Sunday, November 11, 2012

Hari Penuh Ujian

Bismillah walhamdulillah...

Tinggal di negara orang ni bukan semudah yang disangka. Tak seseronok yang difikir, tapi tak juga sesusah yang dibayang.

Tapi yang penting, ia sangat perlukan kesabaran, ketabahan, dan kesungguhan yang tinggi.

Hari ini saya dan sahabat2 memulakan perjalanan ke Buuth Islamiyah seawal jam 7 pagi. Di situlah kami akan mendapatkan iqamah (visa) untuk terus tinggal di Bumi Mesir ini dengan sah, Tanpa iqamah ini, macam-macam perkara boleh berlaku dan bersangkut-paut dengannya. Seperti di Malaysia, warganegaranya  mesti mempunyai kad pengenalan (IC), begitu juga kami di sini sebagai orang asing (foreigner), perlukan passport dan iqamah.

Perjalanan yang pada awalnya diisi dengan sembang ilmiah (insyaAllah. =) )dan gelak tawa, lama-kelamaan menjadi hambar dan hiba.

Hanya iman yang dapat menyuntik sabar di hati ini agar terus menunggu dan menunggu sehinggalah jam menunjukkan pukul 11.15 pagi. Giliran masih belum tiba.

Macam-macam berlaku. Ada yang nak taslim (ambil) passport yang telah dicop iqamah, tapi diminta pergi kerana ifadah (surat pengesahan kuliah) ditulis di atasnya sesuatu yang tidak sepatutnya. Tertulis kalimah 'manqul' (di'naik tahun'kan), yang diminta kalimah 'muqayyad' (di'ikat') sepertimana yang tertulis pada tahun-tahun sebelum ini.

Tapi yang hairannya, ada juga yang menyerahkan ifadah yang berformat sama seperti tadi, tetapi dia menerima passportnya yang sudah bercop semula. Beliau sangat bernasib baik. Perancangan Allah yang terbaik.

Ada pula yang mahu taqdim (membuat permohonan) iqamah yang baru, ifadahnya pula yang tidak bercop rasmi kuliah Universiti Al-Azhar. Sedangkan kami menguruskan ifadah ini secara 'pukal'. Tidak sepatutnya ada yang keciciran. Perancangan Allah yang terbaik.

Ada juga yang mahu taqdim iqamah untuk passport baru, tapi iqamah lama yang di dalam passport lama pula  yang dimintanya. Sayalah tu. Sedangkan di Malaysia passport lama digunting dan tidak sah lagi. Terpaksalah kita mencuba minggu depan ye, insyaAllah. Perancangan Allah yang terbaik.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah....

Allah yang tentukan segala yang berlaku ni. Walau bagaimana sengsara pun kita dengan ujian yang Allah timpakan ni, Dia tetap beri yang terbaik. Dan kita mesti yakin bahawa memang inilah yang terbaik.

Kadang-kadang kita selalu nampak ujian dan cabaran yang Allah berikan, tapi kita jarang nampak nikmat dan kesenangan yang Allah kurniakan selama ini. Nisbah ujian dan nikmat:

25:75

Tapi apabila berasa susah dengan kesakitan yang Allah beri, kita pandang sebaliknya. Nikmat selama ini tidak terasa dan dilupakan, dan di mata hanya ada besarnya ujian yang melanda.



Syukuri segala nikmatNya, syukuri segala ujianNya.

Kerana mungkin ujian tersebut adalah kafarah (penghapus) dosa-dosa kita yang kian menggunung, sama ada pada masa lampau mahupun yang akan datang. Dengan adanya ujian, Allah hancurkan gunung itu.

Kerana Allah tahu bila ada sahaja musibah, pasti kita akan kembali kepadaNya dan lebih dekat denganNya. Allah mahu hambaNya lebih rapat, dan antara caranya adalah dengan ujian. Ganjarannya bukan untuk Dia langsung (mahu pun tak langsung), tapi untuk kita sendiri.

ليس كمثله شيء من المخلوقات فإنه هو الخالق والرزّاق.

Sebutlah Inna lillahi wa inna ilahi raaji'un...semoga kita menjadi orang yang sabar di sisi ALLAH SWT.

Rujuk Al-Baqarah: 155-156

Wallahu a'lam.