Tiga perkataan yang
Rasulullah ajarkan kepada kita yang bermaksud : “Setiap perkara yang baik
adalah sedekah”.
Hanya dengan tiga
perkataan sahaja Rasulullah telah membawa satu mesej yang sangat besar
maknanya. Segala perkara yang baik yang dilakukan oleh seorang muslim akan
dikira sebagai sedekah. Sedekah pula akan dibalas dengan pelbagai ganjaran di
dunia, iaitu beroleh keberkatan dalam hartanya, dan juga di akhirat, iaitu
pahala yang menggunung di sisi Allah.
Pernahkah kita
terfikir bagaimana harta yang diinfakkan di jalan Allah yang sepatutnya menjadi
semakin sedikit, tetapi dengan berkat sedekah tersebut, Allah berikan tambahan?
Cuba bayangkan, ada seorang lelaki yang hidupnya sederhana, dia suka memberi
sedekah kepada fakir miskin, suatu hari anaknya diserang demam, kebetulan dia
mempunyai ubat demam di rumahnya sebagai simpanan. Beberapa hari selepas
mengambil ubat tersebut, anaknya kembali pulih seperti biasa. Ada pula seorang
lagi lelaki yang kaya raya, dia tidak suka bersedekah dan memandang rendah
kepada orang miskin, suatu hari bapanya rebah secara tiba-tiba, apabila dibawa
berjumpa doktor, tahulah dia bahawa bapanya menderita barah otak. Untuk
menyelamatkan bapanya, dia harus membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk
membiayai kos perubatan yang memakan masa bertahun-tahun untuk pulih.
Adakah perbezaan di
antara kedua-dua kisah di atas? Walaupun cerita di atas hanya rekaan
semata-mata, tetapi Allah tidak akan sesekali meninggalkan hambaNya yang Dia sayangi,
lelaki yang suka bersedekah tersebut tidak perlu mengeluarkan sesen pun
daripada wangnya untuk merawat anaknya yang sakit, sebaliknya lelaki yang tidak
pernah bersedekah itu dalam sekelip mata wangnya habis untuk merawat bapanya
yang sakit.
Keberkatan yang Allah
janjikan bagi setiap sedekah itu akan diberikan dalam keadaan kita sedar
mahupun tidak sedar, tetapi yakinlah janji Allah melalui lisan kekasihNya SAW:
((ما تصدق أحد بصدقة من طيب ولا
يقبل الله إلا الطيب إلا أخذها الرحمن بيمينه وإن كانت تمرة فتربو في كف الرحمن
حتى تكون أعظم من الجبل كما يربي أحدكم فلوه أو فصيله))
“Tidaklah seorang daripada kamu bersedekah dengan harta yang
halal –Allah tidak menerima kecuali yang halal- kecuali arRahman akan
mengambilnya dengan kanannya (Allah akan menerima, menambahkannya dan
memberkatinya), walaupun (bersedekah) dengan sebiji kurma, dan (pahala bagi)
harta itu bertambah di sisi Allah sehingga menjadi lebih besar daripada bukit,
seperti mana kamu membesarkan anak kuda atau anak unta kamu”.
Bersedekahlah dengan
apa yang kita ada, kerana Allah Maha Kaya, Dia tidak melihat berapa yang kita
sedekahkan, tetapi Dia melihat hati sesiapa yang bersedekah.
Tetapi jangan pula
menjadi ‘robinhood’ yang membantu orang lain dengan cara mencuri, kerana di
dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara!
Wallahu a'lam...
(Sedikit perkongsian daripada Syeikh Yusri Jabr Al-Hasani kitab Sohih Muslim "Bab 17:Nama sedekah terletak pada semua jenis kebaikan" dan "Bab 20:Diterima sedekah daripada harta halal dan dipelihara" )
No comments:
Post a Comment