang lain dengan cara mencuri, kerana di dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara!

Wallahu a'lam...

(Sedikit perkongsian daripada Syeikh Yusri Jabr Al-Hasani kitab Sohih Muslim "Bab 17:Nama sedekah terletak pada semua jenis kebaikan" dan "Bab 20:Diterima sedekah daripada harta halal dan dipelihara" )

Wednesday, July 31, 2013

Sebaik-baik...

Bismillah wal hamdulillah...

Tazkirah malam ke 22 Ramadan 1434H



خير الناس من طال عمره وحسن عمله
"Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya"
Panjang umur bermaksud Allah panjangkan umurnya melebihi 70 tahun, kerana Rasulullah pernah bersabda mafhumnya, umur umat Baginda SAW ialah antara 60 dan 70 tahun. (kalau saya silap boleh betulkan...) dan dengan umur tersebut, orang ini dapat beramal kebaikan dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT. Jadi kita ingin membuat 'antonim' atau mafhum mukhalafah daripada hadith ini, ia akan berbunyi "Sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya dan buruk amalannya", jadi jangan faham bahawa orang yang pendek umur termasuk golongan yang jahat...tidak!


خير النكاح أيسره
"Sebaik-baik nikah/perkahwinan adalah yang paling mudah/murah"
Mudah/murah di sini bermaksud dari segi maharnya. Ada daripada kalangan bakal suami yang mengambil hadith ini sebagai dalil untuk memberi mahar yang terlampau murah, sedangkan dia tersangat mampu untuk memberi lebih daripada itu. Mudah atau murah di sini adalah mengikut kemampuan si lelaki. Rasulullah SAW sendiri memberi mahar sebanyak 400 ke 500 dirham kepada isteri Baginda SAW, kerana itulah kemampuan Baginda SAW. Cuba sahabat-sahabat tukarkan nilai dirham kepada matawang Ringgit Malaysia, boleh jadi ia mencecah ribuan ringgit. 
Tetapi timbul pula persoalan apabila kita melihat adat masyarakat Melayu Islam di Malaysia, mahar/mas kahwinnya sudah ditetapkan bagi sebahagian negeri dan nilainya memang agak murah mengikut kebiasaan pemuda zaman kini, malah bertepatan dengan hadith di atas, tapi bagaimana pula dengan hantaran yang berganda-ganda nombor sifarnya?


خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
"Sebaik-baik kamu adalah yang baik dengan ahli keluarganya, aku adalah sebaik-baik daripada kalangan kamu dengan ahli keluargaku"
Ahli keluarga yang paling rapat dengan Rasulullah SAW ialah para isteri Baginda SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW ingin membawakan mesej bahawa hendaklah kita berbuat baik dengan ahli keluarga (isteri dan anak-anak), sebagaimana kamu juga baik di hadapan masyarakat. Ada kes luar biasa pada zaman sekarang yang mana si suami sangat baik apabila berhadapan dengan orang lain, tapi apabila pulang ke rumah, sikapnya berubah dan menjadi dingin terhadap isteri dan anak-anak. Jadi, dengan mengamalkan hadith ini, kita akan menjadi sebaik-baik manusia, bukan sahaja pada pandangan manusia, malah pada pandangan Allah SWT, kerana berpegang pada Sunnah Kekasih Allah SWT.


خيركم من تعلم القرآن وعلمه
"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya"
Al-Quran yang menjadi panduan hidup manusia ini mestilah dipelajari, agar tidak salah dalam mempraktiskan isi kandungannya. Ia juga bukan sekadar bacaan ringan, tetapi haruslah dipelajari, dikaji serta diamalkan. Kitab Allah ini adalah untuk seluruh umat manusia, oleh itu orang yang terbaik dan layak untuk menyampaikan ilmu Al-Quran adalah ahlinya.
Umat manusia kini tenggelam dengan permainan dunia hingga meninggalkan panduannya yang memimpin ke dunia yang abadi. Teringat satu hadith: "Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya". Beruntunglah bagi sesiapa yang mengajarkan Al-Quran, kerana dia membaca Al-Quran dan menjadi jalan kepada orang lain untuk turut membacanya.  

Wallahu a'lam.

Tuesday, July 30, 2013

Hari Raya Mukmin dan Hadis Pendek

Bismillah wal hamdulillah...

Malam 21 Ramadan ini terisi dengan solat sunat terawih yang diselangi dengan tazkirah ringkas daripada ikhwah. 

Malam ini bermulalah pengembaraan seorang hamba mencari nikmat 'uzma yang Allah ciptakan di celah-celah sepuluh malam terakhir Ramadan. Nikmat tak terkira yang menyamai seribu bulan. Itulah malam Al-Qadr.



Mafhum hadis Rasulullah SAW: Daripada Anas bin Malik ra, hari raya bagi seorang mukmin ada lima, iaitu:

1- Apabila dimatikan dalam ketaatan kepada Allah SWT.
2- Apabila dihimpunkan di Padang Mahsyar, dia berada di bawah naungan yang tiada naungan selain naungan Allah SWT pada ketika itu.
3- Apabila melepasi titian Sirat dengan mudah menuju SyurgaNya
4- Apabila dimasukkan ke dalam Syurga yang kekal abadi
5- Apabila menjadi hamba yang terpilih di dalam syurga untuk melihat wajah Allah SWT.

Allahummaj'alna minhum. Amin ya Rabbal 'Alamin.

Dua hadis pendek yang dapat dikongsikan di sini juga daripada sebuah kitab yang mengumpulkan hadis-hadis pendek yang sohih daripada Rasulullah SAW (maaf, saya lupa nama kitabnya).

الصوم جنة
"Puasa itu penghalang"

Penghalang daripada apa?
Penghalang daripada maksiat dan api neraka bagi sesiapa yang ikhlas dalam mengerjakannya dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.

الصوم في الشتاء الغنيمة الباردة
"Puasa pada musim sejuk (seperti) harta rampasan perang daripada musuh yang diperoleh tanpa peperangan"

Mengapa puasa dikaitkan dengan ghanimah (harta rampasan perang)?
Persamaannya adalah pada mudahnya mendapatkan kedua-duanya. Sepertimana mudahnya memperoleh harta yang ditinggalkan musuh tanpa berlakunya peperangan, begitu juga mudahnya berpuasa pada musim sejuk, oleh sebab suhunya yang tidak panas, siangnya yang lebih pendek dan kelebihan-kelebihan lain, sehingga sesiapa yang berpuasa sunat pada waktu tersebut tidak merasa penat.

Wallahu a'lam.

   

Monday, July 29, 2013

Abid dan Wanita



Bismillah wal hamdulillah…

Tersebutlah sebuah kisah seorang hamba Allah yang soleh daripada kalangan Bani Israel yang sangat kuat beribadah. Beliau telah pergi ke sebuah pulau untuk mengasingkan diri daripada dunia dan berkhalwat dengan Allah SWT. Setelah 60 tahun beribadah, timbul rasa bosan dengan bentuk ibadah yang sama, Allah turunkan hujan di tempatnya. Maka, terfikirlah si hamba ini untuk keluar dari tempat ibadahnya dan melihat suasana sekeliling yang mana dengan cara itu dia dapat menukar cara ibadahnya, iaitu dengan melihat kebesaran Allah SWT. Dengan hujan, udara menjadi nyaman, rumput-rumput menjadi hijau dan segar, serta pelbagai lagi keindahan yang dikurniakan Allah selepas hujan.

Sedang si hamba soleh itu menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT, dia terserempak dengan seorang wanita (pelacur kaum Bani Israel), mereka pun saling berbicara sehingga berpegangan dan akhirnya berlakulah sesuatu yang malu untuk disebut di sini. Setelah sedar daripada kesalahannya, dengan perasaan penuh keinsafan dan hina di hadapan Allah, si hamba pergi ke pantai untuk bersuci. Kemudian datang seorang peminta sedekah kepada hamba soleh ini, meminta agar diberikan makanan sebagai alas perut yang kelaparan. Bersama hamba soleh ini dua keping roti yang dibawa semasa keluar dari tempat ibadahnya. Lalu diberikan kedua-dua roti tersebut tanpa mengira keadaan dirinya, kerana perasaan teramat malunya dengan kesalahannya terhadap Allah SWT.

Setelah itu datang malaikat maut mencabut nyawanya serta-merta. Tiba hari pengadilan Allah, segala amal ibadahnya selama 60 tahun terpadam sekali gus disebabkan dosa zinanya dengan pelacur tadi. Kemudian ditimbang pula ganjaran sedekah yang diberikan kepada orang yang meminta dengan dosanya, maka terhapuslah dosanya dan beratlah timbangan kebaikan dengan sedekah tadi.

Begitulah kisah umat terdahulu yang diceritakan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sohih.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
      
       Pengajaran kisah di atas:

  -   Umat terdahulu sangat kuat beribadah.

2-      Dosa zina sangatlah besar, sehinggakan ibadah abid selama 60 tahun terhapus dengan sekelip mata, hanya dengan kepuasan syahwat yang sementara dan tempoh yang sekejap. Oleh sebab itu, Allah telah melarang mendekati zina, dengan berdua-duaan, berpandangan, berpegangan, dan akhirnya hasutan syaitan akan menyuruh melakukan zina.

3-      Pahala sedekah sangat banyak, ditimbang dosa abid yang mengalahkan ibadah 60 tahun dengan sedekah dengan hanya beberapa minit dan dua keping roti kering, berat lagi ganjaran sedekah. Rasulullah pernah bersabda, sedekah yang paling baik adalah pada bulan Ramadan.  

Wallahu a’lam.