Showing posts with label kawan. Show all posts
Showing posts with label kawan. Show all posts

Monday, May 19, 2014

Coretan Kenangan Di Sekolah

Bismillah wal hamdulillah…

Entah kenapa hari Jumaat yang lepas, saya terkenangkan suasana Jumaat kami di sekolah dulu. Sebaik sahaja tamat waktu persekolahan pada hari itu (kerana cuti rasmi di Selangor pada Sabtu dan Ahad, jadi kami bersekolah seperti biasa pada hari Jumaat dan tamat sebelum masuk waktu Zohor pada pukul 12.45 tengah hari), kami bergerak ke dewan makan untuk makan tengah hari. Selepas itu, aktiviti kami di surau sekolah, yang dinamakan Surau As-Syakirin. Semasa pelajar lelaki menunaikan solat Jumaat, menjadi kelaziman kami pelajar perempuan pergi ke surau untuk aktiviti sesama kami.

Aktiviti akan berubah mengikut minggu, jika pada minggu ini usrah, minggu depan pula tadarus surah al-Kahfi mengikut dorm. Kemudian berselang seli lagi seperti itu. Usrah tidak terasa membosankan, disebabkan kreativiti Unit BADAR (Badan Dakwah dan Kerohanian) memimpin usrah tersebut. Berbagai cara yang kami lakukan bersama dalam usrah tersebut. Aktiviti utama sudah semestinya pengisian sama ada dengan tazkirah daripada ustazah sendiri, ataupun ustazah jemputan dari luar, ataupun tazkirah berantai.

Pernah dengar tak istilah tazkirah berantai? Saya rasa sahabat-sahabat yang pernah tinggal di asrama pasti tahu. Tazkirah ini seperti biasa, iaitu seseorang akan memberi peringatan (tazkirah daripada bahasa arab yang bermaksud peringatan) ataupun perkongsian ilmu di hadapan sahabat lain tetapi dia hanya bercakap satu isi sahaja yang ingin disampaikan, kemudian akan bertukar kepada orang lain pula, dan orang kedua ini mesti memilih tajuk berlainan dengan pertama, dan begitulah seterusnya. Mungkin seorang hanya bercakap dalam masa 5 hingga 10 minit.

Saya sangat meminati tazkirah berantai ini dari satu sudut, kerana ia melatih kita untuk berfikir dan mengeluarkan idea dan berkongsi ilmu di samping menyemai kemahiran penyampaian di khalayak ramai, tetapi kekurangannya dari sudut lain pula, apabila tidak semua dapat menyampaikan isi dengan mendalam, dan ia hanya sekadar perkongsian umum tidak disertakan dengan dalil Quran dan hadis. Manakan tidak, cuba bayangkan nama kita dipanggil untuk memberi perkongsian secara tiba-tiba, dengan gemuruhnya, mana sususan ayatnya, apatah lagi untuk menghadirkan dalil berkaitan tajuk yang pernah dipelajari. Saya sendiri pada waktu itu amat gemuruh berada di hadapan ramai.

Tetapi itulah pengalaman yang sangat saya rindui ketika ini, bersama sahabat-sahabat setiap Jumaat. Adakalanya usrah lebih berbentuk santai. Kami diberikan lirik nasyid yang menjadi pilihan minggu itu, contohnya yang saya masih ingat, Puteriku Sayang, Akrab Persahabatan, Meniti Mimpi (semua daripada Hijjaz), dan lain-lain lagi. Kami bersama-sama menyanyikan nasyid tersebut. Alangkah indahnya saat itu. Saya betul-betul merinduinya…

Hujung minggu kami dipenuhi dengan aktiviti yang menyuburkan roh kami yang mungkin kadang-kadang layu pada hari-hari sebelumnya dek terlalu mengejar kejayaan dalam pelajaran. Pada malam Sabtu, kami akan mendengar ceramah daripada ustaz di surau. Atau kadang-kadang diisi dengan zikir munajat. Atau tazkirah berantai daripada pelajar lelaki. Sekurang-kurangnya jiwa saya terisi dengan perkongsian daripada sahabat…

Alhamdulillah atas segalanya, semua yang berlaku dalam hidup ini yang manis mahupun pahit, semuanya menjadi pengalaman berguna untuk menghadapi hari mendatang. Jika tiada pahit, tak mungkin kita akan merasai dan menghargai manis yang selainnya.

Sedikit cebisan kenangan yang mampu dicoretkan walaupun sebenarnya lembaran kisah yang tercatat dalam ingatan. Terima kasih sahabat kerana mencorakkan kenangan saya.

Wallahu a’lam.

Wednesday, July 3, 2013

Mutiara Kata Senior: ILMU (1)

Bismillah wal hamdulillah…

Tulisan ini dedikasi khas untuk adik-adik yang disayangi sekalian, yang tidak berkesempatan mendengar kalam mutiara daripada Kakak Senior di markaz hari itu. Tapi tidak terkecuali para pembaca sekalian. Semoga bermanfaat!

"الدين نصيحة"
“Agama itu nasihat. Inilah pembuka kata kakak senior. Kata-katanya itu nasihat kepada adik-adiknya. Kemudian dia menyampaikan sepotong surah pendek dari Juz Amma:

((والعصر* إن الإنسان لفي خسر* إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر))

Di akhir surah ini dinyatakan siapa yang tidak rugi daripada kalangan semua manusia yang dalam kerugian, iaitu orang yang beriman, beramal soleh, dan saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Islam mengiktiraf kalimah yang berbentuk nasihat dan pesanan.”
Kakak ini berkata lagi: “Menuntut ilmu ini satu maqam yang sangat tinggi di sisi Allah, sehinggakan Allah Taala meletakkan para ulama dan para penuntut ilmu bersama para anbiya’Nya. Darjatnya yang menggunung tinggi bukanlah mudah untuk dicapai. Perlu ada syarat-syarat sebelum mencapai makam itu.



Yang pertama, perlu ada niat yang ikhlas kerana Allah. Memang ikhlas keranaNya, tidak sesekali dalam hatinya ada perasaan selain itu. Bukan mudah kan? Ada manusia yang belajar kerana kejarkan kerja yang gajinya tinggi. Ada yang belajar kerana inginkan dilihat sebagai orang alim. Ada juga yang mahu dipandang mulia di sisi manusia. Tidak mudah mengikhlaskan hati. Ingat tak sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana salah seorang daripada tiga yang diheret ke neraka adalah dia yang menuntut ilmu, kemudian ditanya Allah, kenapa engkau menuntut ilmu? Dijawabnya: KeranaMu ya Allah. Tetapi Allah maha mengetahui, Allah berkata: Tidak! Engkau menuntut ilmu kerana mahu dikatakan alim, dan engkau telah pun mendapatkannya. Maka wahai malaikat, heretlah orang ini ke neraka.

Ya Allah, jauhi hati kami daripada melakukan amalan kerana selain Engkau!

Yang kedua: Menuntut ilmu ini juga seperti sebuah binaan, terdiri daripada bahan-bahan yang tersendiri. Jika mahukan binaan yang kukuh dan tahan lama, mestilah bahannya lengkap dan berkualiti. Begitu juga sebaliknya.

Apa bahan-bahannya?

·         ‘Aklun rajjah (akal yang cerdik)
·         Syaikhun fattah (guru yang membuka)
·         Kitabun sihhah (buku yang dipercayai dan sohih)
·         Mudawamah mulihhah (sentiasa melazimi dan berterusan menuntut ilmu)

Jika bahan-bahan ini cukup, tetapi kurang bermutu dan tidak diambil daripada sumber yang dipercayai, binaan dapat dibina, tapi belum tentu bertahan dalam jangka masa yang lama.

Menuntut ilmu perlukan manhaj (cara menuntutnya) yang rapi. Bila dah ada akal yang cerdik pandai, takkan cukup dengan membaca buku sehari-harian tanpa guru. Kerana kita cuma tahu dan faham apa yang kita tahu, sedangkan ada makna lain yang patut difahami yang akan dicerahkan oleh syaikhun fattah. Mereka memperoleh ilmu daripada masyaikh (guru) mereka, masyaikh mereka menuntut daripada para masyaikh, seterusnya daripada para tabiin, sahabat Nabi dan bersanad sehingga penerang segala ilmu yang diutus Allah, Rasulullah SAW.

Segala yang disebut di atas mesti diiringi dengan adab-adabnya. Seorang ulama sanggup tidur berdiri kerana tidak mahu melunjurkan kakinya kep arah rumah Syeikhnya di hadapan. Bayangkan, beliau berkeadaan begitu walaupun hanya beliau yang berada di dalam rumah tersebut. Betapa beliau menjaga adab bersama gurunya yang bermaksud beliau mengagungkan syiar Allah, kerana ulama merupakan syiar Allah. Disebabkan itu, ada ulama yang selalu berdoa:”Ya Allah jadikan aku baik semasa aku bersendirian (sir) sebagaimana baiknya aku semasa bersama orang ramai (‘alaniah)”

Begitulah kalam nasihat daripada kakak senior, tapi ini baru sebahagiannya.

Ada banyak lagi syarat-syarat yang belum disampaikan. Saya akan cuba sampaikannya pada masa akan datang, jika masih dikurniakan Allah nikmat kehidupan. InsyaAllah.

Wallahu a’lam.

Friday, May 4, 2012

Setiap Manusia Pasti Menghadapi Maut


Bismillah walhamdulillah…

Tadi kawan saya ceritakan situasi bagaimana dia berhadapan dengan berita kematian adiknya yang baru meninggal lebih kurang hampir sebulan yang lepas. Setelah sebulan (seminggu selepas kematian adiknya) dia balik ke bumi Mesir, baru kali ini kami berani bertanya tentang kisah adiknya yang terkena renjatan elektrik yang kuat dan dia dan keluarga yang menghadapi situasi itu.

Dia pula tak keberatan menceritakan dan nampak dia sangat tabah hadapinya.
Saya pula mendengar dari dapur ceritanya. Antara dengar tak dengar. Tapi saya takut dengar cerita kematian. Takut…

Dia kata adik dia seorang yang baik, jenis yang lembut sopan. Pernah mak dia tanya nak duit tak untuk belanja, adik dia cuma jawab “takpelah mak”, memang Allah sayangkan adik dia. Ramai orang kata orang baik-baik ni Allah ambil dia cepat. Wallahu a’lam.

Saya pula entah kenapa terbayang muka saudara mara (tokki, datuk dan nenek belah mak, makcik, pakcik dan lain-lain) yang dah pergi selama-lamanya dari dunia ni, sekarang mereka di alam kubur.
Saya tak tahu kenapa, tapi saya rasa sayu sangat bila mengenangkan mereka, lagi-lagi yang meninggal semasa saya sudah faham erti kematian dan saya pernah bercakap dengan mereka semasa hidupnya.

Memang tak dapat bayangkan bagaimana kehidupan di alam kubur sana, tapi saya sentiasa doakan kubur mereka diluaskan seluas-luasnya dan mereka berasa aman bahagia mendapat nikmat di dalam sana.

Malam ni, air mata laju je mengalir, walaupun saya tak tahu kenapa. Adik orang lain yang meninggal tapi kenangan dengan saudara yang saya sebutkan tadi macam kembali terbayang di kepala.

Saya takut bagaimana keadaan saya bila saya pun macam mereka. 

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami nikmat kebahagiaan di alam kubur, alam barzakh, dan syurgaMu di sana. Temukan kami dengan kekasihMu Rasulullah SAW dan para sahabat, para auliya’ assolihin dan orang yang Engkau kasihi dan Engkau cucuri rahmat ke atas mereka.

Ya Allah, ampunilah dosa kami, dosa kedua  ibu bapa kami, dosa ahli keluarga kami, dosa sanak saudara kami, dosa para masyaikh kami, dosa guru-guru kami, dosa sahabat-sahabat kami, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah pergi menghadapMu ya Rabb, dengan rahmatMu Ya Allah Yang Maha Memberi Rahmat…

Matikan kami dalam husnulkhotimah (pengakhiran yang baik), dengan kalimah “Lailahaillallah, Muhammadur Rasulullah”, jangan Engkau matikan kami dalam suulkhatimah (pengakhiran yang buruk).

Amin, Ya Mujibas Sailin (Yang Mengkabulkan Permintaan)

Friday, April 27, 2012

Cakna Masalah Kawan...


Assalamualaikum sahabat2 semua. Apa khabar?

Hari ini saya nak cerita satu cerita, macam cerita kanak-kanak, tapi insyaAllah bawa makna yang besar dalam hidup sebagai seorang manusia.

Ceritanya adalah cerita antara tikus, ayam, kambing dan lembu. Bayangkan haiwan-haiwan ini boleh berkata-kata…

Ceritanya bermula di sebuah rumah kecil yang terletak di hujung kampung. Tinggallah sepasang suami isteri yang tidaklah terlalu muda juga tidaklah terlalu tua. Mereka sedang mengemaskan barang-barang dapur yang baru dibeli oleh mereka sebentar tadi. Tanpa mereka sedari, perbuatan mereka sedang diperhatikan oleh seekor tikus di celah lubang kayu rumah mereka. Tikus juga tidak menyangka dia sedang memerhatikan sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat oleh tikus itu. Tuan rumah sedang memasang perangkap tikus yang baru sahaja dibeli, kerana mereka merasakan kehadiran haiwan perosak itu di rumah mereka.

Lalu, hebohlah sang tikus dengan berkata; “Tuan rumah pasang perangkap tikus! Tuan rumah pasang perangkap tikus!” Sang tikus terus-menerus menghebohkan cerita tersebut kepada haiwan-haiwan di sekitarnya.

Dia berjumpa dengan sang ayam, “Tuan rumah memasang perangkap tikus! Tuan rumah memasang perangkap tikus! ”  Sang ayam pun membalas, “Encik T, perangkap itu untuk awak, tak mudaratkan saya apa-apa pun”. Sang tikus terus berlalu dengan rasa hampa.

Sang tikus tak berasa putus asa, maka dia berjumpa pula dengan sang kambing, “Cik B, tau tak ada perangkap tikus di rumah tuan kita, tau tak?!” Sang kambing menjawab; “Yelah Encik T, kalau saya tau pun, bukan ada kena-mengena dengan saya”. Maka berlalu sang tikus setelah mendengar jawapan yang tidak memuaskan dari si kambing.

Kali ini, dia bertekad untuk berjumpa dengan sang lembu pula; “Uncle L, ada berita terkini ni! Uncle tau tak tuan rumah kita ada pasang perangkap tikus, tadi baru saya nampak! Perangkap tikus!” Jawapan sang lembu juga seperti haiwan lain, tidak mengendahkan kata-kata sang tikus yang memberi amaran.

Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Pada malam hari, si suami mendengar satu bunyi pelik di dapur mereka.

Si isteri berkata: “Bang, dengar tak bunyi sesuatu kat dapur tu?”

Si suami menjawab: “Aahlah, abang pun dengar. Pencuri ke? Tak pun perangkap kita mengena…”

Maka, mereka dengan berhati-hati ke arah bunyi yang kedengaran. Setibanya mereka di sana, sangkaan mereka meleset, malah mereka sedang berdepan dengan seekor ular yang sangat besar. Ular tersebut sedang menggelupur kesakitan apabila ekornya terkena perangkap tikus yang dipasang suami isteri itu.

Apabila ular itu melihat kehadiran suami isteri tersebut, maka dengan serta-merta ular itu cuba menerkam kedua-dua mangsanya. Dengan pantas, si suami menarik tangan si isteri untuk melarikan diri, malangnya kaki si isteri sempat dipatuk oleh ular tersebut sebelum dipukul bertalu-talu oleh si suami. Akhirnya ular itu pun mati.

Akibat patukan ular, si isteri mengalami demam yang teruk. Si suami mendapat petua untuk memulihkan demam dengan cara memberi makan bubur sup ayam. Maka disembelih ayam ternakannya untuk dibuat bubur sup ayam. Tetapi demam tidak kebah juga.

Kelihatan si isteri semakin tenat, ramailah sahabat-sahabat menziarahi isterinya yang sedang sakit. Si suami terpaksa meninggalkan kerjanya untuk menjaga si isteri. Si suami berasa segan jika dibiarkan tetamu datang tak dihidangkan dengan apa-apa makanan. Dengan rela hatinya, si suami menyembelih kambing ternakannya. Dihidangkan kambing yang dimasak tersebut kepada tetamu-tetamu yang hadir.

Racun yang berada di dalam tubuh si isteri merebak sehinggalah terpisahlah roh dari jasad si isteri. Maka, diadakan upacara pengkebumian si isteri. Si suami pun menyembelih satu-satunya lembu ternakannya untuk dihidangkan kepada tetamu yang menghadiri upacara tersebut.

Si tikus hanya melihat keadaan yang berlaku ke atas haiwan lain melalui lubang kayu di rumah tersebut dengan linangan air mata.

Jadi, apa kesimpulan yang kita boleh ambil ye sahabat-sahabat??

Antaranya, kalau kawan-kawan kita ada masalah, jangan jadi macam sang ayam, Cik B dan juga Uncle L. 

Sebenarnya kalau salah seorang daripada kita diancam, maka kita juga sedang menghadapi risiko yang 
sama.

Pernah dengar tak, Allah akan timpakan bencana di sesuatu tempat yang berlaku kemungkaran, walaupun di tempat tersebut ada orang soleh. Bukannya bala hanya untuk yang melakukan maksiat, malah juga kesemua yang berada di situ. Jika Allah kehendaki.

Kenapa rasanya yang soleh pun kena? Bukan dia buat baik je ke? Hukuman kan untuk orang jahat je… Sebabnya, orang soleh lah yang berperanan meng’islah’ atau memperbaiki semula keadaan di tempat itu...

Allah Maha Mengetahui segala perbuatan hamba-hambaNya, sama ada  yang membantu agama Allah atau pun yang meruntuhkannya…

Kita dalam satu KEHIDUPAN perlulah saling membantu antara satu sama lain. Mungkin hari ini orang perlukan bantuan kita, mana tau satu hari nanti kita pula yang perlukan bantuan orang lain, betul tak?

Pepatah Melayu ada menyebut: 

Bagai aur dengan tebing.

Yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

 Hidup sepakat membawa berkat.

Berjemaah menegakkan ummah dan daulah islamiyah.

(Cerita ini tiada kena-mengena dengan yang hidup mahu pun yang telah meninggal dunia)

Allahu a’lam.