Bismillah wal hamdulillah…
Tulisan ini dedikasi khas untuk adik-adik yang disayangi
sekalian, yang tidak berkesempatan mendengar kalam mutiara daripada Kakak
Senior di markaz hari itu. Tapi tidak terkecuali para pembaca sekalian. Semoga bermanfaat!
"الدين
نصيحة"
“Agama itu nasihat.
Inilah pembuka kata kakak senior. Kata-katanya itu nasihat kepada adik-adiknya.
Kemudian dia menyampaikan sepotong surah pendek dari Juz Amma:
((والعصر* إن الإنسان
لفي خسر* إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر))
Di akhir surah ini
dinyatakan siapa yang tidak rugi daripada kalangan semua manusia yang dalam
kerugian, iaitu orang yang beriman, beramal soleh, dan saling berpesan kepada
kebenaran dan kesabaran. Islam mengiktiraf kalimah yang berbentuk nasihat dan
pesanan.”
Kakak ini berkata
lagi: “Menuntut ilmu ini satu maqam yang sangat tinggi di sisi Allah,
sehinggakan Allah Taala meletakkan para ulama dan para penuntut ilmu bersama
para anbiya’Nya. Darjatnya yang menggunung tinggi bukanlah mudah untuk dicapai.
Perlu ada syarat-syarat sebelum mencapai makam itu.
Yang pertama, perlu
ada niat yang ikhlas kerana Allah. Memang ikhlas keranaNya, tidak sesekali
dalam hatinya ada perasaan selain itu. Bukan mudah kan? Ada manusia yang
belajar kerana kejarkan kerja yang gajinya tinggi. Ada yang belajar kerana
inginkan dilihat sebagai orang alim. Ada juga yang mahu dipandang mulia di sisi
manusia. Tidak mudah mengikhlaskan hati. Ingat tak sebuah hadis Rasulullah SAW
yang mana salah seorang daripada tiga yang diheret ke neraka adalah dia yang
menuntut ilmu, kemudian ditanya Allah, kenapa engkau menuntut ilmu? Dijawabnya:
KeranaMu ya Allah. Tetapi Allah maha mengetahui, Allah berkata: Tidak! Engkau
menuntut ilmu kerana mahu dikatakan alim, dan engkau telah pun mendapatkannya.
Maka wahai malaikat, heretlah orang ini ke neraka.
Ya Allah, jauhi hati
kami daripada melakukan amalan kerana selain Engkau!
Yang kedua: Menuntut
ilmu ini juga seperti sebuah binaan, terdiri daripada bahan-bahan yang
tersendiri. Jika mahukan binaan yang kukuh dan tahan lama, mestilah bahannya
lengkap dan berkualiti. Begitu juga sebaliknya.
Apa bahan-bahannya?
·
‘Aklun rajjah (akal yang
cerdik)
·
Syaikhun fattah (guru yang
membuka)
·
Kitabun sihhah (buku yang
dipercayai dan sohih)
·
Mudawamah mulihhah
(sentiasa melazimi dan berterusan menuntut ilmu)
Jika bahan-bahan ini cukup, tetapi kurang bermutu dan tidak
diambil daripada sumber yang dipercayai, binaan dapat dibina, tapi belum tentu
bertahan dalam jangka masa yang lama.
Menuntut ilmu perlukan manhaj (cara menuntutnya) yang rapi. Bila
dah ada akal yang cerdik pandai, takkan cukup dengan membaca buku sehari-harian
tanpa guru. Kerana kita cuma tahu dan faham apa yang kita tahu, sedangkan ada
makna lain yang patut difahami yang akan dicerahkan oleh syaikhun fattah.
Mereka memperoleh ilmu daripada masyaikh (guru) mereka, masyaikh mereka
menuntut daripada para masyaikh, seterusnya daripada para tabiin, sahabat Nabi
dan bersanad sehingga penerang segala ilmu yang diutus Allah, Rasulullah SAW.
Segala yang disebut di atas mesti diiringi dengan
adab-adabnya. Seorang ulama sanggup tidur berdiri kerana tidak mahu melunjurkan
kakinya kep arah rumah Syeikhnya di hadapan. Bayangkan, beliau berkeadaan
begitu walaupun hanya beliau yang berada di dalam rumah tersebut. Betapa beliau
menjaga adab bersama gurunya yang bermaksud beliau mengagungkan syiar Allah,
kerana ulama merupakan syiar Allah. Disebabkan itu, ada ulama yang selalu
berdoa:”Ya Allah jadikan aku baik semasa aku bersendirian (sir) sebagaimana
baiknya aku semasa bersama orang ramai (‘alaniah)”
Begitulah kalam nasihat daripada kakak senior, tapi ini baru
sebahagiannya.
Ada banyak lagi syarat-syarat yang belum disampaikan. Saya
akan cuba sampaikannya pada masa akan datang, jika masih dikurniakan Allah
nikmat kehidupan. InsyaAllah.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment