Showing posts with label Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Sekolah. Show all posts

Monday, May 19, 2014

Siapa saya...



Bahasa Jepun dan Bahasa Arab yang amat saya sayangi, adakah lagi jodoh saya bersamanya...?


わたしの なまえは ウルヤ です。

にじゅうさん さい です。

マリジア から きました。

どうぞう よろしく おねがいします。


اسمي علية، 
وعمري ثلاث وعشرون سنة، 
وأنا من ماليزيا، 
فرصة سعيدة وإلى اللقاء
 ..  


Kalau ada yang salah pada kalam di atas, minta tegur ye...

Wallahu a'lam.

Coretan Kenangan Di Sekolah

Bismillah wal hamdulillah…

Entah kenapa hari Jumaat yang lepas, saya terkenangkan suasana Jumaat kami di sekolah dulu. Sebaik sahaja tamat waktu persekolahan pada hari itu (kerana cuti rasmi di Selangor pada Sabtu dan Ahad, jadi kami bersekolah seperti biasa pada hari Jumaat dan tamat sebelum masuk waktu Zohor pada pukul 12.45 tengah hari), kami bergerak ke dewan makan untuk makan tengah hari. Selepas itu, aktiviti kami di surau sekolah, yang dinamakan Surau As-Syakirin. Semasa pelajar lelaki menunaikan solat Jumaat, menjadi kelaziman kami pelajar perempuan pergi ke surau untuk aktiviti sesama kami.

Aktiviti akan berubah mengikut minggu, jika pada minggu ini usrah, minggu depan pula tadarus surah al-Kahfi mengikut dorm. Kemudian berselang seli lagi seperti itu. Usrah tidak terasa membosankan, disebabkan kreativiti Unit BADAR (Badan Dakwah dan Kerohanian) memimpin usrah tersebut. Berbagai cara yang kami lakukan bersama dalam usrah tersebut. Aktiviti utama sudah semestinya pengisian sama ada dengan tazkirah daripada ustazah sendiri, ataupun ustazah jemputan dari luar, ataupun tazkirah berantai.

Pernah dengar tak istilah tazkirah berantai? Saya rasa sahabat-sahabat yang pernah tinggal di asrama pasti tahu. Tazkirah ini seperti biasa, iaitu seseorang akan memberi peringatan (tazkirah daripada bahasa arab yang bermaksud peringatan) ataupun perkongsian ilmu di hadapan sahabat lain tetapi dia hanya bercakap satu isi sahaja yang ingin disampaikan, kemudian akan bertukar kepada orang lain pula, dan orang kedua ini mesti memilih tajuk berlainan dengan pertama, dan begitulah seterusnya. Mungkin seorang hanya bercakap dalam masa 5 hingga 10 minit.

Saya sangat meminati tazkirah berantai ini dari satu sudut, kerana ia melatih kita untuk berfikir dan mengeluarkan idea dan berkongsi ilmu di samping menyemai kemahiran penyampaian di khalayak ramai, tetapi kekurangannya dari sudut lain pula, apabila tidak semua dapat menyampaikan isi dengan mendalam, dan ia hanya sekadar perkongsian umum tidak disertakan dengan dalil Quran dan hadis. Manakan tidak, cuba bayangkan nama kita dipanggil untuk memberi perkongsian secara tiba-tiba, dengan gemuruhnya, mana sususan ayatnya, apatah lagi untuk menghadirkan dalil berkaitan tajuk yang pernah dipelajari. Saya sendiri pada waktu itu amat gemuruh berada di hadapan ramai.

Tetapi itulah pengalaman yang sangat saya rindui ketika ini, bersama sahabat-sahabat setiap Jumaat. Adakalanya usrah lebih berbentuk santai. Kami diberikan lirik nasyid yang menjadi pilihan minggu itu, contohnya yang saya masih ingat, Puteriku Sayang, Akrab Persahabatan, Meniti Mimpi (semua daripada Hijjaz), dan lain-lain lagi. Kami bersama-sama menyanyikan nasyid tersebut. Alangkah indahnya saat itu. Saya betul-betul merinduinya…

Hujung minggu kami dipenuhi dengan aktiviti yang menyuburkan roh kami yang mungkin kadang-kadang layu pada hari-hari sebelumnya dek terlalu mengejar kejayaan dalam pelajaran. Pada malam Sabtu, kami akan mendengar ceramah daripada ustaz di surau. Atau kadang-kadang diisi dengan zikir munajat. Atau tazkirah berantai daripada pelajar lelaki. Sekurang-kurangnya jiwa saya terisi dengan perkongsian daripada sahabat…

Alhamdulillah atas segalanya, semua yang berlaku dalam hidup ini yang manis mahupun pahit, semuanya menjadi pengalaman berguna untuk menghadapi hari mendatang. Jika tiada pahit, tak mungkin kita akan merasai dan menghargai manis yang selainnya.

Sedikit cebisan kenangan yang mampu dicoretkan walaupun sebenarnya lembaran kisah yang tercatat dalam ingatan. Terima kasih sahabat kerana mencorakkan kenangan saya.

Wallahu a’lam.

Saturday, January 28, 2012

Cinta Kekasih Allah

Bismillahirrahmanirrahim...

Teringat zaman sekolah rendah dulu, Sekolah Rendah Islam Indera Mahkota, saya bersama sahabat2 lain menyertai pertandingan nasyid antara sekolah2, saya tak ingat kami dapat tempat ke berapa, tapi itulah kenangan manis kami bersama. Alhamdulillah, hasil didikan muallim dan muallimah kami membesar menjadi manusia...Jazakumullahu khairan.

Nasyid 'Rasulullah' adalah salah satu nasyid yang didendangkan dulu...

Hayatilah...

Rasulullah
Dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Rasulullah
Kami umatmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan Rasul sebagai pembela

Tidak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Hu....Hu...Hu...

Rasulullah
Dalam menegenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran...

Marilah memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW, menghidupkan sunnah baginda, dan menghayati sirah2 baginda SAW...

Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 31:

Terjemahannya:"Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Semoga Allah menempatkan kita bersama Baginda SAW, ahli bait Baginda, para sahabat Baginda, para syuhada Allah beserta para salafussoleh...amin.