Bismillah wal hamdulillah…
Entah kenapa hari Jumaat yang lepas, saya terkenangkan suasana
Jumaat kami di sekolah dulu. Sebaik sahaja tamat waktu persekolahan pada hari
itu (kerana cuti rasmi di Selangor pada Sabtu dan Ahad, jadi kami bersekolah
seperti biasa pada hari Jumaat dan tamat sebelum masuk waktu Zohor pada pukul
12.45 tengah hari), kami bergerak ke dewan makan untuk makan tengah hari. Selepas
itu, aktiviti kami di surau sekolah, yang dinamakan Surau As-Syakirin. Semasa pelajar
lelaki menunaikan solat Jumaat, menjadi kelaziman kami pelajar perempuan pergi
ke surau untuk aktiviti sesama kami.
Aktiviti akan berubah mengikut minggu, jika pada minggu ini
usrah, minggu depan pula tadarus surah al-Kahfi mengikut dorm. Kemudian berselang
seli lagi seperti itu. Usrah tidak terasa membosankan, disebabkan kreativiti
Unit BADAR (Badan Dakwah dan Kerohanian) memimpin usrah tersebut. Berbagai cara
yang kami lakukan bersama dalam usrah tersebut. Aktiviti utama sudah semestinya
pengisian sama ada dengan tazkirah daripada ustazah sendiri, ataupun ustazah
jemputan dari luar, ataupun tazkirah berantai.
Pernah dengar tak istilah tazkirah berantai? Saya rasa
sahabat-sahabat yang pernah tinggal di asrama pasti tahu. Tazkirah ini seperti
biasa, iaitu seseorang akan memberi peringatan (tazkirah daripada bahasa arab
yang bermaksud peringatan) ataupun perkongsian ilmu di hadapan sahabat lain tetapi
dia hanya bercakap satu isi sahaja yang ingin disampaikan, kemudian akan bertukar
kepada orang lain pula, dan orang kedua ini mesti memilih tajuk berlainan
dengan pertama, dan begitulah seterusnya. Mungkin seorang hanya bercakap dalam
masa 5 hingga 10 minit.
Saya sangat meminati tazkirah berantai ini dari satu sudut,
kerana ia melatih kita untuk berfikir dan mengeluarkan idea dan berkongsi ilmu di
samping menyemai kemahiran penyampaian di khalayak ramai, tetapi kekurangannya
dari sudut lain pula, apabila tidak semua dapat menyampaikan isi dengan
mendalam, dan ia hanya sekadar perkongsian umum tidak disertakan dengan dalil
Quran dan hadis. Manakan tidak, cuba bayangkan nama kita dipanggil untuk memberi
perkongsian secara tiba-tiba, dengan gemuruhnya, mana sususan ayatnya, apatah
lagi untuk menghadirkan dalil berkaitan tajuk yang pernah dipelajari. Saya sendiri
pada waktu itu amat gemuruh berada di hadapan ramai.
Tetapi itulah pengalaman yang sangat saya rindui ketika ini,
bersama sahabat-sahabat setiap Jumaat. Adakalanya usrah lebih berbentuk santai.
Kami diberikan lirik nasyid yang menjadi pilihan minggu itu, contohnya yang
saya masih ingat, Puteriku Sayang, Akrab Persahabatan, Meniti Mimpi (semua
daripada Hijjaz), dan lain-lain lagi. Kami bersama-sama menyanyikan nasyid
tersebut. Alangkah indahnya saat itu. Saya betul-betul merinduinya…
Hujung minggu kami dipenuhi dengan aktiviti yang menyuburkan
roh kami yang mungkin kadang-kadang layu pada hari-hari sebelumnya dek terlalu
mengejar kejayaan dalam pelajaran. Pada malam Sabtu, kami akan mendengar
ceramah daripada ustaz di surau. Atau kadang-kadang diisi dengan zikir munajat.
Atau tazkirah berantai daripada pelajar lelaki. Sekurang-kurangnya jiwa saya
terisi dengan perkongsian daripada sahabat…
Alhamdulillah atas segalanya, semua yang berlaku dalam hidup
ini yang manis mahupun pahit, semuanya menjadi pengalaman berguna untuk
menghadapi hari mendatang. Jika tiada pahit, tak mungkin kita akan merasai dan menghargai
manis yang selainnya.
Sedikit cebisan kenangan yang mampu dicoretkan walaupun sebenarnya
lembaran kisah yang tercatat dalam ingatan. Terima kasih sahabat kerana mencorakkan kenangan saya.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment