Friday, April 13, 2012

Membina Peradaban Islam: Mencontohi @ Menolak Negara Bukan Islam

Peradaban Islam sebenarnya dalam keadaan semakin runtuh bermula pada tahun 1453M yang mana merupakan tarikh jatuhnya Granada dan Andalus serta jatuhnya Khilafah pada zaman itu iaitu khalifah Turki Uthmaniyah. Maka ia telah menyebabkan pembaharuan yang berlaku dalam ilmu-ilmu Islam seperti sains Islam mulai terhad dan berakhir pada tahun 1500M.

Sejak itu, Islam tidak lagi berkarya selama hampir 500 tahun, juga tiada usaha dalm mencipta ilmu sains baru serta pemikiran atau idea baru dalam ekonomi, pendidikan dan sebagainya tidak bercambah.

Sejarah mencatatkan bahawa pada zaman dahulu, Islam telah menyerap pemikiran tamadun-tamdun lain seperti Tamadun Rom, Parsi dan Yunani. Tetapi Islam tidak mengambil atau meminjamnya secara bulat-bulat, sebaliknya ditapis dengan pemahaman Islam yang telah dibawa dalam Al-Quran dan As-sunnah. Sebagai contoh, Islam mengambil pemikiran mereka (Yunani) dalam ilmu-ilmu sains terutamanya, tetapi Islam menolak ideologi ahli falsafah terkenal Aristotle, yang mana bertentangan dengan Islam.

Dalam erti kata lain, Islam meminjam kepakaran tamadun lain secara selektif, dan kemudiannya akan cuba disesuaikan dengan pandangan alam yang dinamakan proses islamisasi.

Pada tahun 1910 hingga 1920, Islam mula bangkit dari lena mereka dan menyedari ketinggalan mereka dalam bidang ilmu khususnya berbanding tamadun lain. Maka para cendekiawan Islam mula mengorak langkah dengan mengusulkan untuk megambil contoh negara bukan Islam dalam menyelesaikan hal ini.

Timbullah dua reaksi utama yang berbeza antara cendekiawan-cendekiawan ini:

Yang pertama; cendekiawan yang bersifat tradisionalis; mereka ini adalah golongan yang bersikap negatif terhadap negara Barat sehingga menegakkan dasar tutup pintu. Dasar ini disematkan dalam jiwa mereka sehingga merelakan adalah lebih baik masyarakat buta huruf berbanding merosakkan keislaman mereka.

Yang kedua; cendekiawan yang bersifat modenis; iaitu mereka yang mahukan kemajuan dalam masyarakat dengan cara meminjam dan mengimport pemikiran sains dari Barat.

Pada zaman ini, orang melihat sesuatu itu secara materialistik. Islam pada zaman dahulu hebat dengan pemikiran yang lahir daripada tamadun Islam sendiri. Malangnya kebanggaan manusia kini pada ilmu-ilmu atau pemikiran yang dibawakan oleh Islam hanyalah pinjaman dari Barat yang bertopengkan nama Islam. Buktinya, produk-produk ini masih disisipkan dengan ciri kebaratan.

Terdapat beberapa ciri peradaban

Pertama; pandangan hidup. Negara Barat meletakkan pandangan mereka pada ideologi yang telah tersebar ke seluruh dunia pada masa kini, seperti materialisme, sekularisme dan sebagainya. Contohnya; Isaac Newton mengatakan Tuhan itu cuma penggerak dengan mengemukakan teorinya. Hal ini amat bertentangan dengan Islam kerana Islam membezakan af’alullah dan manusia tidak berhak menentukan apa yang wajib dilakukan oleh Allah, tuhan pencipta alam.

Kedua; syariah. Ia bertindak sebagai pemantau dan pembuat sempadan. Ciri ini sangat penting kerana falsafah Barat tidak berlandaskan agama, malah bergantung kepada akal manusia yang terbatas ini semata-mata serta memberi kuasa sepenuhnya dalam menimbang semua perkara. Maka, mereka dilihat sebagai genius kerana menggunakan sepenuhnya logik akal dalam mengembangkan sesuatu ilmu.

Untuk membina sebuah peradaban, gunakanlah alam semahu-mahunya untuk tujuan kapitalisme tanpa mengabaikan maslahat orang lain, di samping mengambilnya dengan selektif menggunakan pandangan alam Islam.

Negara kita sudah merdeka 60 tahun yang lalu. Malangnya, kita masih gagal membina sebuah peradaban yang gemilang amnya, dan peradaban Islam khususnya. Adakah dengan hanya menghadiahkan komputer riba kepada setiap pelajar sekolah rendah mampu mencipta sebuah peradaban Islam yang hebat? Tidak mudah, tetapi bukan mustahil. Malaysia masih memerlukan kepakaran yang pelbagai daripada pihak luar tetapi perlu ditapis dengan pemahaman Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-sunnah untuk membina sebuah peradaban.

Oleh itu, untuk memulakan proses adaptasi dalam bidang teknologi, ekonomi, budaya, alam sekitar
dan sebagainya daripada negara bukan Islam, perlu ada asas-asasnya yang mantap. Malaysia memerlukan pakar dalam bidang ilmu tauhid (sifat ma’ani), syariah, dan ilmu pembinaan negara (ilmu umran). Dengan asas yang teguh, maka ilmu dari Barat ini seperti ilmu sains dan ilmu kemanusiaan mampu diterokai tetapi masih melalui pengubahsuaian yang disesuaikan dengan zaman tersebut.

No comments:

Post a Comment