Friday, May 10, 2013

Musibah, Sabar, Redha (MeSiR)

Bismillah wal hamdulillah...



Pagi-pagi lagi saya dah didengarkan dengan kisah SABAR. Sabar ini satu sifat yang dipandang mulia di sisi Islam, maknanya bukan mudah untuk bersabar. Sabar akan selalu dikaitkan dengan kesedihan, musibah, ujian, bala, cabaran dan sebagainya. Kerana kita terpaksa mengharungi ujian itu dengan payah sebelum kembali kepada keadaan biasa.

Ada satu kisah, daripada Abu Said Al-Khudri, beliau datang kepada Rasulullah, dan mendapati RAsulullah ditimpa demam. Kemudian beliau meletakkan tangannya ke atas lihaf (selimut) Rasulullah dan merasakan panas di tangannya, menunjukkan betapa tingginya tahap kepanasan demam yang sedang Rasulullah SAW alami. 

Beliau pun berkata: "Wahai Rasulullah, betapa beratnya ujian yang kamu alami" 

Baginda pun berkata: "Kami seperti ini (bermakna para nabi memang ditimpa ujian seberat begitu), digandakan ujian dan digandakan ganjaran bagi kami". 

Beliau bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berat ujiannya?" 

Baginda menjawab: "Para nabi" 

Beliau bertanya lagi: "Kemudian siapa?" 

Baginda menjawab: "Orang-orang yang soleh, apabila ada daripada mereka ditimpa dengan kemiskinan sehingga tidak ada pada mereka kecuali sehelai kain untuk alas duduk, dan apabila ada daripada mereka yang gembira dengan ujian sepertimana kamu gembira dengan kesenangan".*



Begitulah betapa hebatnya para nabi menerima ujian daripadaNya, tetapi sahabat-sahabat, berat ujian para nabi, berat lagi ujian nabi segala nabi iaitu Rasulullah SAW. 

Jika kita menelusuri sirah Baginda SAW, sejak dalam kandungan lagi Baginda diuji dengan kehilangan, usia 6 tahun dengan kehilangan, 8 tahun dengan kehilangan, seterusnya digalaskan dengan tanggungjawab yang berat  menyampaikan risalah, kemudian dihina, dicerca, dibuang, dipulau, dan bermacam-macam lagi.

Tapi sahabat-sahabat, tahukah antum apakah yang dibalas oleh Baginda dengan segala yang berlaku? Cuma dengan sebuah doa, 

"Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak tahu".

Ya Allah, betapa agungnya kekasihMu, tak pernah terlintas di fikirannya untuk mendendami mereka, malahan terus-terusan mendoakan.

Allah kurniakan kita ujian yang sesuai dengan agama kita, Jika kuat pegangannya, beratlah ujiannya, jika lembut pegangannya, ringanlah masalah yang mendatang. Sebab itulah, ujian para nabi sangat berat kerna Allah tahu nilai iman dalam ruh mereka. Apatah lagi, nabi kita SAW.

Musibah datang bukan untuk mengurang tetapi menambah pahala.

Ia juga bukan datang merendah tetapi meninggikan darjat di sisiNya.

Memang ia sakit, tapi kembalilah pada Allah, kerana ia datang daripadaNya.

Allah mahu gantikan kekurangan ibadah kita dengan cara ini, Dia tahu kita mampu hadapinya. Bayangkan Allah melihat kita dengan nazrah (pandangan) rahmatNya tatkala kita sedang menerima 'hadiah' daripadaNya.

Reda dan tawakkallah, Dialah sebaik-baik tempat bertawakkal. 

Wallahu a'lam.

 
*Sunan Ibnu Majah, Kitab Al-Fitan, Bab AsSabr Alal Bala', Hadis 4160

No comments:

Post a Comment