Friday, May 10, 2013

Musibah, Sabar, Redha (MeSiR)

Bismillah wal hamdulillah...



Pagi-pagi lagi saya dah didengarkan dengan kisah SABAR. Sabar ini satu sifat yang dipandang mulia di sisi Islam, maknanya bukan mudah untuk bersabar. Sabar akan selalu dikaitkan dengan kesedihan, musibah, ujian, bala, cabaran dan sebagainya. Kerana kita terpaksa mengharungi ujian itu dengan payah sebelum kembali kepada keadaan biasa.

Ada satu kisah, daripada Abu Said Al-Khudri, beliau datang kepada Rasulullah, dan mendapati RAsulullah ditimpa demam. Kemudian beliau meletakkan tangannya ke atas lihaf (selimut) Rasulullah dan merasakan panas di tangannya, menunjukkan betapa tingginya tahap kepanasan demam yang sedang Rasulullah SAW alami. 

Beliau pun berkata: "Wahai Rasulullah, betapa beratnya ujian yang kamu alami" 

Baginda pun berkata: "Kami seperti ini (bermakna para nabi memang ditimpa ujian seberat begitu), digandakan ujian dan digandakan ganjaran bagi kami". 

Beliau bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berat ujiannya?" 

Baginda menjawab: "Para nabi" 

Beliau bertanya lagi: "Kemudian siapa?" 

Baginda menjawab: "Orang-orang yang soleh, apabila ada daripada mereka ditimpa dengan kemiskinan sehingga tidak ada pada mereka kecuali sehelai kain untuk alas duduk, dan apabila ada daripada mereka yang gembira dengan ujian sepertimana kamu gembira dengan kesenangan".*



Begitulah betapa hebatnya para nabi menerima ujian daripadaNya, tetapi sahabat-sahabat, berat ujian para nabi, berat lagi ujian nabi segala nabi iaitu Rasulullah SAW. 

Jika kita menelusuri sirah Baginda SAW, sejak dalam kandungan lagi Baginda diuji dengan kehilangan, usia 6 tahun dengan kehilangan, 8 tahun dengan kehilangan, seterusnya digalaskan dengan tanggungjawab yang berat  menyampaikan risalah, kemudian dihina, dicerca, dibuang, dipulau, dan bermacam-macam lagi.

Tapi sahabat-sahabat, tahukah antum apakah yang dibalas oleh Baginda dengan segala yang berlaku? Cuma dengan sebuah doa, 

"Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak tahu".

Ya Allah, betapa agungnya kekasihMu, tak pernah terlintas di fikirannya untuk mendendami mereka, malahan terus-terusan mendoakan.

Allah kurniakan kita ujian yang sesuai dengan agama kita, Jika kuat pegangannya, beratlah ujiannya, jika lembut pegangannya, ringanlah masalah yang mendatang. Sebab itulah, ujian para nabi sangat berat kerna Allah tahu nilai iman dalam ruh mereka. Apatah lagi, nabi kita SAW.

Musibah datang bukan untuk mengurang tetapi menambah pahala.

Ia juga bukan datang merendah tetapi meninggikan darjat di sisiNya.

Memang ia sakit, tapi kembalilah pada Allah, kerana ia datang daripadaNya.

Allah mahu gantikan kekurangan ibadah kita dengan cara ini, Dia tahu kita mampu hadapinya. Bayangkan Allah melihat kita dengan nazrah (pandangan) rahmatNya tatkala kita sedang menerima 'hadiah' daripadaNya.

Reda dan tawakkallah, Dialah sebaik-baik tempat bertawakkal. 

Wallahu a'lam.

 
*Sunan Ibnu Majah, Kitab Al-Fitan, Bab AsSabr Alal Bala', Hadis 4160

Persediaan Rejab Lagi Sehari

Bismillah wal hamdulillah...

PESANAN DARI GURU MULIA AL-HABIB SALIM AS-SYATHIRI
RABU, 27 JAMADILAKHIR 1434H, 8 MEI 2013
RUBATH TARIM, TARIM, HADRAMAWT

AS-SULTHAN ULAMA' AL-HABIB SALIM AS-SYATHIRI baru saja mengingatkan kita semua, di RUBATH TARIM pagi ini, beliau mengatakan bahawa Jumaat malam atau malam Sabtu nanti adalah HARI EID (hari raya) malam, dimana tidak tertolak doa di dalamnya. Beliau mengingatkan kita untuk berdoa dan menghidupkan malam tersebut dengan ibadah kerana pada malam awal bulan Rajab adalah malam mustajab doa.

Di kota Tarim sendiri pada malam bulan Rajab akan diadakan 'HADRAH SEGAFF' di masjid 'Syuwayyah' salah satu masjid Al-Imam As-Syeikh Abduracman Segaff diguna untuk menta'zimkan atau menghormati bulan 'HARAM' iatu bulan Rajab dan paginya setelah solat Subuh akan diadakan maulid akbar di masjid ALMUCHDOR tanda sebagai hari eid pada hari itu.

Al-Habib Salim juga mengingatkan kita untuk sering beristighfar dan berpuasa di bulan Rajab kerana fadhilatnya sangatlah besar. Dan beliau berkata kelak disyurga akan ada sungai yang dinamakan RAJAB dan hanya orang yang berpuasa di bulan Rajab sahaja yang bisa dapat meminumnya kelak. Sesuai dengan hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;

"Sesungguhnya di syurga terdapat sungai yang dinamakan Rajab, airnya lebih putih daripada susu dan rasanya lebih manis dari madu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Rajab, maka ia akan dikurniai minum dari sungai tersebut."

Lalu Al-Habib Salim mengakhiri tausyiahnya pagi tadi dengan berdoa sesuai Doa Rasulullah S.A.W. ketika memasuki bulan Rajab:

"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rajab (ini) dan (juga) Sya'ban, dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan."

Amin ya robbal alamin..


Wallahu a'lam.
  
Sumber: 
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=4179411942978&set=a.1437065946042.52499.1814790405&type=1&theater

Senjata Serangan Ideologi

Bismillah wal hamdulillah...

Terasa seperti ingin kembali menguatkan semangat dan himmah yang kian luntur dek hentaman musuh yang bersifat mentaliti dan psikologi, terimalah lagu ini "Bingkai Kehidupan" buat halwa telinga...

Bagaimana pejuang-pejuang dulu yang nama-nama mereka sentiasa bermain di bibir kita tentang keazaman mereka dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan Islam yang belum tertegak kukuh di negara mereka. Musuh mereka berada di depan mata, nampak jelas. Mereka mesti menggunakan senjata yang juga nampak jelas di tangan mereka dan musuh menjadi takut.

Selain ditambah dengan kekuatan sebuah keyakinan yang jitu bahawa Allah akan membantu para pejuang di jalanNya.

Sedangkan kita juga tanpa disedari berada dalam sebuah perjuangan, perjuangan kita juga atas nama Islam. Cuma musuh kita tidak kelihatan di depan mata. Musuh kita adalah diri kita sendiri. Pemikiran kita. Hati kita yang terjajah dengan pemikiran sekularisme, nasionalisme, hedonisme, dan bermacam-macam lagi -isme yang merupakan serangan halus Barat atau boleh kita katakan senjata bukan Islam yang mahukan Islam itu terpadam dari Bumi Allah ini.

Oleh sebab itu, setiap daripada kita mesti mempunyai senjata yang sesuai dengan serangan tersebut, iaitu senjata pemikiran dan kefahaman yang jelas tentang Islam. Jika kita tidak mampu mendapatkan senjata tersebut, maka mudahlah kita untuk diserang oleh mereka tanpa kita sedari.

Bagaimana cara untuk memperoleh senjata ini?

Allah memerintahkan kita untuk menuntut ilmu. Firman Allah SWT dalam surah al-Alaq:

اقرأ باسم ربك الذي خلق* خلق الإنسان من علق* اقرأ وربك الأكرم* الذي علم بالقلم* علم الإنسان ما لم يعلم* (العلق:1-5) 

Mafhumnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan* Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah* Bacalah, dan Tuhanmulah
  Yang Maha Mulia* Yang mengajar (manusia) dengan pena* Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya*

Rasulullah SAW juga berpesan:  

"...مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ"

“Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya”

Saya mengajak diri saya dan sahabat-sahabat untuk sama-sama memantapkan ilmu kita sementara kita masih hidup dan diberikan masa oleh Allah di dunia ini. Ilmu tidak akan berguna jika tidak diamalkan dan apatah lagi cuma terkurung dalam diri tidak disampaikan.

Allahu musta'an.

Wallahu a'lam.