Wednesday, July 31, 2013

Sebaik-baik...

Bismillah wal hamdulillah...

Tazkirah malam ke 22 Ramadan 1434H



خير الناس من طال عمره وحسن عمله
"Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya"
Panjang umur bermaksud Allah panjangkan umurnya melebihi 70 tahun, kerana Rasulullah pernah bersabda mafhumnya, umur umat Baginda SAW ialah antara 60 dan 70 tahun. (kalau saya silap boleh betulkan...) dan dengan umur tersebut, orang ini dapat beramal kebaikan dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT. Jadi kita ingin membuat 'antonim' atau mafhum mukhalafah daripada hadith ini, ia akan berbunyi "Sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya dan buruk amalannya", jadi jangan faham bahawa orang yang pendek umur termasuk golongan yang jahat...tidak!


خير النكاح أيسره
"Sebaik-baik nikah/perkahwinan adalah yang paling mudah/murah"
Mudah/murah di sini bermaksud dari segi maharnya. Ada daripada kalangan bakal suami yang mengambil hadith ini sebagai dalil untuk memberi mahar yang terlampau murah, sedangkan dia tersangat mampu untuk memberi lebih daripada itu. Mudah atau murah di sini adalah mengikut kemampuan si lelaki. Rasulullah SAW sendiri memberi mahar sebanyak 400 ke 500 dirham kepada isteri Baginda SAW, kerana itulah kemampuan Baginda SAW. Cuba sahabat-sahabat tukarkan nilai dirham kepada matawang Ringgit Malaysia, boleh jadi ia mencecah ribuan ringgit. 
Tetapi timbul pula persoalan apabila kita melihat adat masyarakat Melayu Islam di Malaysia, mahar/mas kahwinnya sudah ditetapkan bagi sebahagian negeri dan nilainya memang agak murah mengikut kebiasaan pemuda zaman kini, malah bertepatan dengan hadith di atas, tapi bagaimana pula dengan hantaran yang berganda-ganda nombor sifarnya?


خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
"Sebaik-baik kamu adalah yang baik dengan ahli keluarganya, aku adalah sebaik-baik daripada kalangan kamu dengan ahli keluargaku"
Ahli keluarga yang paling rapat dengan Rasulullah SAW ialah para isteri Baginda SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW ingin membawakan mesej bahawa hendaklah kita berbuat baik dengan ahli keluarga (isteri dan anak-anak), sebagaimana kamu juga baik di hadapan masyarakat. Ada kes luar biasa pada zaman sekarang yang mana si suami sangat baik apabila berhadapan dengan orang lain, tapi apabila pulang ke rumah, sikapnya berubah dan menjadi dingin terhadap isteri dan anak-anak. Jadi, dengan mengamalkan hadith ini, kita akan menjadi sebaik-baik manusia, bukan sahaja pada pandangan manusia, malah pada pandangan Allah SWT, kerana berpegang pada Sunnah Kekasih Allah SWT.


خيركم من تعلم القرآن وعلمه
"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya"
Al-Quran yang menjadi panduan hidup manusia ini mestilah dipelajari, agar tidak salah dalam mempraktiskan isi kandungannya. Ia juga bukan sekadar bacaan ringan, tetapi haruslah dipelajari, dikaji serta diamalkan. Kitab Allah ini adalah untuk seluruh umat manusia, oleh itu orang yang terbaik dan layak untuk menyampaikan ilmu Al-Quran adalah ahlinya.
Umat manusia kini tenggelam dengan permainan dunia hingga meninggalkan panduannya yang memimpin ke dunia yang abadi. Teringat satu hadith: "Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya". Beruntunglah bagi sesiapa yang mengajarkan Al-Quran, kerana dia membaca Al-Quran dan menjadi jalan kepada orang lain untuk turut membacanya.  

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment