Saturday, March 30, 2013

Dakwah Hanya Untuk Ustaz Ustazah??

Bismillah wal hamdulillah

"Kebanyakan muslim pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai
daripada beribadat kepada Allah s.w.t dan mentaati perintah-Nya.

Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur.
Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak
tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan
manusia yang nyenyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing
dan menjauhkan diri daripada api. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka
yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka
terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana
mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu
barulah diberikan peringatan.

Dalam banyak kes, ketika usaha membangunkan orang yang sedang nyenyak
tidur dilakukan, mereka tidak mahu bangun kerana sedang enak tidur dan tidak mahu
diganggu. Ini kerana dia masih tidur dan belum lagi sedar. Jika dia benar-benar sedari
dari tidurnya dan melihat api yang sedang membakar, nescaya dia bersegera
menyelamatkan diri. Kata-katanya bahawa dia telah sedar tidak boleh dipercayai
sepenuhnya kecuali apabila diikuti dengan tindakan menjauhkan diri dari api itu."

Ini adalah petikan daripada terjemahan tulisan Ustaz Mustafa Masyhur dalam kitabnya Dakwah Fardiah.

Benarlah, dakwah itu bukan senang. Perlukan pengorbanan kerana para mad'u (orang yang diseru) bukan serupa sifat dan perangainya. Seperti orang yang sedang tidur itu. Ada manusia yang mudah terjaga hanya dengan bunyi yang halus. Ada yang hanya mungkin terjaga dengan loceng yang sangat kuat. Ada juga yang hanya akan terjaga apabila keenakan tidur itu sudah dipenuhi dalam dirinya.

Maka apabila jenis mad'u ini pelbagai, maka perlukan da'ie (orang yang menyeru) yang juga pelbagai, tidak kira sama ada dari segi bilangan atau pun dari segi cara.

Allah menyebut dalam Al-Quran yang mulia dalam Surah An-Nahl:

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين  125  

 "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. "

Seruan ini bukan hanya tertumpu kepada para ustaz, ustazah dan alim ulama sahaja, tetapi ia adalah untuk semua yang bergelar hamba Allah. Kerana kita telah ditaklifkan (diamanahkan) untuk menjadi khalifahnya, maka tugas khalifah adalah menyeru manusia kepada Allah dan meng'imarah'kan (memajukan) bumi Allah ini.

Tidak benarlah jika ada yang mengatakan:

"Aku bukan ustaz nak ajak orang buat baik"

"Aku ni bukan baik sangat pun, tak mampu dakwah pun"

"wah, dakwah? ustaz-ustaz kan dah ramai"

"Ala, ilmu tak banyak lagilah"

Fahamilah bahawa dakwah bukan hanya memberi ceramah di surau-surau, bukan hanya daripada orang yang memakai jubah dan kopiah, dan bukan hanya daripada orang yang menghafal Al-Quran dan membaca kitab berbahasa Arab, tetapi skop dakwah sangat luas. Mulakan daripada diri sendiri. Amalkan sifat yang dipuji, jauhi sifat yang dikeji. Tidak mustahil, kita yang baru berjinak dengan amal soleh, baru mula untuk menjadi baik, adalah orang yang menjadi sebab untuk seseorang muslim yang lain menjadi baik atau bukan muslim untuk tertarik dengan Islam.

Inilah yang dinamakan dakwah dengan hal (keadaan). Ada banyak jalan dakwah, tapi yang penting semuanya bermula dengan niat di hati. Dan InsyaAllah Allah akan permudahkan jalan seterusnya. InsyaAllah...

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment