Friday, April 20, 2012

Jiran Terdekat



Bismillah wassolatu ala rosulillah SAW…

Alhamdulillah Allah pertemukan kita lagi dalam ruangan di alam maya ini pada hari ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:

حَدَّثَنَا عَاصِمُ بْنُ عَلِيٍّ ، حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ ، عَنْ سَعِيدٍ ، عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ قِيلَ ، وَمَنْ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ الَّذِي لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَايِقَهُ.

Mafhumnya: "Demi Allah, tidak beriman (3 kali), ditanya: Siapa wahai Rasulullah?, Baginda bersabda: "Orang yang tidak menjauhkan kejahatannya daripada jirannya"

Saya yakin, setiap daripada kita pasti faham dan mengerti bahawa berbuat baik kepada sesama manusia adalah suatu amalan dan akhlak yang amat dituntut dalam Islam mahupun agama lain. Fitrah manusia telah diciptakan oleh Allah untuk menyukai perkara yang baik dan membenci perkara yang tidak baik. Malangnya individu itu sendiri yang tidak meletakkan haknya pada tempat yang betul sehingga menzalimi dirinya sendiri,dengan cara menganiaya orang lain mahupun diri sendiri.

Tarbiyah yang telah diajar dalam diri setiap manusia sejak kecil lagi agar berlaku ihsan terhadap manusia, haiwan dan tumbuhan bukanlah hanya sekadar didikan kosong, yang boleh ditinggalkan begitu sahaja, malah sifat ini harus dipupuk sehingga tahap ihsan itu naik ke tingkat tertinggi. Apa tingkat tertinggi ihsan? Tahap di mana manusia berasa tidak lari dari pandangan Allah walaupun sesaat sehingga dia berusaha untuk tidak melakukan satu dosa kesalahan pun walau sekecil zarah, kerana keyakinannya bahawa Allah melihatnya di mana sahaja dia berada.

Kadang-kadang kita lupa bahawa kita sebenarnya dikelilingi manusia yang bernama jiran, tak kira dari depan, belakang, kanan mahupun kiri. Islam mensyariatkan umatnya untuk berbuat baik terhadap jiran. Tapi sedar tak sahabat-sahabat, bahawa sahabat mempunyai jiran yang sangat rapat, yang tak mampu terpisah walau kemana jua pergi?

Jiran ini bernama PANCAINDERA. Siapa pancaindera ini? Beliau ialah mata, mulut, telinga, hidung dan tangan kita. Kita cakap kita buat baik pada jiran sebelah rumah, tapi kita buat baik tak pada jiran terdekat kita, iaitu pancaindera ini?


Bagaimana ihsan pada pancaindera?

Mata - > Melihat yang halal dan menundukkan pandangan dari haram
Mulut - > berkata yang halal dan memelihara dari maksiat (mengumpat, mengata dll)
Telinga - > mendengar yang halal dan menjauhi kata-kata maksiat
Hidung - > mencium yang halal dan menjauhi bau maksiat
Tangan - > menyentuh yang halal dan menjauhi yang haram

Halal? Haram? Kenapa umum sangat? Sebab saya tahu sahabat-sahabat semua dah tahu beza antara dua kalimah ini…

Pastikan jiran terdekat, terapat, terbaik sahabat adalah yang pertama sahabat muliakan berbanding yang lain. Selamat memuliakan jiran!

No comments:

Post a Comment