Friday, April 27, 2012

Cakna Masalah Kawan...


Assalamualaikum sahabat2 semua. Apa khabar?

Hari ini saya nak cerita satu cerita, macam cerita kanak-kanak, tapi insyaAllah bawa makna yang besar dalam hidup sebagai seorang manusia.

Ceritanya adalah cerita antara tikus, ayam, kambing dan lembu. Bayangkan haiwan-haiwan ini boleh berkata-kata…

Ceritanya bermula di sebuah rumah kecil yang terletak di hujung kampung. Tinggallah sepasang suami isteri yang tidaklah terlalu muda juga tidaklah terlalu tua. Mereka sedang mengemaskan barang-barang dapur yang baru dibeli oleh mereka sebentar tadi. Tanpa mereka sedari, perbuatan mereka sedang diperhatikan oleh seekor tikus di celah lubang kayu rumah mereka. Tikus juga tidak menyangka dia sedang memerhatikan sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat oleh tikus itu. Tuan rumah sedang memasang perangkap tikus yang baru sahaja dibeli, kerana mereka merasakan kehadiran haiwan perosak itu di rumah mereka.

Lalu, hebohlah sang tikus dengan berkata; “Tuan rumah pasang perangkap tikus! Tuan rumah pasang perangkap tikus!” Sang tikus terus-menerus menghebohkan cerita tersebut kepada haiwan-haiwan di sekitarnya.

Dia berjumpa dengan sang ayam, “Tuan rumah memasang perangkap tikus! Tuan rumah memasang perangkap tikus! ”  Sang ayam pun membalas, “Encik T, perangkap itu untuk awak, tak mudaratkan saya apa-apa pun”. Sang tikus terus berlalu dengan rasa hampa.

Sang tikus tak berasa putus asa, maka dia berjumpa pula dengan sang kambing, “Cik B, tau tak ada perangkap tikus di rumah tuan kita, tau tak?!” Sang kambing menjawab; “Yelah Encik T, kalau saya tau pun, bukan ada kena-mengena dengan saya”. Maka berlalu sang tikus setelah mendengar jawapan yang tidak memuaskan dari si kambing.

Kali ini, dia bertekad untuk berjumpa dengan sang lembu pula; “Uncle L, ada berita terkini ni! Uncle tau tak tuan rumah kita ada pasang perangkap tikus, tadi baru saya nampak! Perangkap tikus!” Jawapan sang lembu juga seperti haiwan lain, tidak mengendahkan kata-kata sang tikus yang memberi amaran.

Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Pada malam hari, si suami mendengar satu bunyi pelik di dapur mereka.

Si isteri berkata: “Bang, dengar tak bunyi sesuatu kat dapur tu?”

Si suami menjawab: “Aahlah, abang pun dengar. Pencuri ke? Tak pun perangkap kita mengena…”

Maka, mereka dengan berhati-hati ke arah bunyi yang kedengaran. Setibanya mereka di sana, sangkaan mereka meleset, malah mereka sedang berdepan dengan seekor ular yang sangat besar. Ular tersebut sedang menggelupur kesakitan apabila ekornya terkena perangkap tikus yang dipasang suami isteri itu.

Apabila ular itu melihat kehadiran suami isteri tersebut, maka dengan serta-merta ular itu cuba menerkam kedua-dua mangsanya. Dengan pantas, si suami menarik tangan si isteri untuk melarikan diri, malangnya kaki si isteri sempat dipatuk oleh ular tersebut sebelum dipukul bertalu-talu oleh si suami. Akhirnya ular itu pun mati.

Akibat patukan ular, si isteri mengalami demam yang teruk. Si suami mendapat petua untuk memulihkan demam dengan cara memberi makan bubur sup ayam. Maka disembelih ayam ternakannya untuk dibuat bubur sup ayam. Tetapi demam tidak kebah juga.

Kelihatan si isteri semakin tenat, ramailah sahabat-sahabat menziarahi isterinya yang sedang sakit. Si suami terpaksa meninggalkan kerjanya untuk menjaga si isteri. Si suami berasa segan jika dibiarkan tetamu datang tak dihidangkan dengan apa-apa makanan. Dengan rela hatinya, si suami menyembelih kambing ternakannya. Dihidangkan kambing yang dimasak tersebut kepada tetamu-tetamu yang hadir.

Racun yang berada di dalam tubuh si isteri merebak sehinggalah terpisahlah roh dari jasad si isteri. Maka, diadakan upacara pengkebumian si isteri. Si suami pun menyembelih satu-satunya lembu ternakannya untuk dihidangkan kepada tetamu yang menghadiri upacara tersebut.

Si tikus hanya melihat keadaan yang berlaku ke atas haiwan lain melalui lubang kayu di rumah tersebut dengan linangan air mata.

Jadi, apa kesimpulan yang kita boleh ambil ye sahabat-sahabat??

Antaranya, kalau kawan-kawan kita ada masalah, jangan jadi macam sang ayam, Cik B dan juga Uncle L. 

Sebenarnya kalau salah seorang daripada kita diancam, maka kita juga sedang menghadapi risiko yang 
sama.

Pernah dengar tak, Allah akan timpakan bencana di sesuatu tempat yang berlaku kemungkaran, walaupun di tempat tersebut ada orang soleh. Bukannya bala hanya untuk yang melakukan maksiat, malah juga kesemua yang berada di situ. Jika Allah kehendaki.

Kenapa rasanya yang soleh pun kena? Bukan dia buat baik je ke? Hukuman kan untuk orang jahat je… Sebabnya, orang soleh lah yang berperanan meng’islah’ atau memperbaiki semula keadaan di tempat itu...

Allah Maha Mengetahui segala perbuatan hamba-hambaNya, sama ada  yang membantu agama Allah atau pun yang meruntuhkannya…

Kita dalam satu KEHIDUPAN perlulah saling membantu antara satu sama lain. Mungkin hari ini orang perlukan bantuan kita, mana tau satu hari nanti kita pula yang perlukan bantuan orang lain, betul tak?

Pepatah Melayu ada menyebut: 

Bagai aur dengan tebing.

Yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

 Hidup sepakat membawa berkat.

Berjemaah menegakkan ummah dan daulah islamiyah.

(Cerita ini tiada kena-mengena dengan yang hidup mahu pun yang telah meninggal dunia)

Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment