Thursday, May 7, 2015

IBU BAPA DAN ANAK-ANAK


وعن أبي هريرة رضي الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: " كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه" (متفق عليه).

Maksudnya: “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu-bapanyalah yang akan menjadikannya seorang Yahudi atau seorang Nasrani atau seorang Majusi”.

Rasulullah SAW telah memberitahu kita melalui hadis di atas bahawa setiap bayi yang baru lahir itu telah pun bersaksi bahawa Allah itu adalah Tuhannya berdasarkan perkataan ‘fitrah’ dalam hadis tersebut. Bayi kecil ini tidak tahu apa-apa selain kata saksi ini kerana Allah telah menciptakannya begitu. Yang menjadi masalah utama ialah ibu bapanya yang mencorakkannya menurut selera mereka sendiri.

Anak-anak pada zaman ini sangat merunsingkan kita. Generasi mereka sangat terdedah dengan gajet dan teknologi pada tahap yang membimbangkan. Mereka sangat taksub dengan telefon, laptop, internet dan sebagainya. Tanpa alat-alat ini, kemungkinan mereka akan terasa kekosongan dan hilang punca.

Cuba bayangkan, apabila ditanya kepada sekumpulan pelajar di sebuah sekolah rendah, kesemua mereka memiliki telefon bimbit sendiri. Sedangkan, generasi kita pada suatu masa dulu, tidak pandai pun menggunakan telefon malah tidak mempunyai telefon bimbit pun. Telefon berwayar di rumahlah menjadi alat komunikasi untuk berhubung.

Pada pandangan penulis, sebenarnya bukan telefon yang menjadi punca masalah, tetapi internet yang menyajikan pelbagai saluran hiburan yang merupakan punca utama. Lihatlah, ada youtube, ada online games, ada online novel, dan macam-macam lagi. Jika telefon yang digunakan tidak boleh mendapat capaian internet, sudah tentu telefon tersebut tidak ada gunanya pada kanak-kanak ini. Tetapi untuk menyalahkan internet jauh sekali, ada pelbagai kemudahan yang diberikan internet jika digunakan pada jalan yang betul, seperti berhubung dengan saudara atau sahabat yang jauh, mencari bahan ilmiah, menyebarkan dakwah dan lain-lain. Seperti juga api, baik untuk memasak, dan dalam masa yang sama buruk jika dibuat membakar yang tidak sepatutnya.

Anak-anak pada zaman ini semakin jauh dengan agama. Bayangkan, di Tanah Arab dulu, kanak-kanak berlumba-lumba siapa yang dapat menghafaz paling banyak ayat Al-Quran. Penulis pernah mendengar satu kisah yang berlaku dahulu (sama ada kisah benar atau tidak, wallahu a’lam), dua beradik sedang bergurau, si abang berkata: “Saya dah hafaz surah al-Naml (bermaksud semut)”, si adik pula tidak mahu kalah dan membalas: “Saya lagi hebat, saya dah hafaz surah al-Fiil (bermaksud gajah)”. Subhanallah, gurauan mereka berkisar tentang al-Quran.

Bezanya, kanak-kanak kita (Melayu Islam) tetapi bukan semua, sibuk berlumba siapakah juara Bintang Kecil dan Idola Kecil, si kakak dan abang pula tetapi bukan semua dengan Akademi Fantasia, ibu dan ayah tetapi bukan semua tak melepaskan peluang mengundi untuk Kilauan Emas. Mana nilai agama yang diterapkan dalam rancangan-rancangan ini?  Sila jawab sendiri.

Kembali kepada hadis di atas, ibu bapalah yang menjadi contoh dan role model untuk anak-anak. Siapa yang paling dekat dengan mereka dari darjah satu hingga tingkatan lima? Ibu bapa dan guru. Daripada siapa mereka mendapat pendidikan jika bukan daripada dua golongan ini? Malangnya, ada segelintir ibu bapa menyerahkan pendidikan (tarbiyah) anak-anak mereka sepenuhnya kepada guru. Guru pula beralasan ‘kami punya masalah sendiri juga’ tidak mahu mendidik, tetapi hanya mengajar untuk menyelesaikan silibus mata pelajaran masing-masing. Nampak anak murid merokok di luar sekolah, biarkan, saya dah mengajar, biar ibu bapa mereka yang menegur. 

Akhirnya, jiwa anak-anak ini terisi dengan ‘guru’ lain di luar sana. Dadah, pusat hiburan, cybercafé dan lain-lain menanti mereka dengan tangan terbuka.

Oleh itu, para ulama tarbiyah meletakkan beberapa panduan kepada ibu bapa, guru dan orang dewasa sebagai pencorak generasi ini kembali kepada fitrah Islam, iaitu:

1-    Menjadi teladan kepada anak-anak.
-perkara ini telah disebut di atas

2-    Memberi nasihat dan teguran yang baik.
-Rasulullah SAW mengajarkan kepada ibu bapa untuk mengalunkan azan di telinga bayi yang baru dilahirkan, bukankah hikmah di sebaliknya, perkataan pertama yang didengari oleh anak kecil yang baru mengenal dunia ini adalah perkataan ‘Allah’.  Mereka dididik untuk solat dan beribadah dengan tegas apabila tiba masanya. Baginda SAW pernah bersabda: “Agama itu adalah nasihat”.

3-    Pembiasaan
-“Ayah nak pergi mana?”, tanya Ahmad yang baru berusia 4 tahun. Si ayah menjawab: “Ayah nak ke surau. Jom Ahmad ikut …”
Jika dialog di atas berlaku setiap kali waktu solat, adakah si anak akan memberikan alasan ketika usianya sudah mencecah 13 tahun untuk solat di surau? Maka, pembiasaan anak-anak dengan amalan sebegini dan persekitaran yang soleh akan membentuk pembesarannya menjadi anak yang berjiwa Islam. InsyaAllah.

4-    Pemantauan

-Anak-anak kini tidak boleh dibiarkan sendiri. Mereka harus dipantau secara berkala, kerana perkara maksiat bukan sahaja boleh berlaku di luar rumah, tetapi di dalam bilik pun boleh berlaku. Ada kes di mana anak perempuan seronok berchatting dengan kekasih hatinya di laman sosial sehingga berani membuka aurat untuk lelaki itu. Ibu bapa pula menganggap anaknya selamat di rumah. Moga kita dijauhkan daripadanya. 

No comments:

Post a Comment