Bismillah walhamdulillah…
Kekuatan saya untuk menulis telah di’booster’ oleh Al-Fadhil
As-Syeikh Yusri Rusydi Jabr Al-Hasani hafizahullah pada pagi ini. Kelasnya yang
dijalankan setiap pagi selepas Subuh membuatkan saya sangat kagum dengan sifat
istiqamah syeikh. Ada kalam Arab mengatakan: “Al-Istiqamah ‘ainul karamah”.
Istiqamah itu satu karamah. Semoga Allah memberkati Syeikh dan keluarga beliau.
Syeikh juga mengubati hati dan akal kami di Jami' Al-Azhar pada setiap malam Jumaat dengan syarah Sohih Al-Bukhari setelah berhempas-pulas mengubati fizikal manusia di klinik dan hospital pada siangnya.
Seperti biasa, kelas dimulakan dengan zikir, wirid dan
qasidah daripada para alim ulama’ yang dikumpulkan Syeikh sendiri dalam sebuah
kutaib (kitab kecil) yang bertajuk “Ad-Durar An-Naqiyyah Fii Aurad At-Toriqah
As-Siddiqiyah”. Kemudian, kelas diteruskan dengan bacaan As-Selawat
Al-Yusriyyah Ala Kharil Bariyyah yang syeikh sendiri (juga) karang dan mendapat
ilham semasa keberadaan beliau di tanah suci Makkah dan Madinah Al-Munawwarah.
Allah, Allah…
Seterusnya, taman syurga itu dihiasi dengan tilawah Al-Quran
daripada anak-anak murid syeikh yang hadir, yang akan diperbetulkan jika salah,
dan akan disyarahkan jika perlu, tetapi yang paling menarik sekali, kita dapat
mengenal pelbagai qiraat (bacaan) selain riwayat Hafs daripada ‘Asim (yang
biasa kita baca dalam Mushaf Uthmani sekarang).
Selepas itu, barulah syeikh membuka kitab Sohih Muslim, yang
mana pernah dikhatamkan beliau sebelum ini, walaupun tanpa ada pendengar yang
setia pada masa itu. Hasilnya syeikh dapat membuka kelas bagi pencinta hadis
Rasulullah SAW di masjidnya. Ada di kalangan ikhwah yang benar-benar mencintai
hadis akan setia menempuh sejuk dan kabus di musim syita, serta suhu panas di
musim soif. Hebat sungguh kesetiaan syeikh kepada kitab Hadis sehingga beliau mampu
menghabiskan Sunan Sittah selama berbelas tahun, melalui pengajiannya setiap
hari selepas solat Subuh di masjidnya Masjid Al-Asyraf di Muqattam. Satu sahaja
kunci istiqamah ini, iaitu kecintaan beliau yang mendalam ke atas junjungan
besar RASULULLAH SAW. Semoga Allah merahmati dan memberkati Syeikh serta
keluarga, semoga kita dapat mengambil peluang berada di sisi para ulama menadah
ilmu mereka yang bersanad hingga Rasulullah SAW, dan semoga kita dapat
mengambil manfaat daripada beliau, ilmu beliau, serta ilmu para masyaikh
beliau, fiddaaraini (di dunia dan akhirat). Amin…
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment