Wednesday, July 31, 2013

Sebaik-baik...

Bismillah wal hamdulillah...

Tazkirah malam ke 22 Ramadan 1434H



خير الناس من طال عمره وحسن عمله
"Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya"
Panjang umur bermaksud Allah panjangkan umurnya melebihi 70 tahun, kerana Rasulullah pernah bersabda mafhumnya, umur umat Baginda SAW ialah antara 60 dan 70 tahun. (kalau saya silap boleh betulkan...) dan dengan umur tersebut, orang ini dapat beramal kebaikan dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT. Jadi kita ingin membuat 'antonim' atau mafhum mukhalafah daripada hadith ini, ia akan berbunyi "Sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya dan buruk amalannya", jadi jangan faham bahawa orang yang pendek umur termasuk golongan yang jahat...tidak!


خير النكاح أيسره
"Sebaik-baik nikah/perkahwinan adalah yang paling mudah/murah"
Mudah/murah di sini bermaksud dari segi maharnya. Ada daripada kalangan bakal suami yang mengambil hadith ini sebagai dalil untuk memberi mahar yang terlampau murah, sedangkan dia tersangat mampu untuk memberi lebih daripada itu. Mudah atau murah di sini adalah mengikut kemampuan si lelaki. Rasulullah SAW sendiri memberi mahar sebanyak 400 ke 500 dirham kepada isteri Baginda SAW, kerana itulah kemampuan Baginda SAW. Cuba sahabat-sahabat tukarkan nilai dirham kepada matawang Ringgit Malaysia, boleh jadi ia mencecah ribuan ringgit. 
Tetapi timbul pula persoalan apabila kita melihat adat masyarakat Melayu Islam di Malaysia, mahar/mas kahwinnya sudah ditetapkan bagi sebahagian negeri dan nilainya memang agak murah mengikut kebiasaan pemuda zaman kini, malah bertepatan dengan hadith di atas, tapi bagaimana pula dengan hantaran yang berganda-ganda nombor sifarnya?


خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
"Sebaik-baik kamu adalah yang baik dengan ahli keluarganya, aku adalah sebaik-baik daripada kalangan kamu dengan ahli keluargaku"
Ahli keluarga yang paling rapat dengan Rasulullah SAW ialah para isteri Baginda SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW ingin membawakan mesej bahawa hendaklah kita berbuat baik dengan ahli keluarga (isteri dan anak-anak), sebagaimana kamu juga baik di hadapan masyarakat. Ada kes luar biasa pada zaman sekarang yang mana si suami sangat baik apabila berhadapan dengan orang lain, tapi apabila pulang ke rumah, sikapnya berubah dan menjadi dingin terhadap isteri dan anak-anak. Jadi, dengan mengamalkan hadith ini, kita akan menjadi sebaik-baik manusia, bukan sahaja pada pandangan manusia, malah pada pandangan Allah SWT, kerana berpegang pada Sunnah Kekasih Allah SWT.


خيركم من تعلم القرآن وعلمه
"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya"
Al-Quran yang menjadi panduan hidup manusia ini mestilah dipelajari, agar tidak salah dalam mempraktiskan isi kandungannya. Ia juga bukan sekadar bacaan ringan, tetapi haruslah dipelajari, dikaji serta diamalkan. Kitab Allah ini adalah untuk seluruh umat manusia, oleh itu orang yang terbaik dan layak untuk menyampaikan ilmu Al-Quran adalah ahlinya.
Umat manusia kini tenggelam dengan permainan dunia hingga meninggalkan panduannya yang memimpin ke dunia yang abadi. Teringat satu hadith: "Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya". Beruntunglah bagi sesiapa yang mengajarkan Al-Quran, kerana dia membaca Al-Quran dan menjadi jalan kepada orang lain untuk turut membacanya.  

Wallahu a'lam.

Tuesday, July 30, 2013

Hari Raya Mukmin dan Hadis Pendek

Bismillah wal hamdulillah...

Malam 21 Ramadan ini terisi dengan solat sunat terawih yang diselangi dengan tazkirah ringkas daripada ikhwah. 

Malam ini bermulalah pengembaraan seorang hamba mencari nikmat 'uzma yang Allah ciptakan di celah-celah sepuluh malam terakhir Ramadan. Nikmat tak terkira yang menyamai seribu bulan. Itulah malam Al-Qadr.



Mafhum hadis Rasulullah SAW: Daripada Anas bin Malik ra, hari raya bagi seorang mukmin ada lima, iaitu:

1- Apabila dimatikan dalam ketaatan kepada Allah SWT.
2- Apabila dihimpunkan di Padang Mahsyar, dia berada di bawah naungan yang tiada naungan selain naungan Allah SWT pada ketika itu.
3- Apabila melepasi titian Sirat dengan mudah menuju SyurgaNya
4- Apabila dimasukkan ke dalam Syurga yang kekal abadi
5- Apabila menjadi hamba yang terpilih di dalam syurga untuk melihat wajah Allah SWT.

Allahummaj'alna minhum. Amin ya Rabbal 'Alamin.

Dua hadis pendek yang dapat dikongsikan di sini juga daripada sebuah kitab yang mengumpulkan hadis-hadis pendek yang sohih daripada Rasulullah SAW (maaf, saya lupa nama kitabnya).

الصوم جنة
"Puasa itu penghalang"

Penghalang daripada apa?
Penghalang daripada maksiat dan api neraka bagi sesiapa yang ikhlas dalam mengerjakannya dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.

الصوم في الشتاء الغنيمة الباردة
"Puasa pada musim sejuk (seperti) harta rampasan perang daripada musuh yang diperoleh tanpa peperangan"

Mengapa puasa dikaitkan dengan ghanimah (harta rampasan perang)?
Persamaannya adalah pada mudahnya mendapatkan kedua-duanya. Sepertimana mudahnya memperoleh harta yang ditinggalkan musuh tanpa berlakunya peperangan, begitu juga mudahnya berpuasa pada musim sejuk, oleh sebab suhunya yang tidak panas, siangnya yang lebih pendek dan kelebihan-kelebihan lain, sehingga sesiapa yang berpuasa sunat pada waktu tersebut tidak merasa penat.

Wallahu a'lam.

   

Monday, July 29, 2013

Bertahanlah Ya Masr

  Gambar terbaru semalam 28 Julai 2013 di Dataran Rabaah Al-Adawiyah, Madinat Nasr, Kaherah

Ustaz Abdul Malik:

"Mereka tetap teguh dan bersabar dalam tuntutan mereka. Sama sekali tidak akan berundur atau meninggalkan dataran sehingga rampasan kuasa digulingkan."

Terkini Dari Mesir

Abid dan Wanita



Bismillah wal hamdulillah…

Tersebutlah sebuah kisah seorang hamba Allah yang soleh daripada kalangan Bani Israel yang sangat kuat beribadah. Beliau telah pergi ke sebuah pulau untuk mengasingkan diri daripada dunia dan berkhalwat dengan Allah SWT. Setelah 60 tahun beribadah, timbul rasa bosan dengan bentuk ibadah yang sama, Allah turunkan hujan di tempatnya. Maka, terfikirlah si hamba ini untuk keluar dari tempat ibadahnya dan melihat suasana sekeliling yang mana dengan cara itu dia dapat menukar cara ibadahnya, iaitu dengan melihat kebesaran Allah SWT. Dengan hujan, udara menjadi nyaman, rumput-rumput menjadi hijau dan segar, serta pelbagai lagi keindahan yang dikurniakan Allah selepas hujan.

Sedang si hamba soleh itu menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT, dia terserempak dengan seorang wanita (pelacur kaum Bani Israel), mereka pun saling berbicara sehingga berpegangan dan akhirnya berlakulah sesuatu yang malu untuk disebut di sini. Setelah sedar daripada kesalahannya, dengan perasaan penuh keinsafan dan hina di hadapan Allah, si hamba pergi ke pantai untuk bersuci. Kemudian datang seorang peminta sedekah kepada hamba soleh ini, meminta agar diberikan makanan sebagai alas perut yang kelaparan. Bersama hamba soleh ini dua keping roti yang dibawa semasa keluar dari tempat ibadahnya. Lalu diberikan kedua-dua roti tersebut tanpa mengira keadaan dirinya, kerana perasaan teramat malunya dengan kesalahannya terhadap Allah SWT.

Setelah itu datang malaikat maut mencabut nyawanya serta-merta. Tiba hari pengadilan Allah, segala amal ibadahnya selama 60 tahun terpadam sekali gus disebabkan dosa zinanya dengan pelacur tadi. Kemudian ditimbang pula ganjaran sedekah yang diberikan kepada orang yang meminta dengan dosanya, maka terhapuslah dosanya dan beratlah timbangan kebaikan dengan sedekah tadi.

Begitulah kisah umat terdahulu yang diceritakan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sohih.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
      
       Pengajaran kisah di atas:

  -   Umat terdahulu sangat kuat beribadah.

2-      Dosa zina sangatlah besar, sehinggakan ibadah abid selama 60 tahun terhapus dengan sekelip mata, hanya dengan kepuasan syahwat yang sementara dan tempoh yang sekejap. Oleh sebab itu, Allah telah melarang mendekati zina, dengan berdua-duaan, berpandangan, berpegangan, dan akhirnya hasutan syaitan akan menyuruh melakukan zina.

3-      Pahala sedekah sangat banyak, ditimbang dosa abid yang mengalahkan ibadah 60 tahun dengan sedekah dengan hanya beberapa minit dan dua keping roti kering, berat lagi ganjaran sedekah. Rasulullah pernah bersabda, sedekah yang paling baik adalah pada bulan Ramadan.  

Wallahu a’lam.

Wednesday, July 3, 2013

Mutiara Kata Senior: ILMU (1)

Bismillah wal hamdulillah…

Tulisan ini dedikasi khas untuk adik-adik yang disayangi sekalian, yang tidak berkesempatan mendengar kalam mutiara daripada Kakak Senior di markaz hari itu. Tapi tidak terkecuali para pembaca sekalian. Semoga bermanfaat!

"الدين نصيحة"
“Agama itu nasihat. Inilah pembuka kata kakak senior. Kata-katanya itu nasihat kepada adik-adiknya. Kemudian dia menyampaikan sepotong surah pendek dari Juz Amma:

((والعصر* إن الإنسان لفي خسر* إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر))

Di akhir surah ini dinyatakan siapa yang tidak rugi daripada kalangan semua manusia yang dalam kerugian, iaitu orang yang beriman, beramal soleh, dan saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Islam mengiktiraf kalimah yang berbentuk nasihat dan pesanan.”
Kakak ini berkata lagi: “Menuntut ilmu ini satu maqam yang sangat tinggi di sisi Allah, sehinggakan Allah Taala meletakkan para ulama dan para penuntut ilmu bersama para anbiya’Nya. Darjatnya yang menggunung tinggi bukanlah mudah untuk dicapai. Perlu ada syarat-syarat sebelum mencapai makam itu.



Yang pertama, perlu ada niat yang ikhlas kerana Allah. Memang ikhlas keranaNya, tidak sesekali dalam hatinya ada perasaan selain itu. Bukan mudah kan? Ada manusia yang belajar kerana kejarkan kerja yang gajinya tinggi. Ada yang belajar kerana inginkan dilihat sebagai orang alim. Ada juga yang mahu dipandang mulia di sisi manusia. Tidak mudah mengikhlaskan hati. Ingat tak sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana salah seorang daripada tiga yang diheret ke neraka adalah dia yang menuntut ilmu, kemudian ditanya Allah, kenapa engkau menuntut ilmu? Dijawabnya: KeranaMu ya Allah. Tetapi Allah maha mengetahui, Allah berkata: Tidak! Engkau menuntut ilmu kerana mahu dikatakan alim, dan engkau telah pun mendapatkannya. Maka wahai malaikat, heretlah orang ini ke neraka.

Ya Allah, jauhi hati kami daripada melakukan amalan kerana selain Engkau!

Yang kedua: Menuntut ilmu ini juga seperti sebuah binaan, terdiri daripada bahan-bahan yang tersendiri. Jika mahukan binaan yang kukuh dan tahan lama, mestilah bahannya lengkap dan berkualiti. Begitu juga sebaliknya.

Apa bahan-bahannya?

·         ‘Aklun rajjah (akal yang cerdik)
·         Syaikhun fattah (guru yang membuka)
·         Kitabun sihhah (buku yang dipercayai dan sohih)
·         Mudawamah mulihhah (sentiasa melazimi dan berterusan menuntut ilmu)

Jika bahan-bahan ini cukup, tetapi kurang bermutu dan tidak diambil daripada sumber yang dipercayai, binaan dapat dibina, tapi belum tentu bertahan dalam jangka masa yang lama.

Menuntut ilmu perlukan manhaj (cara menuntutnya) yang rapi. Bila dah ada akal yang cerdik pandai, takkan cukup dengan membaca buku sehari-harian tanpa guru. Kerana kita cuma tahu dan faham apa yang kita tahu, sedangkan ada makna lain yang patut difahami yang akan dicerahkan oleh syaikhun fattah. Mereka memperoleh ilmu daripada masyaikh (guru) mereka, masyaikh mereka menuntut daripada para masyaikh, seterusnya daripada para tabiin, sahabat Nabi dan bersanad sehingga penerang segala ilmu yang diutus Allah, Rasulullah SAW.

Segala yang disebut di atas mesti diiringi dengan adab-adabnya. Seorang ulama sanggup tidur berdiri kerana tidak mahu melunjurkan kakinya kep arah rumah Syeikhnya di hadapan. Bayangkan, beliau berkeadaan begitu walaupun hanya beliau yang berada di dalam rumah tersebut. Betapa beliau menjaga adab bersama gurunya yang bermaksud beliau mengagungkan syiar Allah, kerana ulama merupakan syiar Allah. Disebabkan itu, ada ulama yang selalu berdoa:”Ya Allah jadikan aku baik semasa aku bersendirian (sir) sebagaimana baiknya aku semasa bersama orang ramai (‘alaniah)”

Begitulah kalam nasihat daripada kakak senior, tapi ini baru sebahagiannya.

Ada banyak lagi syarat-syarat yang belum disampaikan. Saya akan cuba sampaikannya pada masa akan datang, jika masih dikurniakan Allah nikmat kehidupan. InsyaAllah.

Wallahu a’lam.

Permulaan yang Bukan Pertama

Bismillah walhamdulillah…

Setelah sekian lama tidak berkongsi sesuatu, izinkan saya untuk berjuang semula dalam medan penulisan ini. Bukan niat saya untuk berhenti terus, tetapi silap saya kerana berehat terlalu lama. Maafkan saya sahabat sekalian.

Kekuatan saya untuk menulis telah di’booster’ oleh Al-Fadhil As-Syeikh Yusri Rusydi Jabr Al-Hasani hafizahullah pada pagi ini. Kelasnya yang dijalankan setiap pagi selepas Subuh membuatkan saya sangat kagum dengan sifat istiqamah syeikh. Ada kalam Arab mengatakan: “Al-Istiqamah ‘ainul karamah”. Istiqamah itu satu karamah. Semoga Allah memberkati Syeikh dan keluarga beliau.

 Syeikh juga mengubati hati dan akal kami di Jami' Al-Azhar pada setiap malam Jumaat dengan syarah Sohih Al-Bukhari setelah berhempas-pulas mengubati fizikal manusia di klinik dan hospital pada siangnya.

Seperti biasa, kelas dimulakan dengan zikir, wirid dan qasidah daripada para alim ulama’ yang dikumpulkan Syeikh sendiri dalam sebuah kutaib (kitab kecil) yang bertajuk “Ad-Durar An-Naqiyyah Fii Aurad At-Toriqah As-Siddiqiyah”. Kemudian, kelas diteruskan dengan bacaan As-Selawat Al-Yusriyyah Ala Kharil Bariyyah yang syeikh sendiri (juga) karang dan mendapat ilham semasa keberadaan beliau di tanah suci Makkah dan Madinah Al-Munawwarah. Allah, Allah…

Seterusnya, taman syurga itu dihiasi dengan tilawah Al-Quran daripada anak-anak murid syeikh yang hadir, yang akan diperbetulkan jika salah, dan akan disyarahkan jika perlu, tetapi yang paling menarik sekali, kita dapat mengenal pelbagai qiraat (bacaan) selain riwayat Hafs daripada ‘Asim (yang biasa kita baca dalam Mushaf Uthmani sekarang).

Selepas itu, barulah syeikh membuka kitab Sohih Muslim, yang mana pernah dikhatamkan beliau sebelum ini, walaupun tanpa ada pendengar yang setia pada masa itu. Hasilnya syeikh dapat membuka kelas bagi pencinta hadis Rasulullah SAW di masjidnya. Ada di kalangan ikhwah yang benar-benar mencintai hadis akan setia menempuh sejuk dan kabus di musim syita, serta suhu panas di musim soif. Hebat sungguh kesetiaan syeikh kepada kitab Hadis sehingga beliau mampu menghabiskan Sunan Sittah selama berbelas tahun, melalui pengajiannya setiap hari selepas solat Subuh di masjidnya Masjid Al-Asyraf di Muqattam. Satu sahaja kunci istiqamah ini, iaitu kecintaan beliau yang mendalam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW. Semoga Allah merahmati dan memberkati Syeikh serta keluarga, semoga kita dapat mengambil peluang berada di sisi para ulama menadah ilmu mereka yang bersanad hingga Rasulullah SAW, dan semoga kita dapat mengambil manfaat daripada beliau, ilmu beliau, serta ilmu para masyaikh beliau, fiddaaraini (di dunia dan akhirat). Amin…

Wallahu a’lam.