Friday, January 4, 2013

Kalam Syeikh Rajab Dib: Penuntut Ilmu

Bismillah walhamdulillah...



Setelah sekian lama tidak mendengar ceramah atau tazkirah mahupun ke talaqqi, lagi-lagi dengan kesibukan mengulang kaji pelajaran, pada malam ni, ada seorang sahabat karib, kami pangggilnya Kak Ain aka Along berkongsi ilmu beliau yang diperoleh daripada kalam taujihat Syeikh Rajab Dib yang menziarahi Syeikh Yusri di Masjid Al-Asyraf, di Muqattam, salah satu kawasan di Kaherah, Mesir. Syeikh Rajab merupakan salah seorang ulama besar dalam bidang tasawwuf, iaitu akhlak dan tarbiyah hati, yang datang dari Syam.

Beliau menyebut bahawa setiap daripada kita merupakan pelajar atau dipanggil tolibul ilmi (penuntut ilmu), walau di mana pun kita berada. Mengapa? Kerana ilmu Allah SWT sangat luas, sehinggakan jika ranting dijadikan pena dan seluas lautan menjadi dakwat untuk menulis ilmu-ilmu Allah, takkan cukup pena dan dakwat itu untuk tujuan tersebut. Betapa agungnya kuasa Allah digambarkan, sedangkan takkan mampu pun kita untuk menggambarkannya sebenarnya. Oleh sebab itu, kita mestilah mengibaratkan diri ini sebagai penuntut ilmu pada semua tempat dan masa.

Dua syarat yang seharusnya ada pada seorang penuntut ilmu: Attawajjuh ilallah (Menghadirkan diri di hadapan Allah) dan Al-Irtibat birrasul SAW (mengikat diri bersama Rasulullah SAW).

Syarat pertama: Menghadirkan diri di hadapan Allah.
Sifat ini haruslah difahami dengan sebenar-benar fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah. Bukanlah maksud di sini menggambarkan Allah di hadapan kita (nauzubillah...) bukan mengjisimkan, bukan mengatakan Allah berrtempat, tetapi kita sendiri merasakan Allah itu melihat kita, walaupun kita takkan mampu melihatNya. Inilah dinamakan ihsan. Dalam solat lima waktu sehari semalam, kita ada melafazkan doa iftitah, yang di dalamnya: "إني وجهت وجهي للذي فطر السماوات والأرض" (Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku kepada Yang menciptakan langit dan bumi) Maka penghadapan ini secara zohirnya, jasad kita menghadapkan ke arah kiblat yang satu, tetapi secara batinnya ruh kita menghadap Allah yang Esa. Maka, hadirkan jasad dan ruh menghadap Sang Pencipta dengan rasa kehambaan yang sebenar-benarnya. Sebab itu, Allah dengan rahmatNya meletakkan taharah (bersuci) itu sebagai syarat solat, tanpanya solat takkan sah. Semasa kita mensucikan anggota-anggota wuduk dengan air mutlak, dalam keadaan yang tidak kita sedari, Allah juga mensucikan ruh kita, agar pada waktu kita menghadapNya, jasad dan ruh berada dalam keadaan penuh suci tanpa dosa. Kerana Rasulullah SAW bersabda:     

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا توضأ العبد المسلم أو المؤمن فغسل وجهه خرج من وجهه كل خطيئة نظر إليها بعينيه مع الماء أو مع آخر قطر الماء فإذا غسل يديه خرج من يديه كل خطيئة كان بطشتها يداه مع الماء أو مع آخر قطر الماء حتى يخرج نقيا من الذنوب فإذا غسل رجليه خرجت كل خطيئة مستها رجلاه مع الماء أو مع آخر قطر الماء حتى يخرج نقيا من الذنوب رواه مسلم .

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW besabda: Jika seorang muslim atau mukmin berwuduk, kenudian dia membasuh mukanya, keluar daripada wajahnya semua kesalahan yang dilihatnya dengan matanya bersama air atau titisan air terakhir, ketika dia membasuh tangannya keluar daripada tangannya semua kesalahan yang dibuat dengan tangannya bersama air atau titisan air terakhir sehingga dia keluar bersih daripada dosa, ketika dia membasuh kakinya keluar daripada kakinya semua kesalahan yang  disentuh dengan kakinya bersama air atau titisan air terakhir sehingga dia keluar bersih daripada dosa.

Syarat kedua: Mengikat diri bersama Rasulullah SAW
Rasulullah SAW itu kekasih Allah. Maka tidak dapat dipisahkan dua nama yang agung ini. Jika di awal solat, kita menyatakan tawajjuh kita kepada Allah, sedang di akhirnya pula kita akan menyebut nama kekasihNya, Rasulullah SAW, semasa melafazkan tahiyyat: "السلام عليك أيها النبي" (Salam ke atasmu wahai Nabi Allah). Pernah tak kita terfikir kenapa digunakan kaf alkhitob (kata ganti diri kedua) sedangkan Nabi tidak ada di hadapan kita? Kerana Allah inginkan hamba-hambaNya merasai kehadiran Rasulullah SAW semasa solat. Kerana hamba-hamba yang bertaqwa akan selalu mengaingati Baginda, dan mereka akan selalu berasa Nabi SAW bersama mereka. Baginda memang berada bersama kita. Allah pernah menyebut dalam surah Al-Hujurat: (واعلموا أن فيكم رسول الله) :Ketahuilah sesungguhnya bersama kamu Rasulullah.

Saye mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat, untuk sentiasa meletakkan dua perkara ini tersemat kemas dalam diri masing-masing sebagai penuntut ilmu sepanjang perjalanan hidup ini menuju ke alam Akhirat dengan berbekalkan amal soleh di dunia yang singkat ini. InsyaAllah.

Wallahu a'lam.

1 comment: