Tuesday, July 26, 2011

Mabadi' Ulum-Usul Fiqh & Fiqh

Pada hari Sabtu yang lepas, sebuah persatuan Melayu di bumi Mesir ini telah menganjurkan sebuah majlis yang dipanggil Mabadi’ Ulum (Pengenalan Ilmu2) khususnya ilmu dalam bidang Pengajian Islam. Program bertempat di Rumah Melaka Baru di Hayyi Sabi’.

Program bermula pada pukul 7.45 malam, iaitu selepas Maghrib. Mabadi’ Ulum pertama disampaikan oleh Us Hairul Nizam, salah seorang pelajar Master di sini. Beliau menerangkan tentang Usul Fiqh dan Fiqh.

Apa yang saya naqallkan di sini adalah apa yang yang saya dengar dan faham daripada penerangan Us Hairul Nizam. Diharap agar apa yang dikongsi bermanfaat untuk sahabat2 dan kalau ada yang salah, minta ditegur agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang sesat dan menyesatkan. Wal’iazubillah.

USUL FIQH
معرفة دلائل الفقه إجمالا وكيفية الاستفاد منها وحال المستفيد

Pengetahuan tentang dalil2 fiqh secara menyeluruh dan cara mengambil faedah daripadanya dan keadaan orang yang mengambil faedah.

Pada zaman Rasulullah, penulisan tentang Usul Fiqh tidak dijalankan kerana pelbagai masalah fiqh akan ditanya terus kepada pembawa syariat Allah, iaitu Nabi Muhammad SAW. Manakala, selepas kewaftan Baginda SAW, permasalahan fiqh dirujuk kepada sahabat2 dan mereka berijtihad dengan ilmu dan pemikiran mereka yang diajar oleh Baginda SAW. Dan pada masa tersebut juga, permasalahan fiqh tidak banyak. Semakin lama, masalah fiqh dilihat makin banyak ditambah pula dengan kewafatan sahabat2 Baginda yang hidup bersama Nabi. Penulisan Usul Fiqh dilihat perlu, maka para tabi’ dan tabi’ tabi’in menulis ilmu Usul Fiqh, tetapi dicampur aduk bersama ilmu Fiqh.
Kitab Usul Fiqh pertama ditulis sebagai satu ilmu yang mustaqil ialah kitab Ar-Risalah tulisan Al-Imam As-Syafie rahimahullah atas permintaan AbdurRahman ibn Mahdi.

Kitab yang ditulis pada permulaannya ialah Ar-Risalah Al-Qadimah, selepas itu, Al-Imam As-Syafie menulis kali kedua Ar-Risa;ah Al-Jadidah. Kitab yang pertama tidak ditemui sehingga kini, tetapi yang boleh dibeli sekarang di maktabah ialah kitab kedua.

Syeikh Shaltut hafizahullah pernah menaqalkan kalam Syeikh ‘Ali Jumuah hafizahullah (Mufti Jumhuriah Misriah) bahawa Barat cuba merendahkan martabat Al-Imam As-Syafie di mata para muslimin kerana Al-Imam As-Syafie adalah yang pertama sekali memperkenalkan kaedah2 atau undang2 untuk mengistinbat hukum syariah. Tanpa kaedah2 atau undang2 ini, manusia terutamanya orang Islam akan meletakkan sesuatu hukum bagi masalah tertentu sesuka hati mereka mengikut kepentingan sendiri. Wal’iazubillah.

Contoh penggunaan ilmu Usul Fiqh:

Firman Allah: (وأقيموا الصلاة)
[(أقيموا) = Fiil amr (perintah)
Al-amr membawa kepada wujub(wajib).
Maka, solat itu wajib.]

Kata Us Hairul Nizam lagi, untuk lebih senang lagi, usul fiqh lebih kepada mengkaji dalil, manakala fiqh mengkaji hukum kepada setiap perbuatan manusia. Semua perbuatan yang kita lakukan ada hukumnya. Tak kiralah wajib, sunat, harus, makruh, ataupun haram.

Sesiapa yang melakukan sesuatu perkara tanpa tahu apa hukum perbuatan tersebut, hukum perbuatan tersebut adalah haram, walaupun sebenar2nya adalah halal. Ia jadi haram disebabkan pelakunya tidak tahu tentang hukum perbuatan itu. Jadi, yang paling penting, kita perlu belajar dan terus belajar agar kita sentiasa tahu perbuatan yang kita lakukan ini harus ataupun tidak.

Terdapat beberapa mazhab fiqh di dunia ini, tetapi yang paling masyhur ialah mazhab yang empat, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hanbali. Dengan kekalnya mazahib arba’ah ini, makitu adalah tanda Allah redhai ikhtilaf mazahib ini.
Mereka berbeza pendapat, antaranya adalah disebabkan sumber hukum syariah dan salah satunya ialah hadith Rasulullah SAW bersifat umum maknanya. Dengan lafaz hadith yang sama, para sahabat, tabi’, dan tabi’ tabi’in berbeza fahaman, dan sudah tentunya pada masalah furu’ bukan pada usul.

Contohnya hadith mengenai bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Dalam Mazhab Maliki, semasa berpuasa digalakkan menggosok gigi, kerana pada pendapat ulama’nya, bau busuk pun Allah suka, apatahlagi kalau mulut itu diwangikan lagi. Sedangkan Mazhab Syafie berpendapat bahawa makruh memnggosok gigi, kerana ia akan menghilangkan bau busuk yang disukai Allah itu.

Kesimpulannya, khilaf itu satu rahmat kepada seluruh umat Islam.

Rasanya setakat ini sahaja perbincangan kita mengenai usul fiqh dan fiqh. Sebenarnya tulisan sudah lama ingin dikeluarkan, tetapi masa tidak mengizinkan dan penulis merasakan banyak lagi yg ingin dikongsi bersama pembaca. Maaf atas kekurangan segalanya.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment