Showing posts with label Santapan Hati. Show all posts
Showing posts with label Santapan Hati. Show all posts

Wednesday, October 7, 2015

Tanda Bergantung Kepada Amal

Hikmah pertama daripada Hikmah-Hikmah Ibn ‘Atoillah al-Sakandari



#TANDA BERGANTUNG KEPADA AMAL#

(Tanda bergantung kepada amal adalah rasa kurangnya pengharapan kepada Allah ketika kegelinciran dosa)


Apabila beramal, timbul rasa tenang di dalam hati kerana telah melaksanakan perintah Allah. Sebaliknya apabila tidak beramal atau tertinggal amalan itu, terasa jauh daripada rahmat Allah.

Sebagai contoh, apabila kita telah melakukan solat, kita rasa ketenangan setelah melaksanakannya, tetapi apabila tertinggal sahaja solat itu, di hati kita penuh rasa duka dan merasakan Allah tidak lagi memberikan rahmatNya disebabkan solat yang tertinggal itu.

Maka, apabila timbulnya perasaan itu pada hati kita, ketahuilah bahawa kita tergolong dalam kalangan mereka yang bergantung kepada amalan.

Sedangkan Allah SWT lah yang telah memberikan kepada kita izinNya untuk kita beramal. Sedangkan dengan rahmat Allah lah kita mampu untuk beramal. Tiada kekuatan dan tiada kuasa kecuali Allah.

Allah berfirman dalam surah as-Soffat ayat 96:

ª!$#ur ö/ä3s)n=s{ $tBur tbqè=yJ÷ès? ÇÒÏÈ  

Maksudnya: "Padahal Allah lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu".

Kebergantungan kepada amalan akan menjadikan seseorang merasa sombong dengan amalannya. Apabila dia beramal, dia berasa bahawa Allah melihatnya dengan pandangan rahmat, dan apabila tidak beramal, rahmat Allah menjauhinya. Bukankah rahmat Allah itu maha luas? Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmatNya buat hamba-hambaNya.

Jika kita mengharapkan redha Allah dengan amalan yang kita lakukan, takkan mampu kita bayar segala yang telah Allah kurniakan untuk kita termasuklah bernafas dan mengelipkan mata. Maka mohonlah rahmat Allah kerana dengan belas kasihan Allah lah yang menyebabkan kita mampu untuk beramal.

Allah SWT maha pengampun. Lafaz Muslim daripada Abu Hurairah ra secara marfu’, daripada Abu Ayyub:

((لولا أنكم تذنبون لخلق الله خلقاً يذنبون يغفر لهم)) 

Maksudnya: Jika kamu tidak melakukan dosa, Allah akan cipta makhluk lain yang akan melakukan dosa dan Allah akan mengampuninya.

Sesungguhnya manusia memang diciptakan Allah dengan pilihan untuk melakukan pahala ataupun dosa. Maka, bergantunglah dengan Allah untuk mendapatkan rahmatNya agar memberikan kekuatan kepada kita untuk beramal dan menjauhi dosa.

Rasulullah SAW bersabda:

((لَا يَدْخُلُ أَحَدُكُمُ الْجَنَّةَ بِعَمَلِهِ)) قَالُوا: وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: (( وَلَا أَنَا، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي اللهُ بِرَحْمته))

Maksudnya: "Kamu tidak akan masuk ke syurga dengan amalannya". Mereka berkata: Walaupun engkau wahai Rasulullah?. Baginda bersabda: "Walaupun aku, kecuali Allah memasukkan aku dengan rahmatNya".

Syeikh Ahmad Zarruq membahagikan manusia kepada tiga kumpulan; mereka yang bergantung kepada amalan, mereka yang bergantung kepada penerimaan Allah, dan mereka yang bergantung kepada qada’ dan qadar (merasa bahawa setiap perkara telah ditentukn Allah dan tidak perlu kepada amalan dan pilihan manusia). Kumpulan pertama dan ketiga bergantung kepada selain Allah, manakala beruntunglah kumpulan kedua yang mengharapkan penerimaan dan pandangan Allah terhadapnya.

Pahala yang diperoleh adalah rahmat daripada Allah. Dosa yang ditimpakan adalah tanda adilnya Allah SWT.

70 orang wali Allah takkan dapat menyamai kewalian Rabiatul Adawiyah apabila Rabiatul Adawiyah mengucapkan:

(اللهم إني لا أعبدك خوفاً من نارك، ولا طمعاً في جنتك، ولكني أعبدك لأنك أهلٌ للعبادة)

Maksudnya: Ya Allah, seseungguhnya aku tidak menyembahMu kerana takutkan neraka atau kerana mehukan syurgaMu, tetapi aku menyembahMu kerana Engkau yang selayaknya untuk disembah.

Jika Allah tidak menciptakan syurga mahupun neraka pun, Allah tetap satu-satunya yang mesti dan selayaknya untuk disembah.

Wallahu a’lam.


(Perkongsian daripada kuliah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Rashidy bin Jamil di Surau al-Manar Presint 14 Putrajaya pada 7 Oktober 2015)

Wednesday, July 31, 2013

Sebaik-baik...

Bismillah wal hamdulillah...

Tazkirah malam ke 22 Ramadan 1434H



خير الناس من طال عمره وحسن عمله
"Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya"
Panjang umur bermaksud Allah panjangkan umurnya melebihi 70 tahun, kerana Rasulullah pernah bersabda mafhumnya, umur umat Baginda SAW ialah antara 60 dan 70 tahun. (kalau saya silap boleh betulkan...) dan dengan umur tersebut, orang ini dapat beramal kebaikan dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT. Jadi kita ingin membuat 'antonim' atau mafhum mukhalafah daripada hadith ini, ia akan berbunyi "Sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya dan buruk amalannya", jadi jangan faham bahawa orang yang pendek umur termasuk golongan yang jahat...tidak!


خير النكاح أيسره
"Sebaik-baik nikah/perkahwinan adalah yang paling mudah/murah"
Mudah/murah di sini bermaksud dari segi maharnya. Ada daripada kalangan bakal suami yang mengambil hadith ini sebagai dalil untuk memberi mahar yang terlampau murah, sedangkan dia tersangat mampu untuk memberi lebih daripada itu. Mudah atau murah di sini adalah mengikut kemampuan si lelaki. Rasulullah SAW sendiri memberi mahar sebanyak 400 ke 500 dirham kepada isteri Baginda SAW, kerana itulah kemampuan Baginda SAW. Cuba sahabat-sahabat tukarkan nilai dirham kepada matawang Ringgit Malaysia, boleh jadi ia mencecah ribuan ringgit. 
Tetapi timbul pula persoalan apabila kita melihat adat masyarakat Melayu Islam di Malaysia, mahar/mas kahwinnya sudah ditetapkan bagi sebahagian negeri dan nilainya memang agak murah mengikut kebiasaan pemuda zaman kini, malah bertepatan dengan hadith di atas, tapi bagaimana pula dengan hantaran yang berganda-ganda nombor sifarnya?


خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
"Sebaik-baik kamu adalah yang baik dengan ahli keluarganya, aku adalah sebaik-baik daripada kalangan kamu dengan ahli keluargaku"
Ahli keluarga yang paling rapat dengan Rasulullah SAW ialah para isteri Baginda SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW ingin membawakan mesej bahawa hendaklah kita berbuat baik dengan ahli keluarga (isteri dan anak-anak), sebagaimana kamu juga baik di hadapan masyarakat. Ada kes luar biasa pada zaman sekarang yang mana si suami sangat baik apabila berhadapan dengan orang lain, tapi apabila pulang ke rumah, sikapnya berubah dan menjadi dingin terhadap isteri dan anak-anak. Jadi, dengan mengamalkan hadith ini, kita akan menjadi sebaik-baik manusia, bukan sahaja pada pandangan manusia, malah pada pandangan Allah SWT, kerana berpegang pada Sunnah Kekasih Allah SWT.


خيركم من تعلم القرآن وعلمه
"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya"
Al-Quran yang menjadi panduan hidup manusia ini mestilah dipelajari, agar tidak salah dalam mempraktiskan isi kandungannya. Ia juga bukan sekadar bacaan ringan, tetapi haruslah dipelajari, dikaji serta diamalkan. Kitab Allah ini adalah untuk seluruh umat manusia, oleh itu orang yang terbaik dan layak untuk menyampaikan ilmu Al-Quran adalah ahlinya.
Umat manusia kini tenggelam dengan permainan dunia hingga meninggalkan panduannya yang memimpin ke dunia yang abadi. Teringat satu hadith: "Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya". Beruntunglah bagi sesiapa yang mengajarkan Al-Quran, kerana dia membaca Al-Quran dan menjadi jalan kepada orang lain untuk turut membacanya.  

Wallahu a'lam.

Wednesday, July 3, 2013

Permulaan yang Bukan Pertama

Bismillah walhamdulillah…

Setelah sekian lama tidak berkongsi sesuatu, izinkan saya untuk berjuang semula dalam medan penulisan ini. Bukan niat saya untuk berhenti terus, tetapi silap saya kerana berehat terlalu lama. Maafkan saya sahabat sekalian.

Kekuatan saya untuk menulis telah di’booster’ oleh Al-Fadhil As-Syeikh Yusri Rusydi Jabr Al-Hasani hafizahullah pada pagi ini. Kelasnya yang dijalankan setiap pagi selepas Subuh membuatkan saya sangat kagum dengan sifat istiqamah syeikh. Ada kalam Arab mengatakan: “Al-Istiqamah ‘ainul karamah”. Istiqamah itu satu karamah. Semoga Allah memberkati Syeikh dan keluarga beliau.

 Syeikh juga mengubati hati dan akal kami di Jami' Al-Azhar pada setiap malam Jumaat dengan syarah Sohih Al-Bukhari setelah berhempas-pulas mengubati fizikal manusia di klinik dan hospital pada siangnya.

Seperti biasa, kelas dimulakan dengan zikir, wirid dan qasidah daripada para alim ulama’ yang dikumpulkan Syeikh sendiri dalam sebuah kutaib (kitab kecil) yang bertajuk “Ad-Durar An-Naqiyyah Fii Aurad At-Toriqah As-Siddiqiyah”. Kemudian, kelas diteruskan dengan bacaan As-Selawat Al-Yusriyyah Ala Kharil Bariyyah yang syeikh sendiri (juga) karang dan mendapat ilham semasa keberadaan beliau di tanah suci Makkah dan Madinah Al-Munawwarah. Allah, Allah…

Seterusnya, taman syurga itu dihiasi dengan tilawah Al-Quran daripada anak-anak murid syeikh yang hadir, yang akan diperbetulkan jika salah, dan akan disyarahkan jika perlu, tetapi yang paling menarik sekali, kita dapat mengenal pelbagai qiraat (bacaan) selain riwayat Hafs daripada ‘Asim (yang biasa kita baca dalam Mushaf Uthmani sekarang).

Selepas itu, barulah syeikh membuka kitab Sohih Muslim, yang mana pernah dikhatamkan beliau sebelum ini, walaupun tanpa ada pendengar yang setia pada masa itu. Hasilnya syeikh dapat membuka kelas bagi pencinta hadis Rasulullah SAW di masjidnya. Ada di kalangan ikhwah yang benar-benar mencintai hadis akan setia menempuh sejuk dan kabus di musim syita, serta suhu panas di musim soif. Hebat sungguh kesetiaan syeikh kepada kitab Hadis sehingga beliau mampu menghabiskan Sunan Sittah selama berbelas tahun, melalui pengajiannya setiap hari selepas solat Subuh di masjidnya Masjid Al-Asyraf di Muqattam. Satu sahaja kunci istiqamah ini, iaitu kecintaan beliau yang mendalam ke atas junjungan besar RASULULLAH SAW. Semoga Allah merahmati dan memberkati Syeikh serta keluarga, semoga kita dapat mengambil peluang berada di sisi para ulama menadah ilmu mereka yang bersanad hingga Rasulullah SAW, dan semoga kita dapat mengambil manfaat daripada beliau, ilmu beliau, serta ilmu para masyaikh beliau, fiddaaraini (di dunia dan akhirat). Amin…

Wallahu a’lam.  

Friday, April 20, 2012

Jiran Terdekat



Bismillah wassolatu ala rosulillah SAW…

Alhamdulillah Allah pertemukan kita lagi dalam ruangan di alam maya ini pada hari ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:

حَدَّثَنَا عَاصِمُ بْنُ عَلِيٍّ ، حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ ، عَنْ سَعِيدٍ ، عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لاَ يُؤْمِنُ قِيلَ ، وَمَنْ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ الَّذِي لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَايِقَهُ.

Mafhumnya: "Demi Allah, tidak beriman (3 kali), ditanya: Siapa wahai Rasulullah?, Baginda bersabda: "Orang yang tidak menjauhkan kejahatannya daripada jirannya"

Saya yakin, setiap daripada kita pasti faham dan mengerti bahawa berbuat baik kepada sesama manusia adalah suatu amalan dan akhlak yang amat dituntut dalam Islam mahupun agama lain. Fitrah manusia telah diciptakan oleh Allah untuk menyukai perkara yang baik dan membenci perkara yang tidak baik. Malangnya individu itu sendiri yang tidak meletakkan haknya pada tempat yang betul sehingga menzalimi dirinya sendiri,dengan cara menganiaya orang lain mahupun diri sendiri.

Tarbiyah yang telah diajar dalam diri setiap manusia sejak kecil lagi agar berlaku ihsan terhadap manusia, haiwan dan tumbuhan bukanlah hanya sekadar didikan kosong, yang boleh ditinggalkan begitu sahaja, malah sifat ini harus dipupuk sehingga tahap ihsan itu naik ke tingkat tertinggi. Apa tingkat tertinggi ihsan? Tahap di mana manusia berasa tidak lari dari pandangan Allah walaupun sesaat sehingga dia berusaha untuk tidak melakukan satu dosa kesalahan pun walau sekecil zarah, kerana keyakinannya bahawa Allah melihatnya di mana sahaja dia berada.

Kadang-kadang kita lupa bahawa kita sebenarnya dikelilingi manusia yang bernama jiran, tak kira dari depan, belakang, kanan mahupun kiri. Islam mensyariatkan umatnya untuk berbuat baik terhadap jiran. Tapi sedar tak sahabat-sahabat, bahawa sahabat mempunyai jiran yang sangat rapat, yang tak mampu terpisah walau kemana jua pergi?

Jiran ini bernama PANCAINDERA. Siapa pancaindera ini? Beliau ialah mata, mulut, telinga, hidung dan tangan kita. Kita cakap kita buat baik pada jiran sebelah rumah, tapi kita buat baik tak pada jiran terdekat kita, iaitu pancaindera ini?


Bagaimana ihsan pada pancaindera?

Mata - > Melihat yang halal dan menundukkan pandangan dari haram
Mulut - > berkata yang halal dan memelihara dari maksiat (mengumpat, mengata dll)
Telinga - > mendengar yang halal dan menjauhi kata-kata maksiat
Hidung - > mencium yang halal dan menjauhi bau maksiat
Tangan - > menyentuh yang halal dan menjauhi yang haram

Halal? Haram? Kenapa umum sangat? Sebab saya tahu sahabat-sahabat semua dah tahu beza antara dua kalimah ini…

Pastikan jiran terdekat, terapat, terbaik sahabat adalah yang pertama sahabat muliakan berbanding yang lain. Selamat memuliakan jiran!

Sunday, August 21, 2011

Didik Jiwa...

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran yang setinggi2nya kepada Allah SWT dengan rahmatNya dan kasihNya kita masih dihidupkan dan dibenarkan untuk terus beribadah kepada Al-Khaliq terutamanya 10 hari terakhir Ramadan...yang mana Allah janjikan di dalamnya Lailatul Qadr, malam yang lebih baik daripada seribu bulan, malah 10 hari terakhir Ramadan ini juga merupakan 10 hari yang terbaik pada setiap tahun, yang Allah hadiahkan kepada hambaNya. Tiada galang gantinya kalau kita kehilangan malam2 ini, sebab tak mungkin malam2 akan datang akan berulang seperti mana tahun ini. Suasana berbeza, tempat berbeza, tarikh berbeza, orang di sekeliling berbeza dan macam2 lagi. Dan seperkara yang takkan boleh kita lupa ialah adakah kita masih berada di atas bumi ataupun di bawah bumi pada Ramadan akan datang. Jadi, gunakanlah kesempatan yang ada pada hari ini selagi mana masih ada kudrat dan tenaga untuk menyerlahkan tanda ubudiyah kita dan kecintaan kepadaNYA.

Minta maaf atas sepeninggalan saya yang agak lamadari penulisan blog saya ni. Pada mulanya saya ingin berhenti sementara menulis pada Bulan Ramadan. Seboleh2nya nak tumpukan sepenuhnya hati ini pada Al-Quran, Kalamullah, yang apabila kita membacanya pahala berganda2 ddalam buku amalan kita. Bezanya dengan kitab atau buku lain, yang bila kita baca, tidak diberi pahala melainkan dengan niat ibadah.

Allah turunkan Al-Quran sebagai peringatan kepada hambaNya dan juga sebagai panduan hidup yang yang dipelihara Allah hingga Hari Kiamat kelak. Rasulullah bersabda dalam hadis baginda SAW, mafhumnya setiap huruf daripada Al-Quran itu akan diberi ganjaran pahala dengan 10 kebaikan.

Maka beruntunglah sesiapa yang dapat mengkhatamkan Al-Quran dengan menjaga adab dan tajwidnya dengan sebanyak2nya di bulan Ramadan. Pada bulan mulia, sekurang2nya Al-Quran mesti dikhatamkan sekali. Dan mustahil sesiapa yang kata masa tidak ada untuk baca Al-Quran. Kenapa saya kata begitu? Kerana sebagai hamba Allah, perkara utama yang mesti kita kejar di dunia ini, ialah ibadah, kerana Allah ialah tujuan kita, bukan? Jadi, kita sepatutnya ambil apa2 cara sekalipun untuk sampai kepadaNya. Salah satu aktiviti ringan yang tak perlu kos besar dan tenaga untuk menjalankannya dan dalam masa yang sama pahala berlipat ganda, adalah membaca Al-Quran dan berzikir. Cuma ia perlukan sedikit pengorbanan masa.

Apa yang saya katakan ini adalah dalam konteks sebagai seorang pelajar dan remaja. Saya tidak berpengalaman dalam kerjaya, jadi tak dapat membayangkan pengurusan masa sebagai seorang pekerja. Tetapi sebenanya kitalah yang sepatutnya mencari masa untuk ibadah2 kita seharian. Malam adalaha masa terbaik khusus untuk ibadah kepada Allah, kerana siang kita disibukkan dengan urusan dunia. Maka, ambillah kesempatan malammu khas untuk Yang Maha Esa..kerana pengakhiran kita nanti sama ada di syurga (amin..) atau neraka (nauzubillah...)bukanlah disebabkan amalan kita yang banyak atau sedikit, tapi adalah kerana rahmat Allah Taala sahajalah yang membantu kita nanti.

Sucikan hati setiap hari dengan mengingatiNya, kerana hati adalah raja, manakala anggota badan adalah askarnya. Tanpa raja yang baik, pasukan askar yang kuat tak dapat dibangunkan. Tanpa hati yang terdidik dengan akidah Islamiyyah yang sebenar, anggota badan tak mampu beramal dengan sebai2nya, kerana asasnya belum mantap.

Peliharalah hatimu, kerana di situ titik pandangan Allah pada seorang hamba.

Allahua'lam...

Sunday, July 31, 2011

Ballighna Ramadan Ya Rabb...

Alhamdulillah, Ramadan bakal bermula, iaitu pada hari esok, dan mungkin kita boleh katakan 1 Ramadan dikira apabila azan Maghrib berkumandang pada malam nanti. Azan Malaysia akan bermula dahulu berbanding Mesir, dek perbezaan kedudukan latitud dan longitud negara masing2. Jam di sini 1.53 petang, sedangkan di Malaysia, para penduduknya barangkali sedang bersiap2 untuk mendirikan solat Maghrib. Begitulah kebesaran Allah yang tiada tolok bandingnya, Yang Maha Menguasai Langit dan Bumi. Allahu Akbar!

Di sini saya menyeru diri saya sendiri dan sahabat2 sekalian agar sama2 mnyucikan hati kita sebagai bekal dan penguat diri sepanjang menghadapi Bulan Tarbiyah ini. Allah ciptakan satu bulan yang penuh dengan keistimewaan2nya yan tersendiri, yang tak terdapat di dalam 11 bulan2 yang lain.

Sehinggakan Nabi SAW bersabda, mafhumnya: "Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)


Hati yang kotor tidak akan dapat merasai manisnya Ramadan, dan moga kita dijauhkan daripada penyakit2 hati yang parah dan yg akan merosakkan bukan sahaja tubuh badan malah iman dan islam sendiri, wal'iyazubillah. Sempena Ramadan ini, ambillah peluang sebanyak mungkin untuk mendekatkan diri kepada Al-Khaliq.

Dalam kitab Al-Wajiz fil Fiqhil Islami karangan Us.Dr.Wahbah Al-Zuhaili ada menyenaraikan perkara 2 yg disunatkan semasa berpuasa:

1- Bersahur walau dengan segelas air, dan melambatkannya sehingga akhir malam, sabda Baginda SAW: "Bersahurlah, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah" (Khabar Sahihain)

2- Mempercepatkan berbuka setelah yakin matahari terbenam dan sebelum solat, berbuka dengan kurma basah, atau kurma kering, atau manisan, atau air, dengan bilangan ganjil dan paling kurang tiga biji.

3- Doa sebelum berbuka.

4- Memberi makan kepada orang yang berpuasa. Hadis Zaid ibn Khalid dalam Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah dan lain2: "Sesiapa yang memberi makan kpd orang yg berpuasa baginya pahala seperti orang yg berpuasa itu.."

5- Mandi wajib daripada janabah, atau haid, atau nifas sebelum fajar, supaya suci pada awal puasanya, jika org yg telah berjunub tetapi tidak mandi wajib berpuasa, sah puasanya.

6- Mengawal lidah dan pancaindera drpd fudhulul kalam (cakap kosong) dan perkara2 harus.

7- Meninggalkan perkara harus yang rasa seronok apabila mendengarnya, melihatnya, menyentuhnya, dan memcium baunya, seperti mencium bau minyak wangi.

8- Menyambung silaturrahim dan memperbanyakkan bersedekah.

9- Menyibukkan diri dengan ilmu, membaca Al-Quran, zikir2, berselawat ke atas junjungan mulia SAW, dengan kadar yang mampu, siang dan malam.

10- Beriktikaf terutama pada 10 hari terakhir Ramadan. Hadis muttafaqun alaih drpd Aisyah ra, berkata: "Nabi SAW jika masuk 10 hari terakhir Ramadan baginda menghidupkan malamnya, mengejutkan ahlinya, dan 'meninggalkan' isterinya".

Hayya nakun Rabbaniyah, la Ramadaniyah...

Ramadan Kareem...Allahu Akram.

Tuesday, July 5, 2011

Touching My Heart...

Assalamualaikum, my beloved friends.

This post will tell you about a story of a little boy, who has no point about death, i don't know it is true or not, but simply take out the message of this sad story. Hope enjoy reading!


"I was walking around in a Target store, when I saw the lady in the cashier hand this little boy some money back.

The boy couldn't have been more than 8 or 9 years old.

The Cashier said, 'I'm sorry, but you don't have enough money to buy this doll.'

Then the little boy turned to the old woman next to him: ''Nanny, are you sure I don't have enough money?''

The old lady replied: ''You know that you don't have enough money to buy this doll, my dear.''

Then she asked him to stay there for just 5 minutes while she went to look around for a cheaper one. She left quickly

The little boy was still holding the doll in his hand.

Finally, I walked toward him and I asked him who he wished to give this doll to

'It's the doll that my sister loved most and wanted so much for Christmas.

She was sure that Santa Claus would bring it to her.'

I replied to him that maybe Santa Claus would bring it to her after all, and not to worry.

But he replied to me sadly. 'No, Santa Claus can't bring it to her where she is now. I have to give the doll to my mummy so that she can give it to my sister when she goes there.'

His eyes were so sad while saying this. 'My Sister has gone to be with God. Daddy says that Mummy is going to see God very soon too, so I thought that she could take the doll with her to give it to my sister .''

My heart nearly stopped.

The little boy looked up at me and said: 'I told daddy to tell mummy not to go yet. I need her to wait until I come back from the shops.'

Then he showed me a very nice photo of himself. He was laughing. He then told me 'I want mummy to take my picture with her so she won't forget me.'

'I love my mummy and I wish she didn't have to leave me, but daddy says that she has to go to be with my little sister.'

Then he looked again at the doll with sad eyes, very quietly.



I quickly reached for my wallet and said to the boy. 'Suppose we check again, just in case you do have enough money for the doll!''

'OK' he said, 'I hope I do have enough.' I added some of my money to his without him seeing and we started to count it. There was enough for the doll and even some spare money.

The little boy said: 'Thank you God for giving me enough money!'

Then he looked at me and added, 'I asked last night before I went to sleep for God to make sure I had enough money to buy this doll, so that mummy could give it to my sister . He heard me!''

'I also wanted to have enough money to buy a white rose for my mummy, but I didn't dare to ask God for too much.. But He gave me enough to buy the doll and a white rose.''

'My mummy loves white roses.'

As I saw the old lady returning, I left with my basket as to not cause a scene.

I finished my shopping in a totally different state of mind from when I started.

I couldn't get the little boy out of my mind. Then I remembered a local news paper article two days ago, which mentioned a drunk man in a truck, who hit a car occupied by a young woman and a little girl. The little girl died right away, and the mother was left in a critical state. The family had to decide whether to remove the life-sustaining machine, because the young woman would not be able to recover from the coma.

Was this the family of the little boy?

Two days after this encounter with the little boy, I read in the news paper that the young woman had passed away.

I couldn't stop myself as I bought a bunch of white roses and I went to the funeral home where the body of the young woman was for people to see and make last wishes before her burial.

She was there, in her coffin, holding a beautiful white rose in her hand with the photo of the little boy and the doll placed over her chest.

I left the place, teary-eyed, feeling that my life had been changed for ever.. The love that the little boy had for his mother and his sister is still, to this day, hard to imagine.

And in a fraction of a second, a drunk driver had taken all this away from him."

Taken from: fropky.com

Thursday, June 2, 2011

L.O.V.E

Assalamualaikum sahabat2 sekalian...

Kabare? waras? alhamdulillah, Allah beri kesempatan untuk belajar Bahasa Jawa sepanjang menetap di Sabak Bernam, selangor selama beberapa tahun. Kalau tak, ternganga juga dengar orang2 Jawa ni borak2, hehe...

Hari ini nak kongsi dan bincang satu perkataan yang memang menarik bila disebut, terpanggil bila terdengar, seronok bila dibincangkan, dan macam2 perasaan lain timbul bila sebut kalimah sakti ni.

C.I.N.T.A

Teringat ada satu lagu dari kumpulan apa entah, diorang nyanyi dengan mengeja kalimah ni, tapi maaflah saya tak hafal lirik dia. Ikutlah, sapa tau, tau, kalau tak tau pun xpe, sebab tak penting pun.

Kalimah penuh makna, penuh nostalgia, penuh kenangan, penuh lemak berkrim disukai ramai, hehe, bergurau je...

Orang kadang2 akan tersenyum bila dengar tentang cinta, ada yang termenung, ada yang sedih dan sebagainya ikut pengalaman masing2...

CINTA TERAGUNG

Cinta ini adalah pada Sang Pencipta, yakni ALLAH yang Maha Esa, tak perlulah rasanya nak sebut siapa DIA, macamana nak mencintai DIA, bila nak mula cintai DIA. Sebab saya tahu sahabat2 semua dah punya perasaan itu sejak dalam rahim ibu lagi, tatkala kita bersumpah di hadapanNYA untuk mentaati dan menyembahNYA. DIA lah sepatutnya yang pertama, tiada yang mampu mengatasiNYA dalam susunan cinta kita. tapi kita kadang2 tersalah susun bila kita dahulukan orang lain di atas cinta kepadaNYA. Saya ingatkan diri saya dan sahabat sekalian supaya sentiasa mekarkan cinta kita kepada DIA dengan selalu mengingatiNYA dan menuruti perintahNYA, jauhi laranganNYA.

CINTA ISLAM

RAsulullah penyampai risalah, utusan ALLAH, dengan perjuangan baginda SAW, kita dapat merasai nikmat ISLAM dan IMAN (insyaALLAH) yang sangat manis bagi sesiapa yang mengahyatinya. Alhamdulillah, sirah Nabi yang saya pelajari di kuliah telah membuka mata saya terhadap susah payah Rasulullah dan sahabat baginda dalam menyebarkan agama Allah yang suci ni, dengan tentangan yang hebat dari pihak musuh. Pelajari sunnah baginda dan amalkan...Penuhi hati dengan berselawat ke atas baginda SAW.

CINTA IBUBAPA

Berkenaan ini, tak perlulah saya bercerita panjang lebar. Sebab saya tahu sahabat2 lebih arif daripada saya tentang CINTA ini. Hargailah mereka sebagaimana mereka menghargai kita semasa kecil kita. Cintailah mereka sebagaimana mereka mencintai kita. Bantulah merka sebagimana mereka membantu kita. Tanpa mereka, kita ibarat kain putih yang tidak bercorak. Bila dibiar lama, warna putih jadi semakin pudar dan akhirnya dipijak orang seperti kain buruk. Beritahu mereka 'kita sayang mak dan abah, sayang sangat2'

Daripada Anas RA bahawa seorang lelaki ada bersama Rasulullah, kemudian seorang lelaki lain berjalan di hadapan mereka, lalu lelaki tadi berkata:' Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya menyayangi lelaki ini. Maka Rasulullah pun berkata:"Adakah kamu beritahu dia(bahawa kamu menyayangi dia)". Dia menjawab: 'tidak'. Rasulullah berkata:"beritahulah dia". Dia pun memberitahu lelaki itu:'Saya menyayangi kamu kerana Allah'. Lelaki itu pun menjawab:'Siapa yang kamu sayang saya kerananya, menyayangi kamu (yakni ALLAH)'.

Jadi jawab kepada sesiapa yang berkata 'أٌحِبٌّك فبي الله' kepada sahabat2 ialah 'أَحَبَّك الذي أَحبَبتني فيه'

CINTA SAHABAT2 DLL

Hidup ini tak boleh terbina dengan seorang sahaja. Seperti juga sebuah organisasi takkan maju dan kukuh dengan seorang ahli sahaja, perlukan jamaah yang dapat menyokong kelemahan dalam mana2 bahagian. sebab itu kita perlukan sahabat dalam menghadapi kehidupan, tak kisahlah dalam dunia belajar ke, pekerjaan ke, alam rumah tangga ke dan sebagainya. Cintailah sahabat sebagaimana kita mencintai diri kita sendiri.

قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-:"لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه"

Mafhumnya: Tidak (sempurna) iman kamu sehinggalah kamu menyayangi saudara kamu sebagaimana kamu menyayangi diri kamu sendiri.

Begitu tinggi martabat yang Allah berikan kepada saudara2 dab sahabat2 sehingga dikira dengan ketinggian iman. MasyaAllah...

"Sesiapa yang tidak menyayangi manusia, Allah tidak menyayanginya"

JAgalah adab sesama manusia, cintai yang sepatutnya, jauhinya yang sebaliknya...

Wednesday, May 18, 2011

KALAM AL-HABIB

Pada kali ini saya ingin berkongsi isi-isi penting yang saya dapat sepanjang daurah dengan Al-Habib Umar ibn Al-Habib Muhammad Zain yang datang ke Mesir untuk sementara waktu sebelum bertolak ke Madinah. Beliau selalu mengadakan daurah di Mesir, terutamanya Kaherah, dan ramai juga pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian beliau.

Pada malam tadi, beliau telah menyampaikan kalam wida3 di rumah kami, Rumah Amanah Malaysia. Alhamdulillah, banyak juga kalam beliau yang dapat menaikkan semangat kami sebagai penuntut ilmu Allah.

Antaranya kalam beliau ialah:

1- Tawassut fid din

Yakni kita jangan terlalu taksub dalam sesuatu perkara. Apa-apa perkara pun Rasulullah ajar kita supaya bersederhana dan mengikut kemampuan. Sama ada dalam hal ehwal keduniaan mahupun ke’Akhirat’an. Dalam cara pemakanan, berpakaian, kebersihan, bekerja, hatta dalam beribadah pun ada kesederhanaannya. Nak katanya, dalam apa-apa pun lah. Sebab apa saya cakap begini, sebabnya di negara kita khususnya ramai ulama-ulama agama membahaskan tentang khilaf mazhab. Apabila berbezanya pendapat ulama A ni, terus dia dilabelkan memegang mazhab Wahabi lah, Khawarij, Mu’tazilah dan macam-macam lagi selain nama Ahli Sunnah wal Jamaah, contohnya. Sedangkan kebanyakan khilaf tersebut adalah dalam perkara zonni yang mana tiada dalil qat’ie yang menthabitkan mana-mana pendapat. Jadi, janganlah terlalu mengatakan pendapat dialah yang paling betul, dan orang lain betul-betul salah, malah sehingga men’takfir’kan orang lain. Satu lagi tentang bid’ah. Habib kata bid’ah ni terbahagi kepada dua, hasanah(baik) dan dolalah (buruk). Bila ada je perkara yang dia rasa Rasulullah tak buat, terus mengatakan perkara tersebut adalah bid’ah. Terus dolalah, dan terus masuk neraka. Jadi boleh ke kalau kita nak kata komputer ni bid’ah dan sesiapa yang buat computer dan gunakannya akan terus masuk neraka. Bagi yang rabun, terpaksalah bertahan dengan penglihatan sebegitu, jika cermin mata tak boleh digunakan kerana ia adalah bid’ah. Dan kalau bid’ah je terus nerakalah jawapannya. Wal ‘iazubillah. Tak, sebenarnya benda-benda seperti ini adalah bid’ah juga tapi bid’ah mubahah (yang diharuskan). Tapi saya bukanlah orang yang layak membahaskan perkara ini, cuma saya cuba member pendapat berdasarkan pembacaan saya dalam ini dan sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Habib Umar.

Beliau juga menyelitkan suatu cerita tentang ammu(pakcik) Nabi Muhammad SAW, yang begitu kuat menentang Baginda, iaitu Abu Lahab. Pada awal kelahiran Rasulullah, Abu Lahab sangat gembira dengan berita kelahiran tersebut, sehingga membebaskan hambanya. Oleh sebab itu, di dalam kubur Abu Lahab -yang Allah laknat dalam Surah Al-Lahab itu- akan dapat menikmati air yang keluar daripada ibu jarinya pada setiap hari Isnin, hanya disebabkan kegembiraannya dengan maulud Nabi dan pembebasan hamba itu. Jadi apatah lagi kepada sesiapa yang gembira dan selalu mengingati Baginda pada hari maulud Nabi, lebih-lebih lagi memenuhi hari tersebut dengan sambutan maulud yang meriah tetapi masih di atas landasan Islam yang sebenar. Jadi di sini, sambutan Maulud Nabi diharuskan dengan syarrat tidak melampaui batasan agama.

Dan kita juga dibenarkan bertawasul dengan para solihin. Tawasul bermakna menjadikan antara kita dan Allah wasilah daripada para solihin, dengan mengambil berkat daripada kesolehan ‘abid Allah ini. Kita cuma bertabaruk dengan ahli soleh ini, tapi pergantungandan tempat berharap kita adalah pada Allah, bukan pada orang soleh tadi. Contoh doa: “Ya ALLAH, dengan keberkatan si fulan ini…” dan seterusnya. Yang menjadi salahnya ialah doa tersebut diminta harap dan ditujukan kapada orang soleh tadi, sedangkan dia juga hamba Allah yang lemah, doa dipohon tanpa ada kaitan dengan Allah, sedangkan Allah Maha Mengetahui dan Menguasai segalanya. Hanya Nabi yang tidak memerlukan wasilah untuk memohon kepada Allah. Wallahua’lam.

2- Dawail Qulub (Ubat hati)

Setiap insan memerlukan ubat bagi merawat hati yang sakit. Penyakit hati ni banyak tapi disebabkan ia tak dapat dilihat, ia dibiarkan berlarutan. Sehinggakan bila dah kronik, baru dapat dikesan, dan nak merawatnya mungkin ambil masa yang lama, lebih rumit, dan boleh jadi dah tak mampu diubati. Na’uzubillah. Allah lebih mengetahui. Antara penyakit hati yang saya mampu sebut di sini ialah hasad dengki, panas baran, sukakan dunia, bakhil, sukakan harta dan sebagainya. Semuanya sifat mazmumah(terkeji) yang sepatutnya jauh daripada hati-hati muslim dan muslimah yang selalu mengingati Allah serta mencintaiNya dan RasulNya. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka. Amin.

Ubat-ubat ini hanya mampu disediakan oleh pesakitnya sendiri.

5 ubat yang di’highlight’kan oleh Al-Habib Umar ialah:

-Membaca Al-Quran secara tadabbur
-Qiyamullail
-Menangis pada tengah malam (mengingati dosa yang telah dilakukan dan memohon ampun daripadaNya)
-Zikrullah (bertasbih, betahmid, bertakbir dan sebagainya)
-Mujalasatus Solihin wal Ulama’ Al-‘Amilin (berdamping dengan para solihin dan ulama’)

Di kesempatan ini, saya menasihati diri saya dan sahabat2 sekalian untuk menggunakan masa-masa yang berbaki di alam ini untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin dan beramal dengannya, lebih-lebih lagi fatrah(masa) inilah yang paling sesuai untuk menambah ilmu di dada, kerana sahabat2 masih di alam pengajian. Waktu inilah yang paling sesuai untuk tahammul(menerima ilmu). Apabila sudah melangkah ke alam pekerjaan dan bekeluarga, waktu tahammul dah bertukar kepada waktu ada’(menyampaikan ilmu dan menggunakannya).

Perkara yang paling matlub(diperlukan) bukan betapa banyaknya ilmu yang diperoleh, tetapi yang paling aham(penting) ialah mengamalkan ilmu yang diperoleh.

Wallahu a’lam.